Friday, July 9, 2010

Rakyat dahagakan akhbar harian bebas dan berkecuali


PARIT BUNTAR , 9 Julai : PAS Parit Buntar mengucapkan tahniah kepada Kumpulan Media Karangkraf di atas pelancaran akhbar Sinar Harian Nasional dan kempen ‘Karangkraf Peduli’ 6 Julai lalu.


Ketua Penerangan PAS Parit Buntar, Fakhrurrazi Haji Khalid berkata, akhbar Sinar Harian adalah satu-satunya akhbar harian yang bebas dan tidak memihak dalam melaporkan berita.

Menurutnya, Sinar Harian tidak seperti akhbar harian berbahasa Melayu lain yang ketara memihak kepada parti pemerintah.

“Berita aktiviti PAS dan Pakatan Rakyat terutama melibatkan kebajikan banyak disiarkan oleh akhbar ini.

“Rakyat juga dapat mengetahui perjuangan kami membela mereka kerana langkah berani akhbar ini menyiarkan berita secara bebas dan telus,” katanya.

Fakhrurrazi mahukan Sinar Harian terus mengamalkan sikap terbuka dan berkecuali dalam pelaporan bagi menjaga kepentingan rakyat.

“Akhbar harian berbahasa Cina dan Tamil banyak menyiarkan berita agak bebas berbanding akhbar berbahasa Melayu.

“Kami mengharapkan sikap seperti ini dapat diteruskan dalam setiap pelaporan yang dibuat,” katanya.

Katanya, akhbar yang membuktikan bahan bacaan bermutu, bebas dan berkecuali mempunyai pasaran baik.

“Ramai pembaca menukar langganan akhbar kepada Sinar Harian kerana bebas pendiriannya dan berani menyatakan kebenaran.

“Peningkatan jualan akhbar ini menunjukkan rakyat Malaysia dahagakan akhbar harian yang bebas dan secara tidak langsung membantu meningkatkan budaya membaca dalam kalangan rakyat,” katanya.SH

No comments: