Sunday, February 13, 2011

Khusrin kena buat kerja yang ditugaskan

Khusrin Punyai Tugas Tersendiri Sebagai SUK - Tan Sri Khalid


SHAH ALAM 13 Feb. : Pihak media sewajarnya tidak menjadikan upacara angkat sumpah Datuk Mohd Khusrin Munawi selaku Setiausaha Kerajaan Negeri sebagai sesuatu yang amat penting berbanding gerak kerja kerajaan Selangor mentadbir negeri ini.

Demikian tegas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim ketika ditemuramah pemberita dalam satu sidang media di ibu negeri, pagi Ahad.

"Saya lihat, akhbar melihatnya sebagai satu perkara yang penting. Peranan Setiausaha Sulit adalah sebagai salah satu pasukan. Beliau sebahagian daripada pasukan ini. Kita bukan main badminton. Kita main bola sepak. Kita akan bawa dia masuk dalam pasukan kita dari masa ke semasa dan mempunyai tugas," katanya.

Khalid juga menjelaskan, proses angkat sumpah SUK tidak perlu disegerakan ekoran terdapat banyak lagi tugas penting yang perlu diuruskan kerajaan negeri.

"Majlis angkat sumpah simpan rahsia akan dilaksanakan mengikut peraturan,dan semua pihak berkaitan tidak seharusnya bimbang apa-apa. Mohamad Khusrin sudah berada dalam pasukan kami dan diberikan tugas melaksanakan dasar-dasar negeri dari semasa ke semasa, itu yang lebih penting," katanya.

7 Februari lalu, Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim mengarahkan Datuk Mohamad Khusrin Munawi memberi keutamaan kepada hartanah milik kerajaan Selangor, terutamanya yang terbiar dan bermasalah.

Tugasan pertama ini diberikan Khalid Ibrahim setelah mengadakan pertemuan dengan Khusrin di pejabatnya minggu lalu.

Menteri Besar telah memberitahu Mohamad Khusrin bahawa beliau perlu bekerjasama dengan pegawai daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan hartanah milikan kerajaan Selangor ini dijaga dengan baik.

Khusrin juga perlu menyediakan laporan dari semasa ke semasa kepada kerajaan negeri mengenai maklumat terkini hartanah milik Kerajaan Selangor, demi mengenal pasti nilai tanah yang terbiar dan bermasalah.

Di samping itu, Khusrin juga perlu meneruskan usaha-usaha kerajaan Selangor menangani masalah kecurian pasir yang boleh menggangu pendapatan kerajaan negeri yang mana Kumpulan Semesta Sdn Bhd telah menunjukkan kejayaan cemerlang menerusi peningkatan pembayaran royalti yang berlipat kali ganda sejak 2008.

No comments: