Sunday, February 13, 2011

Himpunan 30 ribu pemuda PAS

Tok Guru dinanti

http://2.bp.blogspot.com/_GmHt76QSAcA/TUBANcRCKWI/AAAAAAAABOI/kf9abCKmQ1U/s900/himpunan.jpg

ALOR SETAR , 14 Feb. : Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat atau Tok Guru dijangka hadir pada Munajat dan Ceramah Perdana 19 Februari (Sabtu) ini sempena program Himpunan 30,000 Pemuda Pas seluruh Malaysia, yang akan diadakan di Kompleks Pas Kedah, Simpang Empat.

Ketua Dewan Pemuda Pas Negeri Kedah, Ahmad Yahya berkata, selain Nik Abdul Aziz, pemimpin Pas yang turut memeriahkan program ialah, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa; dan Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia, Nasrudin Hassan Tantawi.

“Antara program menarik yang diatur ialah pidato khas yang mengupas topik Motivasi Pilihanraya Pemuda oleh Naib Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Salahuddin Ayub; Ketua Penerangan Pas Pusat, Idris Ahmad; dan Datuk Abu Bakar Chik serta Mohamad Sabu,” katanya.

Menurutnya, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak akan merasmikan program ini pada 10 pagi.

:Ahmad berkata, Himpunan 30,000 Pemuda Pas atau lebih dikenali sebagai Himpunan 30K Pemuda adalah lanjutan kepada perhimpunan sama pada tahun 2006 di Kelantan.

“Pada 2006 Dewan Pemuda Pas anjurkan Himpunan 15K sebagai penanda aras sistem Komuniti Unit Kerja Jemaah (UKJ) yang dibangunkan setahun sebelum itu. Lima pemuda setiap cawangan yang didaftarkan melalui Sistem Komuniti UKJ menyertai himpunan itu,” katanya.

Menurutnya, setelah empat tahun berlalu, perhimpunan yang sama dirancang dengan jangkaan peserta dua kali ganda, dengan menyasarkan 10 pemuda yang didaftarkan melalui sistem Komuniti UKJ.

“Saya yakin sasaran ini akan tercapai. Jika dikumpulkan sebanyak 3,000 cawangan yang berdaftar, seramai 30,000 pemuda mampu dihimpunkan,” katanya.

Ahmad berkata, himpunan ini memerlukan komitmen yang tinggi daripada semua Ahli Jawatankuasa serta pimpinan bagi merealisasikannya.

“Antara objektif kita adalah untuk melihat kemampuan dan kekuatan pemuda di seluruh negara di samping menggempur Parlimen dan DUN yang disasarkan sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13,” katanya.

Menurutnya, program ini juga adalah untuk menonjolkan pemuda sebagai pendokong utama Kerajaan Negeri Kedah selain berikrar untuk mempertahankan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Kedah.

Ahmad berkata, ahli Dewan Himpunan Penyokong Pas (Pemuda) dari setiap negeri juga akan hadir.

“Saya harap program ini mendapat sokongan padu semua pihak. Mudah-mudahan dengan segala usaha ini menjadi satu persiapan untuk Pas menghadapi PRU-13 yang bakal tiba tidak lama lagi,” katanya.

Selain membincangkan hala tuju Pemuda Pas, program ini turut menyelitkan program selingan khusus untuk tarikan anak muda seperti konsert dan perlawanan bola sepak persahabatan.SH

No comments: