Tuesday, January 18, 2011

Najib tiada modal kritik buku Jingga

KUALA LUMPUR, 19 Jan: Keengganan Datuk Seri Najib Razak berdebat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu janji 100 hari Pakatan Rakyat, menunjukkan perdana menteri itu sebenarnya tiada modal untuk mengkritik tawaran tersebut.

Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli berkata, tawaran yang dikemukakan Pakatan Rakyat sebenarnya sangat bertanggungjawab dan telus sehingga pemimpin Umno takut untuk menerima kenyataan.


Beliau berkata demikian pada forum 100 hari Pakatan Rakyat malam tadi yang turut membidas keengganan Khairy menyertai forum tersebut.

"Sebab kenapa Najib dan kenapa Khairy tak ada di sini malam ini kerana mereka tidak mungkin boleh menolak hujah dan fakta yang telah kita berikan. Kalau Najib ada jawapan dah lama beliau buat debat terbuka dan siar di televisyen.


"Tapi sebab beliau tak ada jawapan, hari ini bila ditanya sekali lagi kenapa beliau mengelak dari berdebat yang dijawabnya adalah serangan peribadi , sebab Anwar itu bersalah, ada kes mahkamah, masalah lompat parti dalam PKR. Apa kena mengena lompat parti dengan pemberian subsidi? soalnya sinis.


Selain Rafizi, Forum anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat dan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan itu turut disertai dua lagi ahli panel iaitu Ahli jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Dzulkefly Ahmad dan Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua.


Dr. Dzulkefly dalam hujahnya mendakwa program 100 hari Pakatan Rakyat bukan sekadar angan-angan kosong namun disertai dengan formula dan perkiraan yang tepat untuk dilaksanakan.


Beliau yang juga bekas Pengarah Pusat Penyelidikan PAS berkata, Pakatan Rakyat sebelum ini telah membuktikan mereka berjaya menggunakan hasil negeri untuk kebajikan rakyat.


"Yang kami kemukakan dalam buku jingga itu bukan satu cita-cita yang melangit, sebabnya kami telah lakukan sejak tiga tahun sejak kami mentadbir negeri Selangor, Pulau Pinang dan lain-lain," katanya.


"Apabila kami bentangkan buku jingga, tak ada cara lain mereka (Umno) boleh takutkan rakyat kecuali mengungkapkan kata-kata keramat bahawa negara akan bankrap kalau Pakatan memerintah termasuk kalau kita berikan RM500 kepada setiap guru di negara ini," katanya lagi.


Ahli Parlimen Kuala Selangor itu juga berkata, semua negara ketika ini sedang berhadapan dengan "peperangan mengatasi hutang dunia".


Malaysia yang menanggung hutang kira-kira RM362.69 bilion juga tegasnya tidak terlepas daripada menghadapi peperangan itu dan menyebabkan kerajaan cukup takut untuk memberikan subsidi kepada rakyat.


"Perdana Menteri mengingatkan rakyat bahawa kalau rakyat diberikan subsidi RM19 bilion setahun, maka negara akan bankrap.


"Kalau sebelum 8 Mac 2008 bolehlah gunakan kaedah menakut-nakutkan rakyat kerana rakyat belum berapa celik maklumat tapi hari ini dengan politik baru, rakyat sudah diperkasakan dan dimerdekakan dengan maklumat dalam media baru," katanya.


Tony Pua pula berkata, melalui Program 100 Hari Pakatan Rakyat, negara boleh mengambil alih konsensi lebuh raya tanpa menyebabkan negara bankrap.


“Mereka (BN) kata pengambilan ambil alih lebuh raya akan memufliskan negara tapi tidak sebaliknya kita boleh membantu rakyat," kata Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara.


Pakatan Rakyat menggariskan 10 perkara asas dalam Program 100 mereka jika diberi mandat memerintah Malaysia.


Perkara tersebut adalah:


1. Mereformasikan institusi penting negara seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pejabat Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia untuk mengembalikan kewibawaan kepada sistem pentadbiran kerajaan;

2. Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA);
3. Mengarahkan Khazanah Nasional Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuh raya untuk menyempurnakan ambil alih aset lebuh raya oleh kerajaan dengan tujuan menghapuskan tol;
4. Merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan subsidi kepada pihak swasta dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat;
5. Mengiktiraf peranan dan jasa kakitangan awam dengan mengkaji semula struktur gaji bermula dengan menaikkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan setiap guru sebagai penghargaan kepada mereka;
6. Menjadikan air sebagai hak rakyat dengan mengembalikan semua konsesi pengurusan air yang diuruskan swasta kepada kerajaan;
7. Menyediakan perkhidmatan internet Wi-Fi percuma kepada semua rakyat di kawasan bandar dan separa bandar;
8. Membatalkan Felda Plantations bagi membuka ladang yang kini diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga FELDA;
9. Menaikkan royalti minyak kepada Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan kepada 20 peratus;
10. Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin dan kerakyatan di Sabah.

No comments: