Sunday, November 14, 2010

Mufti tidak berani beri pandangan


IPOH, 15 Nov. : Dewan Pemuda PAS Negeri kesal dengan sikap Mufti, Tan Sri Dr Harussani Zakaria yang masih belum menjawab persoalan berkaitan tindakan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir semasa menghadiri dan melakukan upacara meletakkan ancak ke tiang seri program Projek Infra Bina Upaya (IBU) di Kampung Guar, Manong pada 17 Oktober lalu.

Naib Ketua, Salman Salleh berkata, sebelum ini Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid ada mengutus sepucuk surat kepada Dewan Pemuda PAS berkaitan isu tersebut, tetapi lebih berbentuk makluman sahaja tanpa ada jawapan yang jelas.


“Persoalannya, mengapa dengan isu yang sebegitu jelas tiada Mufti yang berani memberikan pandangan?

“Mengapa Tan Sri Harussani masih belum memberikan jawapannya yang rasmi walaupun media arus perdana telah mengeluarkan jawapannya,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Beliau berkata, perkara ini akan menyebabkan rakyat terus keliru terutamanya masyarakat Melayu Islam yang sudah lama meninggalkan amalan tersebut.

“Tidak bolehkah Mufti di seluruh negara mencadangkan agar perkara ini dibawa ke Majlis Fatwa Kebangsaan untuk mendapatkan satu kepastian?

“Dewan Pemuda amat sedih sikap membisu seribu bahasa para Mufti, kebimbangan Dewan Pemuda ialah umat Islam di Negara ini akan terus mengamalkan perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam sebenar,” katanya.SH

No comments: