Saturday, July 31, 2010

Khir tuduh tanpa bukti


SHAH ALAM , 31 Julai : Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo akan berdepan dengan dua tindakan undang-undang sekiranya beliau gagal menarik balik dakwaannya bahawa aktiviti perlombongan pasir haram di Selangor dilindungi oleh samseng yang mempunyai hubungan rapat dengan DAP Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu berkata, Mohamad Khir perlu mengemukakan semua bukti sekiranya dakwaan beliau benar.

“Saya minta Khir Toyo supaya tidak membuat tuduhan bukan-bukan tanpa mengemukakan sebarang bukti. Sekiranya benar dakwaannya itu, beliau perlu berikan bukti itu kepada pihak polis.

“Keuntungan dari Kumpulan Semesta digunakan untuk rakyat. Saya minta Khir ambil teladan dari urus tadbir Menteri Besar sekarang. Jadi saya cabar kamu berikan bukti menunjukkan kaitan DAP kepada samseng-samseng pasir.

“Jangan jadi pengecut,” katanya dalam sidang media semalam.

Katanya, sebagai Ketua Pembangkang, Khir perlu mempunyai fakta serta bukti kukuh sebelum membuat sebarang kenyataan.

“Jangan hanya tahu cakap kosong...kalau betul Khir berani sila beritahu siapa yang dimaksudkannya itu,” katanya.

Katanya, beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Khir berhubung dakwaan tersebut.

“Tan Sri Khalid juga ada nasihatkan saya untuk lakukan perkara yang sama (saman) dan saya akan bincang dengan peguam saya mengenai perkara ini kerana saya ada cukup bukti untuk mendakwa beliau.

Sementara itu, DAP Selangor menuntut Ketua Pembangkang itu mendedahkan identiti pemimpin DAP serta kumpulan samseng yang terlibat seperti yang didakwa oleh beliau.

Setiausahanya, Lau Weng San berkata, DAP Selangor menggesa Khir menamakan kumpulan samseng yang dimaksudkannya itu jika benar beliau mempunyai bukti menyokong dakwaannya. Italic


“Kita beri masa 48 jam kepada beliau untuk kemukakan bukti serta menarik balik kenyataan beliau sebelum ini dan membuat permohonan maaf secara terbuka.

“Sekiranya gagal, kita akan turut mengambil tindakan undang-undang terhadapnya,” katanya.

Semalam, bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo mendakwa aktiviti perlombongan pasir haram di Selangor dilindungi samseng yang dikatakan ada hubungan rapat dengan DAP Selangor.

Dalam kenyataannya di satu portal berita, beliau turut mendakwa kumpulan samseng terbabit membiayai jentera pilihan raya DAP.SH

No comments: