Friday, July 9, 2010

Segera bayar pampasan











KUALA LUMPUR, 9 Julai: Suaram menggesa Peguam Negara supaya membayar pampasan ganti rugi yang berjumlah RM1.4 juta kepada kepada Puan Suzana Md Aris yang telah kematian suami semasa dalam tahanan polis.

Penyelaras Suaram, Yap Heng Lung berkata, pembayaran pampasan tersebut merupakan satu kemenangan rakyat dalam memperjuangkan hak asasi manusia dalam kes kematian dalam tahanan polis.

Puan Suzana merupakan isteri kepada mangsa Mohd Anuar Sharip, 31, yang telah meninggal dunia dalam tahanan polis di Balai Polis Rawang pada 19 Ogos 1999.

Pada 1 Julai 2010, Pesuruhjaya Kehakiman, Lee Swee Seng telah memerintahkan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai dan kerajaan perlu bertanggungjawab membayar ganti rugi sebanyak RM1.4 juta kepada Puan Suzana ke atas kecuaian dan kegagalan pihak polis yang menyebabkan suaminya Mohd Anuar Sharip meninggal dunia dalam tahanan lokap.

“Isu kematian dalam tahanan selalu menjadi isu yang hangat sejak dahulu lagi dan kami memandang amat serius terhadap isu ini kerana perbuatan membunuh seseorang semasa dalam tahanan polis adalah perbuatan yang menyalahi undang-undang dan hak asasi manusia,” kata Heng Lung dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Malah, jelasnya, ia turut menyalahi dan mencabuli Artikel 5(1) seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu menghormati hak bernyawa setiap manusia terutamanya dalam menjalankan tugas tanpa mengira sama ada penjenayah atau orang biasa.

Katanya, mengikut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri di Parlimen baru-baru ini, menyatakan bahawa terdapat sebanyak 153 kes kematian dalam tahanan polis antara tahun 1999 hingga 2008.

“Kami berpendapat bahawa pihak polis perlu bertanggungjawab terhadap segala kes kematian dalam tahanan kerana adalah tanggugjawab polis untuk menjaga OKT (orang kena tahan) dalam keadaan sihat seperti yang dinyatakan dalam Akta Kaedah-Kaedah Lokap(L.N.3289/1958)(4).

“Oleh itu, kami berpendapat bahawa amat penting wujudkan Suruhanjaya Bebas Salahlaku dan Aduan Polis (IPCMC) yang bersifat bebas ,telus dan adil untuk menyelesaikan masalah sedemikian serta mengawal tindakan polis memandangkan terlalu banyak kes kematian dalam tahanan berlaku sekian hari,” ujarnya.

Justeru, katanya Suaram menyeru sekali lagi agar Peguam Negara menghormati keputusan mahkamah dan segera membayar pampasan kepada Puan Suzana kerana segala bukti dalam kes Mohd Anuar Sharip adalah jelas dan kini tiba masanya keluarga mangsa untuk mendapatkan keadilan.hrkh

No comments: