Friday, January 28, 2011

Kredibiliti SPRM dipertikai

Sivarasa: SPRM Siasat Phang, Peguam Negara Kebal


SHAH ALAM 28 Jan.: Perletakan jawatan Tan Sri Robert Phang sebagai anggota panel Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dianggap berani oleh Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa.

Jelas Sivarasa beliau menyokong tindakan Robert Phang yang jelas menunjukkan beliau sudah tidak mempercayai kredibiliti SPRM sebagai sebuah badan siasatan.

Sivarasa turut tidak menolak terdapat kemungkinan Peguam Negara ini berselindung disebalik kekebalan politik sehingga menyebabkan beliau langsung tidak boleh disentuh dengan siasatan pihak SPRM dan ini menyebabkan timbulnya pertikaian.

"Tafsiran orang akan buat adalah AG(Peguam Negara) kita sekarang ini ada perlindungan politiklah ataupun kekebalan, di mana dia ada pengaruh yang diusahakan di belakang dan nampak dia ada pengaruh dengan pihak-pihak tertentu.

"Pendirian Robert Phang adalah siasatan perlu diteruskan, malangnya ada unsur-unsur seolah-olah tidak mahu siasatan diteruskan dan ini menjadi pertikaian," katanya.

Beliau yang ketika dihubungi Tv Selangor turut melahirkan kekecewaan terhadap penyalahgunaan kuasa yang digunakan Tan Sri Abdul Gani Patail sekaligus mengakibatkan siasatan terhadap kes lain seperti rasuah tidak dapat dilakukan secara telus dan terbuka.

Phang hari ini mendakwa bahawa beliau telah menjadi subjek 'serangan berbisa' kerana meminta Peguam Negara, Gani Patail untuk membersihkan namanya dalam beberapa kes berprofil tinggi.

Antaranya skandal kerugian Penerbangan Malaysia (MAS) dan pemergiannya ke Makkah untuk menunaikan haji tahun lalu ditaja oleh Shahidan Shafie, seorang proksi bekas Pengerusi MAS, Tan Sri Tajuddin Ramli.

Sebelum ini, Robert Phang telah menyeru Gani untuk menjawab tuduhan-tuduhan yang dilemparkan padanya dalam laman web Malaysia Today mengenai spekulasi hubungan beliau dengan Shahidan sebagai bukti mengapa Gani tidak bertindak terhadap Tajuddin.

Tajuddin yang mentadbir MAS sehingga mengalami kerugian terbesar sebanyak RM8 bilion meskipun disarankan berbuat demikian oleh bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis, Datuk Ramli Yusof.

No comments: