Sunday, November 14, 2010

UMNO buta sejarah, buta perlembagaan dan buta hati


IPOH, 15 Nov. : Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, adalah menjadi tugas ahli-ahli DAP Perak mengembalikan semula negeri itu ke tangan Pakatan Rakyat dan menjadikan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin sebagai menteri besar yang sah.

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang turut mendakwa pemimpin UMNO ‘buta sejarah, buta perlembagaan dan buta hati’ selain menuduh parti itu lebih yang mengutamakan perkauman.


Guan Eng berkata, DAP menolak politik diskriminasi UMNO yang menekankan bangsa Melayu tetapi menjadikan rakyat Malaysia di tempat kedua.

“Apabila UMNO bercakap mengenai Perlembagaan, mereka hanya mengutamakan kedudukan istimewa orang Melayu. Tetapi Perkara 153 turut menyebut kepentingan-kepentingan sah kaum lain. Dalam kata lain, Perlembagaan Persekutuan adalah mengenai (rakyat) Malaysia dahulu, bukan yang kedua.

“Ini menunjukkan UMNO buta sejarah, buta kepada Perlembagaan dan buta hati. Kita mesti lawan UMNO yang bercakap mengenai bangsa sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan hampir 1,000 perwakilan DAP Perak pada perasmian pembukaan Konvensyen Biasa DAP Negeri Perak ke-15 tahun 2010 di hotel Tower Regency di sini, semalam.

Hadir sama, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham.

Guan Eng mendakwa, pemimpin UMNO meletakkan kepentingan kaum Melayu melebihi kepentingan negara.

“Pemikiran ini merujuk kepada kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi, (yang juga Naib Presiden UMNO) baru-baru ini bahawa peratusan rendah penyertaan dalam kalangan bukan Melayu dalam angkatan tentera menunjukkan kurangnya semangat patriotik," katanya.

Beliau juga menyebut mengenai komen seorang pengetua sekolah dan pegawai Biro Tata Negara (BTN) yang didakwa boleh mencetuskan perasaan perkauman.

Guan Eng turut menuduh sebuah akhbar arus perdana kerana cuba menyemarakkan kebencian melalui rencana mengenai 13 Mei.

“Bagaimanapun, tiada tindakan diambil terhadap akhbar terbabit," katanya.

Menurutnya, perjuangan DAP adalah berteraskan Perlembagaan yang menetapkan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera, Islam sebagai agama rasmi, sistem beraja dan bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi.SH

No comments: