Saturday, December 11, 2010

Saham Umno : Rahman Maidin kena bayar RM 10 juta
















KUALA LUMPUR 10 Dis. : Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan bekas pengerusi Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang, Datuk Seri Abdul Rahman Maidin membayar RM10 juta kepada bekas pengarah Realmild Sdn Bhd, Datuk Khalid Ahmad.

Selain itu, hakim Mary Lim juga mengarahkan Rahman membayar kos sebanyak RM70,000, lapor Malaysiakini.

Abdul Rahman MaidinDalam penghakiman lisannya, Lim berkata defenden bukan pendatang baru tetapi aadalah seorang tokoh korporat yang berpengalaman.

Katanya, mahkamah mengakui peranan Khalid dalam penubuhan Realmild dan pemilikan lima peratus sahamnya dalam syarikat itu yang menjadi pertikaian kedua-dua pihak.

Realmild dibentuk pada 1991 dan menguasai Malaysian Resources Corporation Bhd.

"Kes plaintif diperkuatkan dengan pengakuan (bekas pengarang kumpulan New Straits Times Press (M) Bhd) Datuk Seri Ahmad Nazri Abdullah yang juga seorang daripada ahli yang menubuhkan Realmild dan membeli konglomerat media itu daripada Renong," katanya.

Menurut hakim kelemahan defendan kerana tidak memanggil saksi untuk mempertikaikan saham lima peratus saham yang dimiliki oleh Khalid adalah faktor yang menyebabkan beliau mencapai keputusan berkenaan.

Khalid AhmadRahman diwakili oleh peguam Alex de Silva dan Eugene Jayaraj Williams, manakala peguam Ahmad Fadzil Mohd Perdaus bertindak bagi Khalid Ahmad (kiri).

Khalid, bekas pengarah Realmild dan bekas pengarah urusan NSTP, mendakwa beliau memiliki lima peratus saham Realmild dan menerima tawaran Rahman untuk membeli saham yang dimilikinya itu.

Katanya, Rahman telah membayar RM5 juta dan kedua-dua pihak bersetuju bahawa jumlah keseluruhan sahamnya itu akan dijual pada harga RM15 juta, meskipun pada awalnya nilai berkenaan diletakkan pada RM30 juta.

Menurut Khalid, harga RM15 juta itu dipersetujui selepas beliau menerima RM5 juta sebagai sebahagaian daripada bayaran daripada Rahman manakala bakinya akan dijelaskan dalam tempoh setahun.

Katanya, beliau telah berkali-kali meminta Rahman membayar baki RM10 juta itu tetapi Rahman gagal berbuat demikian.

Beliau menuntut bayaran RM10 juta itu bersama faedah pada kadar lapan peratus setahun, kos dan bayaran lain yang difikirkan setimpal oleh mahkamah.

Rahman dalam kenyataan pembelaannya mendakwa saham berkenaan dipegang bagi pihak Umno dan dia diarah menyerahkan pemilikannya dalam Realmild kepada Datuk Seri Syed Anwar Jamullail, adik kepada Raja Perlis.

Justeru, katanya jumlah itu tidak sah atau satu kesilapan dan menuntut supaya bayaran RM5 juta yang dibayar kepada Khalid dikembalikan kepadanya kerana beliau telah kerugian.

No comments: