Tuesday, January 25, 2011

Umno politikkan isu Bazar Tok Guru

Hasrat hendak bantu peniaga: MB

http://pinkturtle2.files.wordpress.com/2010/03/aa1.jpgKOTA BHARU, 26 Jan.: Kerajaan Negeri Kelantan menyenaraikan nama peniaga Arked Uda untuk menyewa atau membeli lot kedai di Bazar Tok Guru sebagai hasrat membantu peniaga kecil terbabit.

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kawasan perniagaan Arked Uda bukan di bawah Kerajaan Negeri.

Menurutnya, Bazar Tok Guru pada asasnya dibina bagi memberi peluang kepada peniaga di Bazar MPKB kerana bangunan itu akan diruntuhkan.

“Saya difahamkan tapak Arked Uda akan dibina hotel, Kerajaan Negeri bersimpati dengan nasib peniaga kecil di situ dan kami menawarkan peluang berniaga di Bazar Tok Guru bersama peniaga Bazar MPKB.

“Kami bagi tahu awal-awal lagi, sama ada nak beli atau nak sewa kena bayar dengan harga yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ganjaran kepada pemain bola sepak Kelantan bersempena muncul juara Piala Malaysia 2010 dalam majlis di Kota Darul Naim, di sini semalam.

Nik Aziz berkata, isu Bazar Tok Guru sengajakan dipolitikkan pihak tertentu sedangkan Kerajaan Negeri berusaha membantu peniaga.

“Peniaga Bazar MPKB diarahkan pindah kerana bangunan itu akan diruntuhkan, kita menangguhkan setahun lagi bagi membolehkan tempat perniagaan untuk mereka disiapkan terlebih dahulu.

“Dalam masa sama peniaga Arked Uda juga bakal hilang tempat apabila Uda berhasrat membangunkan kawasan itu,” katanya.

Kerajaan Negeri katanya, hanya akan membuat permohonan tanah Uda itu untuk peniaga asal sekiranya Uda tidak mematuhi syarat.

Ketika ditanya mengenai ruang niaga yang sempit di Bazar Tok Guru, Nik Aziz berkata, ia bagi membolehkan peniaga daripada kedua-dua kawasan itu mendapat tempat.

“Memanglah sempit, sebab pada asalnya kami mencadangkannya untuk peniaga Bazar MPKB sahaja, kami betul-betul nak tolong mereka (peniaga Arked Uda),” katanya.

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed menyatakan persediaannya untuk berhubung dengan Nik Aziz bagi menyelesaikan isu pemindahan peniaga ke Bazar Tok Guru.

Mustapa berharap nasib 415 peniaga kecil yang menjalankan aktiviti perniagaan di Pasar Lambak Arked Uda dan Bazar MPKB perlu diberi perhatian sewajarnya.

Projek Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Menteri Besar Kelantan itu (PMBK) dikatakan menyediakan 384 lot dengan keluasan setiap unit kira-kira 1.82 x 2.4 meter persegi sahaja berbanding keluasan kira-kira 3.04 x 3.65 meter persegi seperti yang dijanjikan.SH

No comments: