Thursday, March 31, 2011

Menanti janji Pengerusi MCA Kedah meletak jawatan

Sedia undur jika pembinaan jadi kenyataan

http://www.mca.org.my/en/files/2010/10/Chong-Itt-Chew.jpgALOR SETAR - “Saya akan menarik diri daripada politik sekiranya bangunan pusat sembelihan babi yang dijanjikan oleh Kerajaan Negeri menjadi kenyataan,” kata Pengerusi MCA Kedah, Datuk Chong Itt Chew.

Katanya, beliau berani membuat kenyataan itu kerana yakin apa yang dijanjikan sebelum ini adalah gimik politik Pas semata-mata.

Menurutnya, keputusan Kerajaan Negeri menawarkan tapak seluas 1.21 hektar di Kampung Sungai Tok Pawang, Kuala Muda untuk dibangunkan pusat sembelihan babi yang baru, menggantikan tapak lama di Kampung Berjaya, Mergong adalah ‘umpan’ pilihan raya untuk memancing pengundi bukan Islam.

“Mereka tidak ikhlas dalam hal ini kerana janji itu dibuat tiga tahun lepas, tahun ini mereka dakwa pusat itu akan dibina. Walaupun tiga pihak terbabit telah menandatangani perjanjian untuk membangunkan projek itu, namun saya tidak yakin ianya akan menjadi kenyataan,” katanya.

Itt Chew berkata, Kerajaan Negeri memang bijak menabur janji manis sejak mengambil alih Kedah daripada Kerajaan Barisan Nasional (BN), namun janji-janji itu tidak ditunaikan, termasuk apa yang terkandung dalam manifesto Pas.

“Ini semua gimik politik. Saya tetap dengan pendirian saya dan sanggup undur diri jika bangunan itu benar-benar siap suatu hari kelak,” katanya.

Mengulas mengenai hasrat Itt Chew itu, Exco Kerajaan Negeri, Datuk Ir Amiruddin Hamzah berkata, Itt Chew tidak perlu berbuat demikian semata-mata untuk mempertaruhkan karier politiknya.

“Tak perlu buat macam itu, saya tak mahu beliau undur diri dari arena politik kerana dia adalah rakan politik walaupun berbeza fahaman parti. Saya harap dia tarik balik kenyataan itu atau kekal dalam politik walaupun bangunan itu siap kelak,” katanya.

Menurutnya, lebih elok sekiranya Itt Chew menyerahkan kepada rakyat untuk memutuskan sama ada masih mahu khidmatnya atau sebaliknya.

“Biarlah diputuskan dalam pilihan raya akan datang. Lebih elok jika kita ‘berlawan’ secara sihat dalam pilihan raya,” katanya.

Isu pusat sembelihan babi di Kampung Berjaya ini berlarutan sejak 1993. Pada Mei 2009 notis merobohkan pusat itu telah dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan penguatkuasaan dibuat pada Jun 2009. Persatuan bersetuju berpindah apabila Kerajaan Negeri bersedia membantu menyediakan tapak, dan sebanyak enam lokasi disenaraikan sebagai pilihan namun mendapat bantahan penduduk dengan mengadakan demonstrasi.

Akhirnya persetujuan dicapai untuk dibina di kawasan ladang kelapa sawit, jauh dari penempatan di Sungai Tok Pawang.

Kemelut ini turut menyaksikan pergolakan politik apabila DAP bertindak keluar daripada Pakatan Rakyat (PR) pada 1 Julai 2009 kerana tidak berpuas hati dengan tindakan Kerajaan Negeri, namun kembali menyertai pakatan setelah jalan penyelesaian dicapai di peringkat Pusat.

Ini jawapan kepada Pengerusi MCA Kedah ;
ALOR SETAR - Kerajaan Negeri telah bersetuju menawarkan tanah seluas 1.21 hektar di Kampung Sungai Tok Pawang, Kuala Muda untuk dibangunkan pusat penyembelihan babi yang baru, menggantikan tapak lama di Kampung Berjaya, Mergong.

Exco Industri dan Pelaburan, Pertanian dan Industri Asas Tani, Bioteknologi, Pembangunan Luar Bandar & Basmi Kemiskinan, Datuk Ir Amiruddin Hamzah berkata, perkara itu sudah lama diputuskan namun projek terbabit hanya akan dimulakan tahun ini.

“Kerajaan Negeri sudah bagi persetujuan dan tapak itu juga sudah di kenal pasti. Cuma tunggu kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sahaja sebaik syarikat terbabit mengemukakan pelan projek, yang dijangka mengambil masa enam bulan,” katanya, ketika menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Persatuan Peniaga dan Penyembelihan Babi Kedah dengan Persatuan Murid-murid Tua Sin Min, di Wisma Darul Aman.

Menurutnya, perkembangan projek ini menunjukkan Kerajaan Negeri mengotakan janji yang dibuat tahun lalu, apabila bersetuju memberi sokongan untuk menjayakan projek berkenaan kerana memahami kehendak bukan Islam.

“MoU antara Persatuan Peniaga dan Penyembelihan Babi Kedah dengan tuan tanah sudah diadakan sebelum ini. Selepas MoU dimeterai, projek akan bermula secepat mungkin,” katanya.

Ir Amiruddin berkata, sebelum ini projek terbabit mengalami kelewatan berikutan masalah kewangan persatuan itu, di mana anggaran kos projek pembinaan mencecah RM5 juta.

“Projek ini mesra alam dan tiada kumbahan daripada pusat akan disalirkan keluar. Ianya akan dirawat menerusi sistem kitar semula, bermakna tidak ada pencemaran alam sekitar. Sekiranya semua proses berjalan lancar, pusat itu akan memulakan pembinaan tahun ini,” katanya.

Menurutnya, teknologi yang diguna pakai adalah sama seperti yang dilaksanakan di Selangor, yang terbukti keberkesanannya.

Ir Amiruddin berkata, ketiga-tiga pihak terbabit akan menubuhkan sebuah syarikat untuk menjayakan projek itu, dan Kerajaan Negeri hanya sekadar membantu dalam proses kelulusan tapak projek.

“Ini projek usaha sama antara mereka, kita hanya bantu segerakan kelulusan. Kos termasuk tapak adalah dibiayai oleh mereka,” katanya.

No comments: