Sunday, December 26, 2010

1Malaysia bukan untuk rakyat tapi untuk Umno

Slogan 1Malaysia bawa mudarat kepada rakyat marhaen

Slogan 1Malaysia yang dilaungkan Datuk Seri Najib Razak, jauh dari makna perpaduan jika dinilai dari tindakan dan dasar yang dilakukan kerajaan Umno Barisan Nasional (BN), kata Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin.

Sebaliknya, beliau berkata, ia adalah simbol politik Umno-BN yang membunuh kesucian Parlimen sebagai institusi tertinggi negara, sekali gus menjadikan hari hitam kepada amalan demokrasi di negara ini.

“Rata-rata rakyat Malaysia tidak menikmati 1Malaysia, tetapi 2Malaysia yang penuh dwistandard. Satu untuk Malaysia Umno-BN dan satu untuk Malaysia rakyat marhaen,” katanya pada kenyataan media hari ini.

“Apa erti 1Malaysia apabila kroni Umno-BN seperti Tan Sri Rozali Ismail, CEO Syabas yang menyebabkan kerugian syarikat sehingga berhutang RM2.9 billion tetapi menerima gaji RM 425,000 sebulan?

“Apakah erti 1Malaysia apabila kerajaan BN membelanjakan duit rakyat RM320 juta memberi pinjaman mudah kepada Syabas? Adakah 1Malaysia jika bekas pemimpin UMNO boleh bercuti ke Disneyland dengan membelanja duit rakyat?

“Adakah 1Malaysia namanya apabila pemimpin mendapat komisyen RM534 juta untuk pembelian kapal selam? Atau mungkin inilah 1Malaysia apabila rakyat kerugian RM12 billion akibat skandal PKFZ?” kata Faekah.

Beliau meminta rakyat menilai kembali betapa sejak Najib mendapat ilham 1Malaysia, rakyat dari golongan marhaen terpaksa memikul beban ekonomi yang kian memberat akibat keputusan kerajaan Umno BN.

“Kenaikan harga petrol, bil elektrik, gula, dan barang-barang keperluan asas lainnya berlaku mendadak selepas 1Malaysia diperkenalkan.

“Kenyataan Najib bahawa slogan 1Malaysia bukan alat propaganda politik BN, tetapi wadah penyatuan membina masyarakat amat menggelikan hati,” kata Faekah.

Beliau juga menyifatkan slogan 1Malaysia hanya mengakibatkan syak wasangka kian menebal hingga mendorong isu perarakan kepala lembu, kepala babi dan pembakaran surau.

“Kita pelik dengan sikap ambil mudah Najib yang merasakan rakyat boleh diperdaya melalui satu slogan. Sepanjang 50 tahun memerintah, Umno-BN tidak pernah berhenti melaga-lagakan kaum dan agama.

“Rakyat terutama di Selangor sudah bersatu padu khususnya selepas Mac 2008 yang lalu. Slogan dalam apa bunyi sekalipun tidak memberi makna kepada kami, jauh sekali berasa takut,” ujar Faekah.

No comments: