Friday, July 9, 2010

PAS tidak ikut telunjuk Anwar


GEORGETOWN , 9 10 Julai : Pendedahan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Nordin mengenai wujudnya pemimpin dan ahli PAS yang terlalu taat kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kumpulan yang dikenali ‘Anwarinas’ disifatkan sebagai keluhan seorang yang kecewa setelah dipecat.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, kenyataan Zulkifli adalah sangat tidak berasas.

“Sebagai ahli yang taat setia kepada parti, saya tidak nampak kebenaran pada pendedahannya kononnya PAS berpecah hanya kerana wujudnya pemimpin dan ahli yang terlalu taat kepada Anwar kerana kami mempunyai organisasi dan pemimpin sendiri.

“Mengapa perlu mengikut telunjuk orang lain sedangkan kami juga mempunyai pemimpin yang sangat disanjung tinggi. Mungkin dari segi politik, kami ‘bersama’ di dalam Pakatan Rakyat (PR) namun pada pegangan dan fahaman politik, kami tidak akan mengikut arahan daripada DAP mahupun PKR. Sesiapa pun tidak boleh mempengaruhi kami,” katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya I PAS Pulau Pinang.

Dr Mujahid berkata, kenyataan itu menggambarkan Zulkifli begitu kecewa setelah dipecat daripada PKR sekali gus mendedahkan dirinya untuk diperalatkan oleh Barisan Nasional (BN) yang mengambil kesempatan atas apa yang berlaku terhadap Ahli Parlimen itu.

“Kenyataan itu menggambarkan betapa kecewanya dia yang bercakap mengikut perasaannya saja. Saya percaya, dia ada agenda lain di sebalik kenyataan itu dan mungkin angkara BN yang memperalatkan Zulkifli untuk menyerang PR,” katanya.

“Hari ini, timbul isu ‘Anwarinas’. Selepas ini, dia akan buat kenyataan lain pula bagi menyerang PR. Mereka cemburu dengan kekuatan yang ada pada PR dengan gabungan PAS, DAP dan PKR,” katanya.

Dr Mujahid berkata, kenyataan Zulkifli jelas cuba merendahkan kredibiliti dan daya intelek pemimpin serta ahli PAS.

“Mereka mempunyai kewarasan kepimpinan dan tidak mungkin dipengaruhi oleh mana-mana pihak kecuali kepimpinan PAS sendiri,” katanya.

Bagaimanapun kata Dr Mujahid, kenyataan wakil rakyat Bebas itu tidak akan menjadi perkiraan pada PAS kerana “kami tahu kedudukan Zulkifli”.

“Dia dijadikan alat untuk kepentingan BN bagi melakukan kerja yang tidak berfaedah ini,” katanya.
SH

No comments: