Tuesday, December 14, 2010

Kerajaan Kedah akan tuntut balik bunga emas dari Thailand

http://www.puncacipta.com/Pavilioncipta/iksas/gambar/sejara2sml.jpg

ALOR SETAR, 15 Dis. : Kerajaan Negeri berhasrat untuk menuntut semula bunga emas dan bunga perak yang pernah diberikan kepada kerajaan Bangkok oleh Kerajaan Kedah suatu ketika dahulu.

Exco Belia dan Sukan, Kesenian dan Warisan, Kebudayaan Negeri, Dr Hamdan Mohamed Khalib berkata, pihaknya telah meminta kerjasama Wisma Putra, Kementerian Luar Negeri supaya membuat permohonan agar sepasang bunga emas dan perak diserahkan semula kepada negeri-negeri yang pernah menghantar ufti tersebut ke Bangkok dan sepasang lagi daripada Great Britain.

“Isu untuk menuntut semula bunga emas ini daripada Bangkok bukan isu baru, ia telah dibangkitkan oleh sejarawan negara sebelum ini. Malah bukan Kedah sahaja yang buat tuntutan, negeri-negeri lain seperti Kelantan juga pernah menyuarakan cadangan itu,” katanya.

Dr Hamdan yang juga Pengerusi Lembaga Muzium Negeri Kedah berkata, sekiranya sukar untuk kita memiliki kembali bunga emas dan perak itu, sekurang-kurangnya pihak luar memberi pengiktirafan dan hak sama rata kepada Kedah terhadap warisan sejarah itu.

“Sekiranya usaha menuntut semula itu gagal, saya cadangkan supaya Unesco memberi pengiktirafan bunga emas dan perak itu sebagai warisan bersama kepada kedua-dua negara, khususnya Kedah dan Bangkok,” katanya.

Menurutnya, semua pihak perlu mencari jalan penyelesaian terbaik supaya pengiktirafan itu dapat dilaksanakan kerana bunga emas dan perak adalah antara simbol kegemilangan sejarah negeri Kedah, dari aspek kreativiti rakyat tempatan termasuk aktiviti perlombongan emas dan perak yang menjadi sebahagian daripada kegemilangan tamadun Kesultanan Melayu Kedah zaman dahulu.

“Walaupun agak sukar untuk kita mendapatkan semula warisan sejarah itu, namun saya percaya jika ada kesungguhan, serta komitmen semua pihak, tidak mustahil kita mampu mendapatkan pengiktirafan daripada Unesco,” katanya.

Dr Hamdan berkata, walaupun ianya hanyalah peninggalan sejarah, namun pengiktirafan itu memberi manfaat besar kepada kedua-dua negara, selain mahu mengembalikan kegemilangan itu sebagai produk pelancongan negeri Kedah.

“Hasrat untuk menempatkan sepasang bunga emas dan perak di negeri ini dipersetujui hasil resolusi yang dicapai pada seminar bunga emas yang diadakan baru-baru ini. Bukan kita sahaja yang mahu hasrat itu direalisasikan tetapi ini juga kehendak pakar-pakar sejarah seluruh negara,” katanya.

Menurutnya, walaupun ada suara-suara sumbang yang mendakwa Kerajaan Negeri seperti ‘buruk siku’, namun bunga emas ini penting dalam nilai-nilai sejarah kita terutama untuk tatapan generasi akan datang.

Dr Hamdan berkata, sebanyak 28 pokok bunga emas telah dihantar kepada pemerintah Thailand di Bangkok sebagai tanda persahabatan dan hubungan mesra dua negara berjiran. Menurut Altarikh Salasilah Negeri Kedah penghantaran bunga emas dan perak ini bermula pada era pra-Islam, di mana kerajaan Thai di Ligor iaitu Nakhonsithamarat membantu Kedah apabila diserang oleh Burma.

Bunga emas dan perak dihantar sebagai tanda terima kasih selain pampasan kerugian kerana membantu Kedah dalam peperangan itu. Selain bunga emas, pemberian lain termasuk dua kayu kain kasa berkepala benang emas, 12 perisai, 12 tombak, 12 lembing dan 12 kayu kain putih. Pemberian ini dihantar disertai surat beradat dengan iringan 100 ekor gajah.

Bunga emas dan bunga perak berketinggian dua meter dan mempunyai empat cabang dengan kuntum bunga berbentuk bunga cengkih dan daun tiruan flora ketika itu.

Dr Hamdan berkata, pada 20 Disember ini, beliau bersama beberapa pegawai Lembaga Muzium Negeri Kedah akan ke Bangkok untuk melihat sendiri bunga emas terbabit yang dipamerkan di Royal Grand Palace.

“Pihak Muzium Negeri Kedah juga akan menerbitkan hasil kertas kerja seminar lalu dalam bentuk buku bagi tujuan dokumentasi dan penyebaran ilmu," katanya.SH

1 comment:

Homestay Saderi Putrajaya said...

blog tuan telah di link, pohon link kan celahgelegar.blogspot.com