Saturday, December 11, 2010

Tindakan ke atas Rahman bertujuan 'selamatkan' dana Umno-BN













SHAH ALAM, 11 Dis. : Tindakan perundangan terhadap bekas pengerusi Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang, Datuk Seri Abdul Rahman Maidin yang diarahkan mahkamah membayar RM10 juta kepada bekas pengarah Realmild Sdn Bhd, Datuk Khalid Ahmad adalah bertujuan 'menyelamatkan' dana Umno-Barisan Nasional yang hampir terlepas dari tangan mereka.

Justeru medan mahkamah digunakan untuk 'mengambil' semula hak mereka itu di samping memberikan gambaran kepada rakyat, merekalah kerajaan paling jujur yang sanggup menghapuskan gejala rasuah tanpa memilih bulu.

" Mereka memberi gambaran kepada pihak awam, kononnya kerajaan pimpinan Najib, sanggup menggunakan mahkamah kononnya menunjukkan mereka ini telus, pemimpin-pemimpin Umno juga dikenakan tindakan dan hukuman mahkamah.Kononnya begitu..

" Namun dalam masa yang sama, mereka menggunakan mahkamah ini untuk mendapatkan balik kewangan ataupun habuan mereka yang terlepas yang sedang dilarikan atau diusahakan untuk terlepas daripada genggaman mereka," ulas ahli parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail berhubung tindakan Mahkamah Tinggi mengarahkan Rahman yang juga proksi Umno membayar RM10 juta kepada Khalid.

Menurut Azan lagi,walaupun kelihatan pada mata kasar, Rahman telah melakukan satu kesilapan namun harus kembali kepada perkara pokok bagaimana perkara tersebut boleh berlaku.

Katanya, ketika negara di bawah pentadbiran mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau telah menswastakan syarikat-syarikat milik kerajaan menjadikannya sebagai syarikat Sdn Bhd dan Berhad supaya boleh menjadi punca kepada beliau menjalankan perniagaan bagi pihak Umno pada masa itu.

Maka, selepas itu banyak syarikat yang ditubuhkan atas kepentingan Umno termasuk Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB). Berselindung dari agenda asal mereka, syarikat-syarikat ini dikatakan didirikan untuk golongan Bumiputera.

Namun ironinya, majoriti syarikat yang berkepentingan kerajaan pada waktu itu adalah berkepentingan Umno, tambah Azan lagi.

" Setakat ini kalau mengiku buku laporan belanjawan kita, ada 95 syarikat-syarikat yang ada kaitannya dengan berkepentingan kerajaan sama ada link kerajaan,link pelaburan kerajaan atau pun syarikat-syarikat yang bersekutu, dipegang kepentinganya oleh kerajaan dan juga kepentingan jemaah Umno," jelas Azan.

Tambah beliau lagi, syarikat-syarikat inilah yang memainkan peranan sebagai penyumbang dana kepada kerajaan Umno-Barisan Nasional misalnya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum.

Namun, mereka-mereka yang ingkar mahupun cuba berlaku 'curang' dengan mengkhianati perjanjian akan menerima nasib malang seperti yang menimpa Rahman, ujar Azan lagi.

" Saya menjangka ada yang dilarikan atau yang cuba dirembat sesama sendiri. Saya tidak hairan perkara ini kerana gambaran yang cuba ditunjukkan pimpinan Umno itu sendiri pun tidak jujur, pemimpin Umno itu sendiiri dalam keadaan cuba mengambil kesempatan satu sama lain, dia tidak kira.

" Bukan itu sahaja. Sebenarnya ada banyak kes yang ditunggu oleh Umno-BN untuk ambil balik dan dalam masa yang sama, mereka dapat dua faedah," tambahnya lagi.

Sambil menyifatkan sikap pimpinan Umno tidak ubah seperti 'enau dalam belukar', Azan menambah, mereka ini juga tidak senang melihat kejayaan sesama mereka dan suka menjatuhkan rakan sendiri.

Justeru tidak mustahil katanya, pimpinan Umno akan terus bertikaman sesama sendiri sehingga ke akhir usia politik mereka.

" Mereka ini bukan pandai tetapi jahat. Tetapi jahat ini selalu dilihat pandai. Kita kena tahu. Orang jahat selalu dilihat pandai apabila dia pandai untuk mengolah perkara itu sehingga orang anggap benda itu betul.

" Mereka tidak kira. Macam enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing...", tambahnya lagi.

No comments: