Wednesday, December 15, 2010

Konvensyen Pakatan Rakyat : Angkat institusi rakyat

http://www.thenutgraph.com/user_uploads/images/2009/01/04/Saifuddin%20Nasution.jpg

KUALA LUMPUR, 15 Dis.: Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-2 yang akan berlangsung di Pulau Pinang pada 19 Disember depan akan membincangkan ketetapan untuk mengangkat institusi rakyat sekaligus mengemukakan perspektif baru memulihkan sistem di negara ini, tegas Setiausaha Agong PKR Saifuddin Nasution.

"Kali ini ia bersifat inklusif, maknanya perjuangan Pakatan Rakyat yang mengambil kira semua kepentingan rakyat dan agama," kata beliau kepada TV Selangor di lobi parlimen petang tadi.

Saifuddin berkata antara perkara yang akan dibahaskan termasuk krisis ekonomi di mana negara hilang daya saing dengan negara jiran.

Justeru menurut beliau, usaha tersebut akan mengambil kira bebanan rakyat melalui kenaikan harga barang dan peningkatan kos hidup selepas kerajaan mengumumkan penstrukturan semula subsidi.

Justeru beliau berkata, Pakatan Rakyat akan menawarkan suatu bentuk penyelesian yang dijangka mampu memulihkan ekonomi negara dengan mendahulukan pendapatan rakyat.

"Tawaran kita ialah, Pakatan Rakyat tidak akan terus membebankan rakyat dengan menarik balik subsidi, sebaliknya mengkaji dan merombak semula subsidi dan tauke syarikat besar.

"Subsidi IPP yang menelan hampir 19 billion setahun, itu kita akan rombak dulu maka subsidi kepada rakyat tidak akan kita sentuh sama sekali," jelas beliau.

Saifuddin juga berkata, gabungan Pakatan Rakyat akan turut mengesyorkan penambahbaikan institusi Polis DiRaja Malaysia selain meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai rujukan parlimen.

Katanya lagi, usaha ini mampu memperbaiki kewibawaan institusi penting negara termasuk Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

"Saya optimis bahawa hasil daripada konvensyen ini akan dapat kita laksanakan dan diterjemahkan agar diterima baik segenap lapisan rakyat.

"Dokumen yang akan dibahaskan dan diluluskan oleh Pakatan Rakyat merupakan perincian perkara yang dekat dengan rakyat setelah kita terangkan krisis, kita tawarkan penyelesaian. Penyelesian itu merupakan perincian tawaran-tawaran kita," katanya lagi.

Seterusnya, konvensyen kali ini akan memperkukuhkan lagi penjelasan kepada umum tentang pendirian kerajaan Pakatan Rakyat dalam konteks hubungan kaum menjauhi pendekatan Umno-Barisan Nasional yang seringkali mempersendakan isu perkauman dan agama di negara ini.

Saifuddin menjelaskan bahawa komponen terakhir dalam konvensyen nanti akan mengulangi semula kerangka awal agenda bersama yang diluluskan pada konvensyen pertama di Shah Alam pada 2009 di mana dokumen muafakat rakyat mempertahankan perkara 153 iaitu, kedudukan Raja dan agama Islam sebagai agama persekutuan, kedudukan Melayu dan bumiputera termasuk Sabah dan Sarawak dan kedudukan Bahasa Melayu.

Konvensyen ke-2 Pakatan Rakyat akan berlangsung di Dewan Millenium, Kepala Batas bermula jam 8.30 pagi hingga 5 petang.

No comments: