Sunday, November 14, 2010

Sultan Kedah puji Azizan tadbir Kedah



ALOR SETAR, 15 Nov. : Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah memuji pentadbiran Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak kerana berjaya menerajui Kedah secara adil, amanah dan proaktif.

Baginda bertitah, rakyat negeri ini diberi layanan yang adil malah hubungan antara kaum semakin erat menerusi pelbagai aktiviti.

“Beta merakamkan ucapan tahniah kepada Menteri Besar yang berjaya menerajui kerajaan dengan baik. Beta dapati Kerajaan Negeri memberi sepenuh usaha dan kerjasama dengan semua pihak bagi memajukan negeri ini,” titah baginda ketika merasmikan persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah semalam.

Tuanku Abdul Halim bertitah, atas semangat itu, kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh hayat Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) dan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) 10 tahun lagi.

“Beta sukacita kerana Kerajaan Negeri berjaya menyiapkan Pelan Pembangunan Kedah Sejahtera yang akan menjadi panduan kepada semua program pembangunan ekonomi dan modal insan di negeri ini,” titah baginda.

Perancangan itu diharap menjadi landasan merangka dan mengembeling sumber kewangan dan tenaga daripada pelbagai pihak bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Sebuah badan pemantau hendaklah ditubuhkan untuk mengukur tahap pelaksanaan projek yang dirancang, selain rakyat diberi ruang menzahirkan aduan, pandangan dan maklumat terkini mengenai tahap kemajuan pembangunan pada masa hadapan,” titah baginda.

Tuanku Abdul Halim turut menyeru petani melakukan transformasi pertanian kepada program pertanian berskala besar termasuk projek estet padi untuk menjadikan Kedah sebagai Jelapang Makanan Negara.

“Pelaksanaan estet padi berjaya meningkatkan pengeluaran padi 5.8 tan sehektar. Beta juga mahu petani menjalankan ternakan akuakultur dan tanaman kontan berskala besar dengan penglibatan syarikat swasta dan anak syarikat milik kerajaan negeri (GLC),” titah baginda.

Tuanku Abdul Halim bertitah, kemasukan pelaburan asing juga memberangsangkan dengan mencatatkan RM1.8 bilion dalam sektor pekilangan bagi tempoh Januari hingga Julai 2010.

Baginda turut bangga dengan peningkatan kutipan hasil tanah RM180 juta bagi tempoh hingga Ogos 2010 berbanding tempoh sama tahun lalu sebanyak RM155 juta.

“Walaupun masih terdapat tunggakan permohonan tanah kerajaan, namun Kerajaan Negeri akan mempercepatkan proses kelulusannya. Setakat September 2010, 3,403 permohonan tanah kerajaan berkeluasan 2,430.45 hektar diluluskan,” titah baginda.

Pada 2011, Kerajaan Negeri akan memproses kelulusan pengeluaran hak milik kepada 1,508 peneroka tanah rancangan Felda yang masih belum mendapatnya.SH

No comments: