Friday, January 28, 2011

Hanya saksi mahkamah : Pengundi Tenang bukan bodoh

Calon Umno (Tok Ai) Terus Berbohong

Laporan akhbar “Azahar unfazed by allegation” (The Star 28/1/2011) jelas membukti- kan calon Umno bukan sahaja enggan mengakui keputusan Mahkamah tentang lelongan haram yang beliau lakukan malahan ianya membuktikan bahawa calon Umno terus dan terus berbohong kepada pengundi di DUN Tenang dan rakyat Malaysia umumnya.

Meskipun pendedahan yang Pas lakukan ke atas calon Umno sebelum ini bersandarkan fakta-fakta yang benar dan tepat yang disokong oleh dokumen-dokumen Mahkamah, calon Umno masih tidak malu untuk terus berbohong kepada rakyat di DUN Tenang.

Kenyataan calon Umno secara terbuka bahawa beliau bukan pihak yang disaman dan hanya semata-mata menjadi saksi dalam kes yang didedahkan oleh Pas menunjukkan calon Umno masih menganggap rakyat di DUN Tenang adalah golongan yang tidak cerdik dan tidak dapat membezakan antara pihak yang disaman dengan seorang saksi.

Tidakkah kenyataan calon Umno tersebut secara jelas cuba menghina rakyat DUN Tenang dengan menganggap mereka tidak mengambil peduli sama sekali sama ada calon Umno mempunyai integriti, kredibiliti dan kelayakan bagi mewakili rakyat DUN Tenang.

Kita ingin bertanya kepada calon Umno bagaimanakah beliau dengan secara mudah menyatakan bahawa beliau hanya seorang saksi dalam kes lelongan haram yang beliau lakukan ke atas hartanah seluas 8 ekar milik Mansor bin Mohamad sedangkan Yang Arif Hakim Dato’ Asmadi Bin Haji Asnawi, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Muar telah secara jelas pada 29/1/2008 memutuskan bahawa hartanah Mansor dilelong secara haram oleh calon Umno di atas kapasitinya sebagai Penolong Pentadbir Tanah Daerah yang bertanggungjawab mendengar siasatan hartanah Mansor dan kemudiannya mengeluarkan notis lelong hartanah tersebut.

Adakah calon Umno ingin terus menghina daya intelektual rakyat Tenang dengan menyatakan bahawa Yang Arif Hakim Dato’ Asmadi Bin Haji Asnawi tidak arif atau tidak tahu membezakan antara saksi ( witness ) dan pihak ( party ) dalam tindakan saman Mansor. Kami melihat kenyataan calon Umno ini boleh juga dianggap menghina Mahkamah.

Adakah masuk akal jika calon Umno hanya menjadi seorang saksi dalam kes lelongan haram tanah Mansor beliau masih dijadikan sebagai pihak iaitu sebagai Defendan Pertama dalam kes tuntutan Puan Norhana binti Mohd Ali ke atas beliau iaitu kes Guaman Sivil No : 23-14-2009 di Mahkamah Tinggi Muar.

Dengan kenyataan calon Umno yang terbaru ini kita tertanya-tanya adakah calon Umno tahu apa yang sebenarnya berlaku kerana kenyataan beliau yang terbaru ini menunjukkan beliau seolah-olah bertindak di luar sedar.

Adakah rakyat Tenang ingin terus dihina oleh calon Umno dengan membiarkan beliau terus dan terus berbohong kepada rakyat Tenang.
Sidang Akhbar PAS PRK N.05 Tenang

Hj Dzulkefly Ahmad
Timb.Pesuruhjaya PAS Johor
MerangkapPengarah Operasi PRK N.05 Tenang
28 Januari 2011

No comments: