Tuesday, December 14, 2010

Saksi lihat tertuduh lepaskan tembakan ‘tap’ tap’ tap’

Aminul rashid






















SHAH ALAM, 14 Dis. : Saksi perbicaraan kes tembakan remaja Aminulrasyid Amzah hari ini memberitahu mahkamah tertuduh, Koperal Jenain Subi mula melepaskan tembakan setelah kereta Proton Iswara putih yang dipandu mangsa menghala masuk ke Jalan Tarian 11/2 di sini.

Anggota polis peronda MPV Balai Polis Seksyen 11 Konstabel Hafizd Mohd Yusof berkata, beliau juga sempat melihat kedudukan Jenain sebelum melepaskan tembakan ketika memandu kereta peronda polis Selangor 614 pada malam kejadian.

"Kepala (Jenain) ke luar tingkap, kaki dalam kedudukan melipat ke atas tempat duduk kerusi penumpang hadapan, manakala senjata diletakkan dibahu dan menghala ke bawah," katanya.

Beliau yang juga rakan setugas membawa Jenain dalam kereta peronda Selangor 614 berkata, jarak antara kereta yang dipandunya semasa Jenain bersedia untuk melepaskan tembakan pertama dengan kereta Proton Iswara BET 5023 adalah sejauh kira-kira 50 kaki.

Beliau dalam keterangannya juga berkata, Jenain melepaskan tembakan ke arah BET 2053 kira-kira 10 das tembakan.

"Tembakan berbunyi ‘tap’ ‘tap’ ‘tap’ kemudian berhenti sekejap dan sambung ‘tap’ ‘tap’ ‘tap’ habis," katanya.

Beliau ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar berkata selang masa antara tembakan pertama dan tembakan seterusnya adalah kira-kira 5 hingga enam saat.

Namun beliau bagaimanapun tidak dapat menentukan lokasi bermulanya tembakan yang dilepaskan Jenain.

Mahkamah menjadi tegang seketika apabila Dusuki kelihatan berang berikutan beberapa soalan yang dikemukakan kepada Hafizd tidak dijawab dengan tepat malah saksi kelihatan cuba menyembunyikan keterangan serta tidak menceritakan hal yang sebenar.

Dusuki cuba memberi amaran kepada Hafizd supaya berterus terang semasa memberikan kenyataan, namum hakim Latifah Mohd Tahar menasihati Dusuki agar tidak berbuat demikian kerana boleh dianggap sebagai menghina mahkamah.

Perbicaraan bagaimanapun tetap bersambung seperti biasa apabila Hafizd dalam keterangannya berkata beliau terkejut apabila mendengar tembakan yang dilepaskan Jenain namun masih boleh mengawal kereta seperti biasa.

Mahkamah sebelum ini mendengar keterangan daripada pemandu kereta peronda Selangor 604 Koperal Azhar Hashim yang turut sama mengejar kereta BET 5023 pada malam kejadian.

Azhar dalam keterangannya semasa disoal peguam bela M Athimulan berkata, melepaskan tembakan adalah cara terakhir bagi anggota peroda untuk memberhentikan kenderaan yang dikejar selepas beberapa kali cuba memintas BET 5023.

Beliau berkata, dalam adegan kejar-mengejar itu kereta yang dipandunya melakukan cubaan untuk memintas BET 5023 sebanyak kira-kira 10 kali namun gagal, malah cuba dihimpit kereta Proton Iswara terbabit.

Beliau juga dalam keterangannya mempertahankan tindakan rakan setugasnya Konstabel Izham Mahayadin yang melepaskan tembakan ke arah kereta BET 5023 walaupun tiada arahan dikeluarkan.

Beliau juga berkata sepanjang mengejar kereta BET 5023, tidak kelihatan sebarang lampu brek daripada kereta tersebut malah ia terus bergerak laju.
Perbicaraan bersambung esok.

Jenain didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid, 15 di Jalan Traian 11/2, Seksyen 11 di sini pada 26 April lalu antara pukul 1.10 pagi dan 2 pagi.

Beliau dibicarakan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

No comments: