Friday, July 29, 2011

SPR kata tiada kuasa banteras rasuah pilihanraya pula, habis apa kuasa yang SPR ada


PETALING JAYA 29 JULAI :Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunding jari kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai pihak yang bertanggungjawab membanteras rasuah politik semasa pilihan raya diadakan.
Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar menegaskan pihaknya tidak mempunyai kuasa-kuasa penguatkuasaan dan ia hanya sebuah badan yang menguruskan pilihan raya.

Wan Ahmad berkata, SPR hanya berpandu kepada Peguam Negara "dan undang-undang yang diberikan adalah undang-undang pengurusan."

Justeru, masalah-masalah berbangkit pada musim pilihan raya seperti politik wang, pembelian undi dan politik kotor adalah di bawah tanggungjawab SPRM, kata beliau.

"SPR boleh dipanggil sebagai responden atau saksi di mahkamah, tetapi tidak pernah dalam sejarah negara ini, SPR mengheret orang ke mahkamah berhubung rasuah," kata beliau pada forum "Undang-Undang Pilihan Raya, SPR dan Pembaharuan Pilihan Raya' anjuran Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (Proham), di sini, hari ini.
Ini adalah kali kedua Wan Ahmad berkongsi pentas dengan Pengerusi Bersih 2.0 Ambiga Sreeenvasan untuk membincang tuntutan rakyat mahukan proses pilihanraya yang lebih adil dan telus.
Sebelum ini, mereka hadir di wacana Apa Selepas 9 Julai - yang merujuk kepada perhimpunan Bersih yang menyaksikan ribuan orang berarak di Kuala Lumpur menuntut diadakan pembaharuan proses pilihan raya.
Pada wacana itu, Ambiga menafikan SPR tidak mempunyai kuasa untuk membanteras rasuah dan sogokan kepada pengundi.
Beliau merujuk kepada peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang memberi kuasa kepada SPR mendapatkan bantuan sebarang agensi persekutuan untuk mengekang sebarang salah laku di bawah Akta Pilihan Raya.
Selain itu SPR juga mempunyai kuasa untuk menubuhkan sebuah unit penguatkuasa bagi memantau dan mengambil tindakan susulan terhadap mana-mana pihak yang menyalahi undang-undang pilihan raya.

No comments: