Tuesday, January 25, 2011

Cikgu Mala paling sesuai

Mahfuz- Cikgu Mala Wanita Besi


LABIS 26 Jan.: Pemimpin PAS menggambarkan calon Pakatan Rakyat DUN Tenang sebagai seorang wanita besi apabila menawarkan diri sebagai wakil rakyat untuk mengangkat martabat masyarakat, masuk hari ketiga kempen Pilihanraya Kecil di DUN Tenang.

Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar berkata, kewibawaan yang dimiliki Normala Sudirman adalah pilihan yang sesuai berbanding calon Umno-Barisan Nasional.

"Saya kira Cikgu Mala seorang wanita besi. Kalau lihat raut wajar dia seorang yang lembut, tapi keberanian untuk meletak jawatan seorang guru bukan bertujuan untuk bertanding pilihanraya tetapi untuk menceburkan diri sepenuh masa dalam politik perjuangan untuk bersama dengan rakyat di bahagian Labis ini.

"Sebab itu Cikgu Normala seorang yang sangat wajar diberi sokongan dan dokongan oleh semua lapisan masyarakat kepada beliau pada pilihanraya kecil 30 haribulan nanti," ujar beliau ketika menghadiri sesi penerangan di pusat ceramah DAP Pekan Labis semalam.

Berceramah di hadapan kira-kira 500 masyarakat Pekan Labis yang hadir malam tadi, Mahfuz turut mengulas kecuaian calon Umno-Barisan Nasional sehingga disaman di mahkamah ketika menjawat Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat pada tahun 2003.

Ketika itu, Azahar Ibrahim melelong tanah milik Mansor Mohamad kepada pembeli bernama Rohana dengan harga RM70 ribu tanpa pengetahuan beliau.

Justeru pada tahun 2004, mahkamah mengarahkan Azahar dan Pejabat Tanah Daerah Segamat membayar dengan kos kepada Mansor.

Rohana turut menyaman Pejabat Tanah RM1.5 juta atas kecuaian dan kes tersebut masih didengari di mahkamah.

Mahfuz menambah, perilaku calon yang tidak mampu membela nasib kaum sendiri pada ketika itu kontra dengan janji yang ditawarkan beliau kepada penduduk DUN Tenang pada pilihanraya kecil nanti.

"Bila mahkamah memutuskan menerima tuntutan Puan Rohana, bermakna kerajaan kena bayar kepadanya RM1.5 juta. Siapa yang jadi punca, Azahar calon Barisan Nasional. Wang yang akan dibayar bukan wang Azahar, tapi wang dari poket rakyat khususnya penduduk daerah Segamat.

"Bagi saya ini bukan kecuaian, ini soal integriti dan amanah," ujarnya lagi.

Beliau menyifatkan tindakan BN meletakkan Azahar sebagai calon merupakan satu penghinaan kepada pengundi di DUN Tenang.

"Pengundi DUN Tenang mahu calon yang bersih, mahu calon yang berintegriti, akauntabiliti dan cekap. Ini yang kita mahu daripada calon yang bertanding dalam pilihanraya dan ini ada pada Cikgu Normala Sudirman," ujar beliau disahur tepukan gemurah kaum Tiong Hua yang hadir.

No comments: