Thursday, July 22, 2010

Bangkit isu air untuk naikkan kadar air


SHAH ALAM , 23 Julai : Rakyat Selangor bukan berdepan krisis kekurangan air sebaliknya mereka akan berdepan dengan kenaikan kadar air disebabkan keengganan Kerajaan Persekutuan menyerahkan pengurusan industri air Selangor kepada Kerajaan Negeri sekali gus meneruskan agenda penswastaan.

Pengarah Penerangan Kerajaan Negeri Selangor, Dr Badrul Amin Baharom berkata, dakwaan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui bahawa Selangor akan menghadapi krisis bekalan air hanyalah alasan untuk menaikkan kadar air di negeri ini.

“Menteri berkenaan harus berhenti daripada mengelirukan orang awam dengan menimbulkan isu krisis air di Selangor.

“Masalah di Selangor sekarang bukan kekurangan air tetapi tindakan Kerajaan Pusat yang sengaja melambatkan penyelesaian penstrukturan semula syarikat pengurusan air di Selangor,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Menurutnya, hujah Peter Chin mengulas Menteri Besar Selangor semalam adalah kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan bertujuan mengalihkan tumpuan isu pengambilalihan pengurusan industri air di negeri ini,” katanya.

Katanya, sekiranya Kerajaan Persekutuan terus menghalang penstrukturan semula industri air di Selangor, beliau yakin kadar air di negeri ini akan meningkat.

“Ini disebabkan pembinaan Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor yang berkos RM8 bilion, boleh dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dengan kos hanya RM2 bilion selain pengurusan Syabas yang tidak telus dan pembayaran gaji pengerusi yang terlalu tinggi.

“Selain itu, Puncak Niaga juga dilihat gagal menaik taraf loji rawatan air yang sudah uzur dan tidak mampu untuk merawat air dan pembaziran air yang berterusan akibat air tanpa hasil (NRW) yang tinggi akan menyebabkan kadar air akan meningkat,” katanya.

Menurutnya, air, tanah, sumber mineral merupakan milikan negeri Selangor, maka menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri menjaga hak rakyat Selangor.

“Antara usaha Kerajaan Negeri untuk mengembalikan hak rakyat Selangor ialah dengan mencadangkan pengambilalihan industri air di Selangor, serta memberi air percuma bagi setiap penggunaan 20 meter padu,” katanya.

Oleh itu beliau menyeru Kerajaan Pusat mengakui air sebagai hak asasi manusia dan tidak diperalatkan untuk keuntungan kroni atau kepentingan politik.

“Kami juga rayu kepada seluruh rakyat Selangor supaya bertegas memberi sokongan penuh kepada Kerajaan Negeri dalam usaha mengambil alih industri air di Selangor.

“Rakyat lebih berkeyakinan di bawah kepimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Kerajaan Negeri mampu mengurus pentadbiran industri air dengan jauh lebih telus dan berkesan,” katanya.SH

No comments: