Thursday, July 15, 2010

Tiada kerjasama dengan Umno


















KUALA LUMPUR, 16 Julai :
PAS mengulangi pendirian tidak akan menjalin kerjasama politik dengan Umno-BN buat masa sekarang, sebaliknya akan terus berada dalam Pakatan Rakyat sehingga pilihan raya umum ke-13.

Sehubungan itu Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku Menteri Besar Kelantan boleh mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin atas kapasiti kerjasama negeri dan pusat.

“Kita, PAS akan bersama Pakatan Rakyat sehingga pilihan raya umum ke-13... kita sudah berjanji macam itu. Tapi kerjasama politik Umno, kita tidak akan terlibat,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Mustafa berkata, PAS tidak pernah mengkhianati mana-mana parti sepanjang enam dekad penubuhannya khususnya ketika menjalin kerjasama politik.

Kata beliau, PAS pernah dikeluarkan dari Barisan Nasional dan kemudian ada parti yang meninggalkan ikatan tidak formal yang dibentuk pada 1990-an dan awal dekad ini.

“PAS pernah membentuk kerjasama bersama DAP dalam Barisan Alternatif pada (pilihan raya umum) 1999 tetapi DAP meninggalkan kami pada 2001 dan kemudia bekerjasama dengan kami pada 2008, kami tidak khianati mana-mana pihak... ini adalah fakta sejarah.

“Kami akan kekal bersama Pakatan sehingga pilihan raya umum ke-13, selepas itu kami tidak tahu... hanya Allah yang tahu apa yang akan berlaku,” katanya.

Ditanya sama ada PAS akan kekal dalam Pakatan Rakyat selepas pilihan raya umum akan datang, Mustafa memberitahu, parti Islam itu akan kekal tetapi “kalau orang lain hendak keluar (selepas pilihan raya umum ke-13), kami tidak tahu.”

“Kami akan bersama Pakatan sehingga pilihan raya umum ke-13, tidak tahu apa akan berlaku kemudian, sebab tiada ikatan perundangan (yang mengikat kesemua komponen dalam Pakatan)... berlandaskan kepercayaan, kami tidak akan khianat,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Mustafa berkata beliau yakin Nik Aziz akan mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin atas semangat kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

“... antara kerajaan negeri dan federalisme, ada banyak isu membabitkan kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan, misalnya isu royalti minyak yang masih belum selesai lagi.

“Jadi saya tidak fikir pertemuan antara Tok Guru dengan Tan Sri Muhyiddin akan menyentuh soal kerjasama politik... PAS sudah membuat keputusan mengenai isu ini, Tok Guru Nik Aziz pun arif dalam perkara ini,” katanya lagi.

Mustafa menjelaskan, PAS akan menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak dalam bentuk bentuk iaitu kerjasama politik, kerjasama antara kerajaan negeri dan pusat dan kerjasama berasaskan isu.

“Dalam kerjasama politik PAS hanya akan bersama dengan Pakatan Rakyat, yang akan dikekalkan sehingga pilihan raya umum ke-13,” kata beliau lagi.

Mustafa ditanya perkembangan politik terbaru ekoran timbulnya semula syor agar PAS dan Umno mengadakan kerjasama perpaduan demi kepentingan orang Melayu.

Menjawab kesediaan Nik Aziz, Muhyiddin semalam berkata beliau akan menentukan masa yang sesuai untuk pertemuan dengan Nik Aziz bagi membincangkan syor kerjasama Umno-PAS yang muncul sekali lagi awal minggu ini.

“Saya menghargai sikap Datuk Nik Aziz yang terbuka dalam hal ini,” kata Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno di Jeli semalam.

Kelmarin Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata beliau sedia bertemu dan berbincang dengan Muhyiddin mengenai “apa juga perkara.”

Menteri Besar Kelantan itu berkata tiada halangan untuknya bersua muka dengan Muhyiddin tetapi perjumpaan itu biarlah tanpa diatur mana-mana pihak ketiga sebagai orang tengah.

No comments: