Friday, January 28, 2011

Tekad ambil alih syarikat konsesi air untuk rakyat

Kerajaan Selangor Ulangi Komitmen Ambil Alih Syarikat Konsesi Air


SHAH ALAM 28 Jan. : Kerajaan Selangor mengulangi komitmen untuk mengambilalih syarikat konsesi air bertujuan membekalkan perkhidmatan air dengan kadar harga yang munasabah selaras dengan agenda "Merakyatkan Ekonomi Selangor, kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Sehubungan itu, kenyataan Puncak Niaga Holdings Bhd (Puncak Niaga) dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS ) bahawa syarikat tidak boleh membuat keputusan berhubung tawaran pengambilalihan itu kerana dokumen tawaran yang dikemukakan Kerajaan Selangor tidak terperinci adalah kabur dan berniat jahat.

Menurut Tan Sri Khalid dalam kenyataan medianya berkata dokumen tawaran yang dibuat oleh Kerajaan Selangor bagi pengambilalihan syarikat-syarikat konsesi air disediakan dengan terperinci dan mengandungi maklumat mencukupi untuk syarikat konsesi terbabit membuat keputusan.

Dokumen tawaran berkenaan disediakan secara profesional dan memenuhi kehendak piawaian antarabangsa, dengan memberi perhatian terhadap setiap terma bagi mengelak sebarang keraguan.

"Kenyataan Pengarah Urusan Puncak Niaga, Datuk Hashim Mahfar itu hanyalah bertujuan melengah-lengahkan proses pengambilalihan oleh Kerajaan Selangor yang mahu memberi perkhidmatan dan pembekalan air yang lebih berkualiti kepada rakyat," kata Tan Sri Khalid.

Menurut Tan Sri Khalid, Kerajaan Selangor menekankan bahawa perkara ini boleh diselesaikan dengan baik jika kerajaan negeri dibekalkan maklumat-maklumat yang sepatutnya diberikan. Puncak Niaga dan SYABAS perlu faham bahawa tawaran bersyarat ini tertakluk kepada maklumat-maklumat yang telah diberikan kepada Kerajaan Selangor.

"Nilai tawaran bagi pengambilalihan ini boleh dilakukan secara lebih adil dan munasabah yang diterima semua syarikat konsesi jika Puncak Niaga dan SYABAS memberikan maklumat yang diperlukan kepada Kerajaan Selangor. Dalam mana-mana pengambilalihan syarikat, ketelusan adalah menjadi kemestian bagi menjamin penyelesaian yang adil dan saksama," katanya.

No comments: