Friday, February 11, 2011

Peranan Parti al-Nahdah di Tunisia dan Ikhwan al-Muslimin di Mesir selepas kebangkitan rakyat

Tunisia, Mesir dan masa depan pasca-Islamis

Artikel : Akademik Perancis, Olivier Roy dalam satu tulisan mengulas revolusi di Tunisia menegaskan Islam tidak menjadi sebahagian daripada kebangkitan aman di negara Afrika Utara itu.

Menurutnya, siri demonstrasi yang akhirnya menjatuhkan Presiden Zine al-Abidine Ben Ali itu tidak menampakkan sebarang ciri Islam, tidak ada seruan untuk menubuhkan negara Islam, dan tidak kedengaran jeritan menolak “imperialisme Amerika.”

Rejim memerintah Tunisia itu, menurut Roy, dilihat sebagai lahir dari politik setempat, dan bukan boneka Perancis atau penjajahan baru Amerika Syarikat.

Roy, melalui bukunya The Failure of Political Islam melahirkan wacana yang kini dikenali sebagai pasca-Islamisme, yang antara kandungan utamanya ialah gerakan Islam yang semakin menyesuaikan diri dengan ruang demokrasi dan bahasa semasa sehingga tidak lagi menjadi gerakan Islam seperti yang dikenali sebelumnya.

Secara mudahnya, pasca-Islamisme ditakrif sebagai satu kondisi gerakan Islam bercakap dalam bahasa semasa dan menangani hal-hal semasa yang bukan menurut istilah yang biasa dengan gerakan Islam.

Tetapi pasca-Islamisme pergi lebih jauh lagi, dan ditakrif juga sebagai satu bentuk baru gerakan Islam yang mengambil sepenuhnya wacana baru dan bersifat sebagai demokrat dan menjadi lebih liberal, menjadikan mereka pasca-Islamis.

Bagi penyokong tesis pasca-Islamisme, pasca-Islamis dilihat sebagai fasa atau lekuk seterusnya yang perlu dilalui oleh gerakan Islam, menjadikan mereka lebih inklusif dan bergerak dalam kerangka negara-bangsa masing-masing.

Tesis pasca-Islamisme kelihatan menguasai naratif sebahagian besar media dan akademik Barat dan antarabangsa dalam liputan dan analisis kebangkitan di Tunisia dan Mesir.

Satu pandangan yang hampir mendapat konsensus ialah gerakan Islam tidak berperanan dalam protes di Tunisia dan Mesir, yang dikemukakan sebagai sesuatu yang bersifat “sekular” dan digerakkan sepenuhnya oleh rakyat yang bebas daripada pengaruh politik.

Liputan protes Tunisia dan Mesir tidak mengemukakan wajah mewakili protes terbabit, dengan tumpuan diberikan pada identiti kolektif peserta demonstrasi.

Hal ini sangat berbeza dengan protes antikerajaan di Iran pada 2009, yang wajah mewakili gerakan itu menjadi tumpuan media sejak awal, dan mempunyai pemain-pemain yang jelas.

Gerakan Islam dalam kedua-dua kes dikemukakan sebagai datang selepas protes tercetus dan hanya terlibat selepas kejatuhan rejim (di Tunisia) dan ketika rejim semakin lemah (dalam kes Mesir.)

Banyak isu yang timbul sejurus revolusi Tunisia turut timbul dalam kes Mesir, iaitu peranan gerakan Islam.

Walaupun tidak dapat dinafikan dalam protes terbaru di kedua-dua negara itu gerakan Islam tidak berperanan dominan, perkembangan tersebut tidak boleh dibaca sebagai terasing daripada perjalanan sejarah politik negara terbabit dan perkembangan serantau sejak beberapa tahun lalu.

Isu ekonomi, dasar kuku besi pemerintah dan pelbagai isu lain memang menjadi antara isu yang ditangani oleh gerakan Islam di kedua-dua negara.

Sebarang tindakan politik seperti yang disaksikan itu tidak akan berlaku dalam vakum, terjadi dengan tiba-tiba dan terasing daripada konteks setempat.

Hakikat bahawa kemarahan rakyat tertumpu pada pemimpin yang telah memerintah selama beberapa dekad menunjukkan peristiwa itu tidak dapat dipisahkan daripada sejarah politik kedua-dua negara, yang memang menyaksikan peranan gerakan Islam.

Hujah ini terkait dengan pandangan dominan berhubung bentuk pemerintahan dalam politik baru negara-negara terbabit.

Pemerintah baru yang dibayangkan banyak pihak dan bakal mendapat sokongan masyarakat antarabangsa ialah kerajaan yang mewakili semua pihak (broad-based) dan liberal, dengan peranan gerakan Islam yang tidak besar.

Kebimbangan yang banyak disuarakan kuasa Barat ialah potensi gerakan Islam untuk menguasai dan memonopoli kuasa dalam kerajaan baru nanti.

Kebimbangan ini tidak mempunyai asas kerana realiti politik pilihan raya di negara-negara terbabit dan kemampuan serta hasrat gerakan Islam di kedua-dua negara.

Persoalan tentang peranan Parti al-Nahdah di Tunisia dan Ikhwan al-Muslimin di Mesir selepas kebangkitan rakyat sebahagian besarnya sudah terjawab.

Penglibatan gerakan Islam di kedua-dua negara bergantung pada perubahan yang akan berlaku melibatkan proses demokratik negara terbabit.

Pertama, perubahan perlu berlaku. Ini telah berlaku di Tunisia, tetapi sehingga hari ke-13 protes, belum terlaksana di Mesir.

Kedua, proses pilihan raya dan pembentukan kerajaan perlu berjalan dengan lancar dan bebas. Ini belum lagi berlaku di kedua-dua negara.

Kedua-dua kumpulan akan mempunyai kedudukan yang lebih besar sekiranya proses demokratik yang sewajarnya terlaksana dan mereka menyertai proses itu dan bersedia mengambil tanggungjawab.

Paling jelas, di Mesir, sebagai kumpulan pembangkang yang paling besar dan tersusun, Ikhwan mesti dan akan terlibat dalam kerajaan baru nanti sekiranya proses demokratik pilihan raya berjalan dengan bebas dan adil.

Soal yang utama ialah sejauh mana Ikhwan berhasil menunaikan janji-janjinya sebagai gerakan Islam seperti yang dikemukakan kepada rakyat yang menyokongnya dalam kerajaan baru nanti.

Senario yang paling realistik sekiranya rejim sedia ada di Mesir diturunkan dan proses demokrati baru dijalankan dalam pembinaan kerajaan baru ialah gabungan pelbagai haluan dalam kerajaan.

Tidak dapat tidak, Ikhwan akan bersama dalam sebuah kerajaan menggabungkan kumpulan liberal dan berhaluan kiri.

Dalam kes ini, Ikhwan akan terpaksa bersikap realistik dalam hal melibatkan had peranan dan kuasanya dalam kerajaan.

Dalam bahasa pasca-Islamisme, usaha gerakan Islam menangani isu seperti proses demokratik dan keperluan-keperluan semasa yang lain turut dikaitkan sebagai satu keadaan pasca-Islamisme.

Pandangan ini agak terlalu mudah kerana tidak ada sebab untuk sebuah gerakan Islam mengabaikan hal tersebut dalam aktiviti politiknya.

Bagi penyokong pasca-Islamisme, pilihan paling jelas bagi Ikhwan ialah mengambil jalan pasca-Islamis, dengan menjadi lebih inklusif, lebih menyantuni hak dan pluralisme, yang secara praktiknya akan bermakna Ikhwan kehilangan sebahagian ciri Islamisnya.

Tekanan terhadap Ikhwan untuk mengambil jalan pasca-Islamis sentiasa wujud, melalui liputan-liputan media, komentar pemerhati dan sebagainya.

Satu contoh dan model pasca-Islamis ialah Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) di Turki, yang mengambil haluan berbeza daripada parti Islam yang disertai tokoh-tokoh AKP sebelum itu.

Dalam hal melibatkan perbandingan dengan Turki, sekiranya Ikhwan menyertai kerajaan Mesir nanti, isu besar yang akan dihadapi ialah pengiktirafan terhadap Israel.

Hal ini tidak membawa masalah kepada AKP yang memerintah Turki, kerana tidak ada perubahan dalam hubungan Israel dengan Turki.

Apapun yang menanti di penghujung episod ini, Ikhwan akan berdepan satu cabaran terbesarnya apabila terpaksa berdepan cabaran bergelut dalam politik baru Mesir yang mencabar.

Pendirian yang tegas akan memastikan identiti Ikhwan sebagai gerakan Islam terpelihara dalam usaha memposisi diri dan mengambil bahagian dalam politik baru negara yang menjadi perhatian dunia Arab dan Islam itu.

Ikhwan dan gerakan-gerakan Islam yang melalui politik baru yang lebih sofistikated dan mencabar kini mempunyai peluang untuk membuktikan kemampuan gerakan Islam berdepan cabaran-cabaran semasa, dan menegaskan masa depan pasca-Islamis yang cuba dipaksakan oleh pendukung gagasan itu bukan satu pilihan.HARIS ZALKAPLI

No comments: