Wednesday, December 15, 2010

Bila SYABAS nak beri jawapan

Tabung Budi : Kerajaan Negeri Masih Tunggu Jawapan SYABAS













SHAH ALAM, 15 Dis. : Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan pihaknya masih menanti jawapan dari pihak Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) berhubung program Tabung Budi yang dilancarkan syarikat itu.

Beliau sebaliknya sekali lagi mengingatkan SYABAS supaya menumpukan perhatian memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat Selangor dengan menyediakan air bersih dengan tarif air yang berpatutan.

"Kita masih menunggu jawapan dari SYABAS, Kerajaan negeri masih tetap atas pendirian. Kita sudah buat perjanjian dengan SYABAS supaya menguruskan air, pengedaran air kepada masyarakat, bukan sebagai tugas untuk memberi kebajikan. kebajikan boleh diurus oleh kerajaan negeri, " katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor telah menghantar notis kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) supaya menghentikan Program Tabung Budi kerana ia melanggar syarat perjanjian konsesi air.

Notis bertarikh 23 November dikeluarkan oleh Pengarah Kawal Selia Air Selangor, Nor Azmi Diron di bawah Subseksyen 12(2) Akta Pembekalan Air 1997.

Selain menghentikan program tersebut dalam masa 14 hari, SYABAS juga dikehedaki memaklumkan kepada Kerajaan Selangor berkenaan pembatalan Tabung Budi.

Pembatalan tersebut juga perlu diiklankan di dalam akhbar-akhbar utama di Malaysia.

Mengikut notis itu, Lesen Pembekalan Air yang diberikan kepada Syabas mengikut Subseksyen 12 (3) Akta Pembekalan Air 1997 akan dibatalkan jika SYABAS gagal mematuhi arahan pembatalan program itu.

Notis tersebut juga mengingatkan SYABAS bahawa selaku pemegang lesen, syarikat itu hanya boleh mengutip dan menyimpan caj yang masih berhutang (caj tertunggak) oleh pengguna dalam kawasan pembekalan air.

SYABAS tidak dibenarkan mengutip sumbangan daripada orang ramai bagi tujuan membayar caj bekalan air tertunggak seperti yang dilakukannya melalui Tabung Budi.

Tabung Budi dilancarkan SYABAS pada 24 Ogos lalu bagi membolehkan pengguna air membayar balik kos 20 meter padu air bernilai RM11.40 yang disubsidi kerajaan negeri kepada rakyat Selangor setiap bulan, diserahkan kepada SYABAS.

Wang kutipan itu kelak akan disalurkan kepada golongan kurang berkemampuan yang tidak menerima 20 meter padu air percuma bagi mendapatkan semula sambungan air bersih ekoran kegagalan mereka membayar bil.

No comments: