Tuesday, February 1, 2011

Majlis Bandaraya Melaka disaman RM 2 juta

AYER KEROH, 1 Feb. : Seorang kakitangan sebuah agensi kerajaan memfailkan saman RM2 juta terhadap Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) atas kecederaan parah dialaminya tahun lalu akibat ditimpa dahan sebatang pokok tua.

Writ saman berkenaan difailkan peguam Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh dan Muhammad Fadzil Hassan yang mewakili plaintif Md Nazeran Noor Mohamad, 32, di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi, di sini, semalam.

Bercakap kepada media selepas memfailkan saman berkenaan, Sheikh Ikhzan berkata, saman itu difailkan berikutan kecuaian defendan (MBMB) dalam menjaga, menyelia dan memangkas dahan reput pada pokok tua berkenaan.

Menurutnya, banyak pokok berusia ratusan tahun dipelihara defendan di kawasan pelancongan Banda Hilir dan melarang pokok berkenaan daripada ditebang bagi mengekalkan tarikan pelancongan di sesetengah kawasan, terutama di sekitar Jalan Kota.

“Pada 14 Februari tahun lalu, kira-kira jam 10.15 pagi, sedang plaintif menunggang motosikal di Jalan Kota, Banda Hilir, satu dahan pokok daripada salah satu pokok tua yang dipelihara dan di bawah jagaan serta seliaan defendan jatuh dan menghempap plaintif,” katanya.

Writ saman yang difailkan itu turut menyatakan bahawa defendan cuai apabila gagal memastikan pokok yang dipelihara berada dalam keadaan baik dan tidak berbahaya untuk orang awam yang lalu-lalang atau melalui di bawahnya.

No comments: