Sunday, December 26, 2010

PAS Melaka tak cakap kosong

PRU 13: PAS Melaka mampu buat kejutan

ALOR GAJAH, 27 Dis: Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman yakin PAS negeri berupaya membuat kejutan pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU 13) akan datang berdasarkan beberapa perkembangan terbaru yang berlaku di negeri ini.

Abdul Ghani berkata, kesedaran rakyat semakin meningkat tentang kegagalan kerajaan BN yang telah memerintah Malaysia lebih dari 50 tahun.

"Rakyat semakin terhimpit dengan masalah kenaikan harga minyak, barangan keperluan dan juga masalah jenayah yang semakin meningkat.

"Masalah maksiat, gejala buang zina, buang bayi, dadah, rasuah serta kronisme juga semakin menyedarkan rakyat betapa pentingnya menolak BN pada Pilihan Raya Umum akan datang," katanya ketika merasmikan program Jom Turun Padang Dun Asahan dekat sini, semalam.

Menurutnya, rakyat Malaysia juga semakin terpikat dengan tawaran Pakatan Rakyat (PR) yang digariskan dalam Buku Jingga jika berkuasa dalam 100 hari pertama pemerintahannya.

"Rakyat Malaysia sebenarnya sudah mula membuka mata kerana mereka semakin terdedah dengan maklumat alternatif melalui media terkini laman web, blog, facebook dan lain-lain.

"Oleh kerana ituah walaupun BN menyerang PR tanpa henti dalam media arus perdana, TV dan surat khabar mereka, namun rakyat tetap berfikir dua kali untuk menyokong mereka," tambahnya yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Apa yang penting, kata beliau, ahli dan penyokong PAS mesti bekerja keras untuk menyedarkan rakyat supaya mereka berani membuat perubahan pada pilihanraya akan datang.

Katanya, semua petugas PAS dan PR mesti memastikan maklumat sampai kepada semua rakyat sama ada melalui internet, risalah, buletin mahu pun secara lisan.

Selain itu, beliau turut melahirkan rasa syukur di atas kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh pada Konvensyen PR kedua minggu lalu, yang mencadangkan supaya pimpinan tertinggi PR segera mengadakan perbincangan tentang isu Negara Islam.

"Kenyataan Karpal itu jelas menunjukkan bahawa beliau semakin faham dengan prinsip perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS, kalau dulu beliau dilihat menentang keras terhadap negara Islam kini beliau boleh diajak berunding.

"Kita sangat gembira dengan perkembangan ini dan ianya membuktikan bahawa dakwah kita semakin diterima oleh orang bukan Islam," ujar Ustaz Abdul Ghani.

(Gambar: Pengerusi MTD Asahan, Jaafar Abdullah menyerah barangan keperluan dapur kepada seorang ibu tunggal.)

Pada program tersebut, kira-kira 100 pimpinan dan ahli PAS negeri Melaka berganding menziarahi pengundi-pengundi Dun Asahan di mana sekitar 70 buah rumah telah dilawati meliputi 5 unit peti undi.

Selain menziarahi penduduk setempat, pihak Majlis Tindakan Dun (MTD) juga menyampaikan buah tangan berupa barangan keperluan dapur kepada beberapa orang ibu tunggal di kawasan tersebut.

Turut hadir pada program tersebut ialah Timbalan-timbalan Pesuruhjaya, Adly Zahari, Jasme Tompang dan Khamis Saat serta Pengerusi MTD Asahan, Jaafar Abdullah beberapa orang pimpinan kawasan.

No comments: