Thursday, July 15, 2010

Pilihanraya pilih ketua kampung



SHAH ALAM, 15 Julai :
Kerajaan Negeri sedang mengkaji kemungkinan mengadakan pilihan raya di peringkat ketua kampung bagi memilih ketua kampung menggantikan sistem lantikan yang diguna pakai ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemoden Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari berkata, pilihan raya itu dilihat sebagai salah satu mekanisme yang boleh digunakan Kerajaan Negeri bagi mewujudkan perkhidmatan lebih baik kepada rakyat di negeri berkenaan.


“Cadangan itu masih di peringkat kajian, ia akan membolehkan rakyat di peringkat kampung memilih sendiri ketua kampung mereka berdasarkan kemampuan dan kebolehan yang dimiliki oleh calon-calon yang bertanding untuk jawatan itu,” katanya.

Yaakob (PKR-Kota Anggerik) berkata demikian semasa menjawab soalan Dr Abd Rani Osman (Pas-Meru) berhubung penilaian ketua kampung di Selangor dan pendekatan yang diguna pakai untuk memantau prestasi mereka.

Tambahnya, ketua kampung ketika ini diberi masa enam bulan sebagai tempoh percubaan bagi membuktikan kemampuan mereka sebagai pemimpin kawasan.

“Kerajaan Negeri juga akan meminta laporan dari ADUN mengenai prestasi ketua kampung di kawasan masing- masing,” katanya.

Ketika menjawab soalan tambahan daripada Haniza Talha (PKR-Taman Medan) berhubung peluang wanita bertanding untuk jawatan ketua kampung, Yaakob berkata pilihan raya itu terbuka kepada sesiapa sahaja yang layak, termasuk wanita.

“Wanita pun boleh bertanding dan diharapkan pilihan raya untuk memilih ketua kampung ini boleh dijalankan,” katanya.SH

No comments: