Thursday, July 22, 2010

Kerjasama PAS-PKR baik


ALOR SETAR , 22 Julai : Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menafikan desas-desus kononnya terdapat sebilangan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri akan keluar parti berikutan kecewa dengan kepimpinan PKR Kedah.

Katanya, setakat ini, hubungan antara PAS dengan PKR termasuk DAP berjalan lancar dan tiada masalah berhubung kerjasama mahupun komunikasi.


Malah, katanya, ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat (PR) itu kini sedang giat membuat persiapan awal untuk berdepan dengan pilihan raya umum akan datang.

“Saya langsung tiada maklumat mengenai adanya pemimpin PKR mahu keluar parti. Bagaimanapun, sekiranya benar dakwaan itu, saya tak boleh nak buat apa-apa termasuk sekat kehendak mereka,” katanya pada sidang media, selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, semalam.

Azizan mengulas dakwaan Timbalan Pengerusi PKR Kedah, Wan Salleh Wan Isa kelmarin, yang berkata ada sebilangan pemimpin parti itu sedang menunggu kesempatan untuk keluar parti kerana tidak puas hati dengan kepimpinan PKR negeri yang tidak mampu memenuhi agenda peribadi mereka.

Mengulas mengenai lantikan baru menggantikan Wan Salleh sebagai wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) angkat bagi kawasan DUN Kuah, Langkawi, Azizan berkata, nama calon sudah dipilih oleh PKR dan terpulang kepada Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi, selaku ADUN angkat kawasan berkenaan untuk menerimanya.

“Saya serahkan pada Phahrolrazi sama ada setuju atau tidak dengan calon itu, beliau berhak tentukan siapa yang beliau mahukan untuk pikul amanah bagi pihaknya di sana. Saya difahamkan lantikan sudah dibuat,” katanya.

Azizan turut mengumumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan bersidang pada 2 Ogos depan.

“Kita sedang membuat persiapan untuk Sidang DUN dan mengkaji soalan-soalan yang akan dibahaskan kelak, termasuk pembentangan yang akan dibuat. Semuanya berjalan lancar dan tiada masalah timbul setakat ini,” katanya.

Ditanya sama ada DUN mempertingkatkan tapisan yang lebih ketat terhadap soalan yang dibahaskan berikutan timbulnya kontroversi pada soalan DUN lalu membabitkan kuasa Sultan, Azizan berkata, prosedur berjalan seperti biasa dan tiada sebab untuk membuat tapisan yang lebih ketat berikutan insiden itu.

“Sebenarnya bukan soalan yang silap ketika DUN lalu, tetapi orang yang timbulkan kontroversi itu yang tidak faham undang-undang,” katanya sinis.SH

No comments: