Tuesday, January 18, 2011

'Ada udang sebalik mee' , Gobala menentang PKR

Gobalakrishnan bimbang kedudukan

http://2.bp.blogspot.com/_5hd7oe3kKow/TSCbKSRO9uI/AAAAAAAAFOA/JM4vXcpyIZU/s1600/gobalakrishnan.jpgALOR SETAR, 19 Jan. : Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan didakwa terpaksa mengambil pendekatan menentang parti disebabkan bimbang kedudukannya sebagai wakil rakyat bakal terjejas berikutan kes mahkamah yang sedang dihadapinya ketika ini.

Seorang pemimpin kanan PKR Kedah mendakwa, Gobalakrishnan yang didapati mengaku salah terhadap pertuduhan menghalang tugas polis dan dihukum denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Georgetown, Pulau Pinang tahun lalu bimbang permohonan yang dibuat di Mahkamah Rayuan ditolak berikutan pernah melakukan perbuatan serupa pada 2007.

Menurutnya, peluang Mahkamah Rayuan menerima permohonannya dianggap tipis dan Gobalakrishnan kini terpaksa menentang parti bagi membolehkan beliau mengekalkan kepentingannya sekiranya bertindak melompat parti.

“Bagi saya, Gobi (Gobalakrishnan) membuat kesilapan apabila mengaku salah di atas pertuduhan ke atasnya kerana ianya membatasi peluang beliau untuk mengemukakan rayuan hingga ke Mahkamah Persekutuan.

“Mungkin beliau sudah berasa tidak selamat berada di kerusi Parlimen yang diduduki, Gobi terpaksa menyerang parti bagi membolehkan beliau tidak berputih mata dengan melompat parti sekiranya rayuannya ditolak,” katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian di sini.

Pemimpin kanan PKR negeri yang enggan dikenali itu turut mendedahkan Gobalakrishnan adalah antara pengikut setia Presiden Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita), Datuk Zaid Ibrahim dan tidak menolak kemungkinan bakal mengikut jejak langkah bekas Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan itu tidak lama lagi.

“Semua ahli PKR sudah maklum Gobalakrishnan adalah orang kanan Zaid dan tindakan beliau lantang mengkritik parti sudah dapat diduga.

“Segalanya bergantung kepada keputusan Mahkamah Rayuan dan sekiranya rayuannya ditolak, kemungkinan beliau keluar parti adalah 80 peratus,” katanya.

Ditanya sama ada ketiadaan Gobalakrishnan akan melemahkan jentera PKR Kedah bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang, pemimpin kanan PKR Kedah menegaskan parti itu kini di bawah proses pemutihan.

“Kita tidak memerlukan pemimpin yang meletakkan kepentingan diri mendahului kepentingan parti,” katanya.

Sebelum ini, Gobalakrishnan yang juga bekas Ketua Cabang Padang Serai, didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Georgetown, selepas didapati bersalah menghalang tugas polis dan menghadapi risiko hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Padang Serai jika Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan itu.

Gobalakrishnan, 50, didapati bersalah menghalang tugas seorang anggota polis, Cif Inspektor V Salavanan pada sambutan Thaipusam di Jalan Utama, Georgetown, kira-kira jam 12.20 tengah hari pada 29 Januari 2002.

Gobalakrishnan yang ditahan di lokap mahkamah selepas hukuman dijatuhkan, membayar denda itu di pejabat Pendaftar Mahkamah petang semalam bagi membolehkan beliau memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan Perkara 48, Perlembagaan Persekutuan seseorang anggota Parlimen akan hilang kelayakannya apabila disabitkan atas suatu kesalahan oleh sesuatu mahkamah di Persekutuan dan dihukum dengan penjara tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000.SH

No comments: