Monday, June 27, 2011

11 hari sebelum 9 Julai : BRAHIM ALI dah mula kendur nak berhimpun


KUALA LUMPUR 27 JUN : Perkasa hanya akan membatalkan Demonstrasi Anti Bersihnya sekiranya Gabungan Pilihan Raya Bersih Dan Adil (BERSIH 2.0) mengambil langkah yang sama.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata demikian selepas hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pukul 11.50 pagi ini untuk memberi keterangan mengenai perhimpunan Bersih 2.0.

"Kalau Bersih 2.0 dibatalkan, kita akan batalkan tapi kalau mereka teruskan juga, kita tak boleh buat apa-apa," katanya ketika ditemui di hadapan IPD Dang Wangi, di sini, hari ini.

Beliau yang ditemani beberapa anggota Perkasa dan memberi keterangan kepada polis selama kira-kira dua jam.

Menurut Ibrahim beliau memberi keterangan di bawah seksyen 515 dipercayai mengenai kenyataan beliau dalam perasmian Gerakan anti Bersih di Kampung Baru beberapa minggu lalu.

Bagaimanapun beliau terus mencemuh agenda Bersih 2.0 dan menyatakannya ia sebagai perkara sia-sia.

Ibrahim menyatakan bahawa majoriti senyap rakyat tidak mahukan demonstrasi jalanan Bersih.

"Saya mewakili majoriti senyap yang tak mahukan demonstrasi. Ia akan menghalang orang yang nak berniaga semua," kata beliau.

Malah beliau berkata jika demonstrasi dilakukan hanya Melayu yang akan bertembung kerana Bersih tidak disokong kaum lain.

"Walaupun Ambiga jadi pengerusi Bersih tapi saya rasa tak ramai orang India akan sertai. Orang Cina lagi kurang sertai kerana pemuda MCA tidak mahu turutn. Yang ramai Melayu. Jadi yang akan bertembung Melayu.

Beliau turut mahukan Polis bertindak segera dengan apa cara untuk menghalang himpunan ini berlaku.

"Saya minta Polis bertindak segera dengan apa cara untuk halang himpunan 9 Julai ini. Kalau lepas ia berlaku tak guna lagi," kata Ibrahim.

No comments: