Wednesday, February 9, 2011

PAS cukup bersedia dengan dana, calon dan jentera di Merlimau

PAS menolak dakwaan kekurangan dana untuk bertanding pada PRK Merlimau selepas tewas di Tenang.

PETALING JAYA: PAS menafikan pihaknya semakin kekurangan peruntukan dana untuk menggerakkan jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Merlimau selepas tewas PRK Tenang 30 Januari lalu.

Selepas PRU12 pada tahun 2008, sebanyak 15 PRK diadakan dan dalam Pakatan Rakyat (PR), PAS menyertai lapan manakala Parti Keadilan Rakyat (6), dan DAP (1).

PAS memenangi empat kerusi daripada jumlah PRK yang disertainya, dua daripadanya kerusi Parlimen (Kuala Terenganu dan Bukit Gantang) dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (Manek Urai dan Permatang Pasir).

Daripada jumlah PRK yang ditandinginya juga, PAS gagal merebut kerusi Dun Tenang, Galas dan Bagan Pinang.

“Tak timbul soal PAS Pusat kekurangan bajet kerana kebiasaannya perbelanjaan untuk menggerakkan jentera PRK adalah tanggungjawab parti peringkat negeri.

“Lagi pun, PR sudah sebulat suara meletakkan harapan kepada PAS untuk menawan semula Dun Merlimau. Kita (PAS) sudah (setuju) masuk, maknanya kita sudah bersedia.

“Jadi tidak benar dakwaan yang mengatakan PAS tidak bersedia atau tidak lagi mampu memberikan komitmen sepenuhnya (termasuk bantuan dana) untuk PRK Dun Merlimau kerana tewas dua kali berturut-turut di Galas dan Tenang, kata Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Datuk Halim Abdul Rahman ketika dihubungi FMT.

Walaupun mengakui Dun Merlimau sebagai ‘kubu kuat’ Umno dan Barisan Nasional (BN), Halim berkata PAS masih mempunyai peluang yang baik memandangan kedudukan Merlimau yang terletak di pinggir bandar.
Kebanyakan penduduk Melayu di situ adalah penoreh, petani, dan penjawat awam manakala masyarakat Cina pula kebanyakannya peniaga, dan India pekerja estet dan lain-lain pekerjaan.

Katanya, faktor pengaruh kuasa Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ali Rustam mungkin dapat ‘dirobohkan’ memandangkan BN dikawasan itu tidak ada ‘deposit tetap’ seperti di Bagan Pinang, Galas, mahupun Tenang.

Seperti di Dun Galas menurut Halim, BN mempunyai kekuatan undi daripada masyarakat Orang Asli yang nyata masih mempunyai kekurangan mendapatkan maklumat, manakala di Bagan Pinang terdapat 4,571 jumlah pengundi pos dan kebanyakannya anggota tentera, satu jumlah besar yang boleh dimanipulasi BN.

‘Deposit tetap’ BN

Sementara semasa PRK Tenang pula, BN menggunakan ‘deposit tetap’ daripada majoriti pengundi Felda dikawasan tersebut.

“Dengan ketiadaan ‘deposit tetap’ seperti yang dimiliki BN sebelum ini akan dijadikan sebagai kekuatan PR dan PAS untuk tawan Dun Merlimau.

Mengikut statistik semasa PRU 2004, Datuk Mohammad Hidhir Abu Hasan (BN) mengalahkan calon Jayatahas Sirkunavelu (PKR) dengan majoriti 5,087 undi.

Namun jumlah itu berkurang apabila pada PRU 2008, Datuk Hidhir hanya mampu mengalahkan calon Mejar (B) Jasmee Tompang (PAS) dengan hanya majoriti 2,154 undi, hilang 2,933 jumlah undi BN kepada PAS.

“Tiada istilah ‘kubu kuat’ dalam negara demokrasi. Sebelum wujudnya PR, Umno sudah hilang banyak undi di Merlimau. Kita juga mendapati kawasan Jasin mempunyai bilangan keahlian PAS paling ramai berbanding kawasan lain di Melaka.

“Jadi apa yang PAS akan lakukan nanti adalah meningkatkan undi kami terutamanya daripada pengundi atas pagar sekaligus mengurangkan lagi jumlah majoriti yang diperoleh BN semasa PRU12 lalu,” kata Timbalan Pesuruhjaya I PAS Melaka Adly Zahari kepada FMT.

Selain mengetengahkan isu semasa seperti kenaikan harga barangan, Adly berkata terdapat beberapa isu tempatan yang boleh dibangkitkan semasa kempen nanti.

Antaranya, isu kegagalan pemimpin BN menguruskan harta kerajaan negeri termasuk pembaziran perbelanjaan, penggunaan tanah wakaf, dan penyelewengan bajet, kata Adli.

PAS nafi ketandusan calon

Sementara itu, Adli juga menafikan PAS Melaka ketandusan calon berwibawa apabila pihaknya sehingga sekarang masih menerima nama calon yang dicadangkan daripada cawangan Jasin.

Beliau berkata, sekurang-kurangnya empat calon perlu dikemukakan kepada Jawatankuasa Politik PAS Pusat sebelum diputuskan pada 13 Februari nanti.

Sumber memberitahu FMT, antara nama yang sedang berada dalam senarai teratas ialah seorang doktor yang dikenali penduduk tempatan serta mempunyai klinik sendiri di Merlimau.

“Beliau juga aktif dalam PAS negeri selain terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan,” kata sumber.

Difahamkan, PAS Melaka turut mempertimbangkan calon Muslimat, iaitu bekas pengetua yang pernah berkhidmat di beberapa sekolah di Merlimau serta calon Pemuda lulusan Universiti Al-Azhar di Mesir yang pernah dua kali bertanding di Dun Serkam pada PRU lalu.

“Penentu utama kemenangan PRK terletak pada personaliti calon yang dipertandingkan, kekuatan parti terletak ditangga kedua,” kata Datuk Halim.

Dalam PRK Merlimau ini, Jasmee yang juga Yang DiPertua PAS Kawasan Jasin dilantik mengetuai jentera pilihan raya.

Kerusi Merlimau kosong berikutan kematian Datuk Mohamad Hidhir, 54, pada 20 Januari lalu selepas mengalami serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Februari ini sebagai tarikh penamaan calon dan pengundian pada 6 Mac, sekiranya ada pertandingan.

No comments: