Monday, January 24, 2011

Cikgu Mala sedang mendahului, Umno semakin resah

Beberapa orang penganalisis politik tanahair berpendapat bahawa calon PAS, Cikgu Normala Sudirman mampu memberikan tentangan sengit kepada BN pada PRK Tenang.

Menurut mereka inilah kerana Normala mempunyai kekuatan tersendiri iaitu dikenali penduduk tempatan, lama berkhidmat di Tenang, mudah didampingi, mesra dan mempunyai personaliti yang menarik.

Ini berbeza dengan calon BN yang sudah lama tidak bersama penduduk Tenang dan kurang dikenali.


Penganalisis politik juga berpendapat bahawa ada tanda-tanda bahawa pengundi Cina dan pengundi muda di Tenang lebih cenderung untuk menyokong PAS berdasarkan situasi semasa ekoran dari kenaikan harga minyak, barangan keperluan dan sebagainya. Generasi kedua Felda juga dilihat tidak begitu totok menyokong BN di mana mereka ini bila-bila masa boleh berpaling kepada PAS atau BN.


BN menurut penganalisis politik yang tidak mahu disiarkan namanya, terus menggunakan taktik kempen lama iaitu fitnah, ugut, memainkan isu perkauman dan agama sedangkan semua isu-isu ini sudah tidak laku lagi kepada pengundi Cina dan pengundi muda.


Tidak syak lagi bahawa kedua-dua calon mempunyai peluang yang agak samarata. Oleh itu kerja kuat mesti dilakukan setiap saat untuk menawan hati pengundi.

Read more ...

Umno tak ada hujah, guna hujah tak boleh pakai

Tolak Usul: Ketua Pembangkang Berhujah Dangkal


SHAH ALAM 24 Jan.: Ketua Pembangkang DUN Selangor, Datuk Satim Diman hari ini berhujah dangkal apabila menolak usul Pindaan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor 1959, khususnya Perkara 52(1) untuk mengembalikan kuasa melantik pegawai kanan kerajaan negeri.

Satim Diman dalam ucapannya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Khas Selangor hari ini menegaskan beliau dan 20 ADUN dari Barisan Nasional serta Adun Bebas tidak akan menyokong usaha Kerajaan Negeri untuk meminda Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri seperti yang di bentangkan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini.

Kedangkalan Ketua Pembangkang tersebut tampak jelas dalam ucapannya dengan memberi alasan penolakkan rang undang-undang tersebut kerana berpendapat pindaan tersebut bertentangan dengan pelembagaan persekutuan.

Pakar Undang-Undang Perlembagaan Dr Aziz Bari yang dihubungi TV Selangor menyatakan hujah Satim Diman itu tidak menjawab persoalan asas isu yang dibahaskan di Sidang DUN hari ini.

" Ucapan Ketua Pembangkang, Satim Diman saya fikir mengelak daripada menangani isu pokok iaitu soal kedudukan Umno dan apakah benar Umno komited kepada komitmen untuk menjunjung untuk mempertahankan institusi raja. Jadi itu yang saya rasa tidak dijelaskan oleh Datuk Satim Diman," kata Dr Aziz.

Satim juga dilihat melabel kerajaan negeri 'Syok Sendiri' selain mengutuk kerajaan negeri bawah pimpinan Pakatan Rakyat bermotifkan politik serta bersikap hipokrit.

Antara alasan yang dikemukan oleh Satim ialah Barisan Nasional terdahulu tidak pernah mengenepikan dan membelakangkan DYMM Sultan SElangor sejak pindaan dibuat sejak 1993.

Satim mula membahaskan usul tersebut selepas selesai ucapan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Dewan mula bersidang jam 10 pagi. ADUN Pelabuhan Kelang Badrul Hisham Abdullah - yang kerusinya diisytihar kosong oleh speaker - duduk di bilik yang dikhaskan kepada petugas media, tingkat atas di dalam dewan.

Setiausaha dewan membacakan ucapan diraja bagi pihak Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Dalam ucapannya, Sultan bertitah supaya ADUN membahaskan cadangan pindaan itu dengan sebaiknya tanpa beranggapan pekenan yang diberikan baginda sebagai menyokong mana-mana pihak dalam dewan.

Baginda juga memberitahu ADUN supaya tidak menariknya sama dalam politik. Istana sentiasa tidak mencampuri urusan politik, titahnya lagi.

Read more ...

Umno buta sejarah dan jumud pemikiran

Umno rosakkan demokrasi, Raja Berperlembagaan

SHAH ALAM, 24 Jan: Persidangan Dun Selangor hari ini akan menulis semula sejarah berdasarkan fakta dan ilmu, kata Adun Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali.

“Di mana anak bangsa kita khususnya rakyat Negeri Selangor akan diingatkan bahawa Umno yang merosakkan dan menjahanamkan institusi-institusi demokrasi termasuk sistem Raja Berperlembagaan dalam Negara Malaysia yang tercinta ini,” ujarnya semasa membahas cadangan pindaan Undang-undang Tubuh Negeri untuk mengembalikan kuasa melantik tiga pegawai tinggi kerajaan kepada sultan dan negeri.

Katanya, orang Melayu tidak mudah lupa dan rakyat Malaysia juga tidak mudah lupa tetapi yang mudah lupa hanyalah pemimpin-pemimpin Umno dan mereka ini sering menjadi mangsa propaganda yang mereka cipta untuk menipu rakyat.

Ini, tambahnya yang tertipu bukan rakyat tetapi mereka sendiri.

Justeru, beliau amat bimbang usaha-usaha Umno sekarang ini yang terdesak untuk menyemarakkan politik perkauman sempit yang boleh memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian masyarakat majmuk negara ini.

“Alhamdulillah, hari ini Dewan Negeri Selangor melakar sejarah apabila Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat membuat pembentangan bagi mengemukakan pindaan terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 khususnya pada Perkara 52 (1) berkaitan dengan perlantikan Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri,” katanya lagi.

Beliau yang juga Timbalan Presiden PKR berkata, usaha yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat adalah untuk mengembalikan prosedur untuk perlantikan itu seperti mana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Negeri yang sama yang mana peruntukan itu telah dimansuhkan pada 1993 oleh makhluk perosak bernama Umno.

Menurutnya, usaha itu tidaklah mudah kerana pelbagai pihak yang menjadi alat dan perkakas Umno cuba memberikan penakrifan undang-undang mengikut selera dan nafsu serakah peimimpin Umno di Putrajaya bagi menghalang mesyuarat pada pagi ini.

Tambahnya, lihat sahaja kenyataan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Noh Omar berhubung usaha Datuk Menteri Besar untuk kembali ke Dewan untuk memperbetulkan kerosakan sistem tatkala di tangan Umno.

Antara lain, ujarnya Noh Omar mendakwa Pakatan Rakyat sanggup melakukan apa sahaja yang bercanggah dengan undang-undang.

“Beliau juga membuat tuduhan jahat bahawa pindaan ini bermaksud untuk memberikan kuasa kepada Datuk Menteri Besar dan bukan memberikan kuasa kepada Tuanku Sultan,” ujarnya.

Kenyataan itu, tambahnya timbul dari seorang watak yang buta sejarah dan jumud pemikirannya.

Ini mengingatkan beliau kepada puisi seorang budayawan Indonesia bernama Ehma Ainul yang berkata: Nasib malang golongan yang bernama rakyat, rakyat yang terlalu lama diperbodohkan tidak tahu apa itu kebodohan.

Di Selangor, katanya rakyat makin cerdas dan mendapat pencerahan.

Ahli Parlimen Gombak itu menambah, golongan rakyat yang terlalu lama diperbodohkan adalah orang Umno sendiri sehingga tidak tahu mereka diperbodohkan, mereka tidak tahu apa itu kebodohan.

Katanya, Umno mencuba untuk memperbodohkan rakyat dengan menggunakan media arus perdana milik mereka sendiri tetapi rakyat dibebaskan dengan pengembangan internet dan media baru.

Tambahnya lagi, pemimpin Umno yang tidak menurut arus perkembangan teknologi ini, diperbodohkan akibat terlalu lama hidup dalam kepompong mereka sendiri.

“Kita, rakyat Selangor bersyukur kerana Allah SWT telah mengurniakan seorang Raja yang berilmu, kompeten, bijaksana, adil dan menaungi rakyat Selangor.

“Saya sedia maklum bahawa Tuanku Sultan adalah seorang Raja yang mencintai buku. Kegemaran ini adalah cerminan kepada kecintaan Baginda terhadap tradisi ilmu dan budaya intelektual,” katanya.

Budaya itulah, katanya yang akan membawa Negeri Selangor lebih yakin untuk mendepani cabaran abad ke-21.

Menurutnya, rakyat Negeri Selangor tidak akan dapat melupakan perkenan Tuanku untuk menandatangani proklamasi untuk memanggil mesyuarat pagi ini selaras dengan kuasa dan tanggungjawab Tuanku yang diperuntukkan di bawah Perkara LXX (1) dan LV (1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Tambahnya, mesyuarat pagi ini juga penting untuk anak bangsa memahami sejarah.

Beliau berkata, sejarah tidak boleh dipadamkan walaupun Umno sering menggunakan ‘profesor kangkung’ untuk memutarbelitkan sejarah.

Read more ...

Apa sangat Setiausaha Cawangan Umno bagi PM ?

Najib Tidak Ziarah Jenazah SU Umno Tenang-Utusan


LABIS 24 Jan.: Lidah rasmi Umno, Utusan Malaysia mengaku bahawa Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak tidak menziarahi jenazah Setiausaha Umno Cawangan Felda Tenang yang meninggal dunia ketika lawatan beliau ke situ kerana tidak mengetahuinya.

Pengerusi Biro Khairat Kematian Masjid An-Nur, Hamzah Manaf, 77, dan beberapa pemimpin setempat berkata, tindakan Najib tidak melawat jenazah Setiausaha Umno Cawangan Kolam Air Felda Tenang, Allahyarham Abdul Latif Subhi Mohd. Din, 61, bukannya suatu isu kerana Perdana Menteri memang langsung tidak mengetahui mengenai kematian Allahyarham kerana tidak dimaklumkan mengenainya, lapor Utusan hari ini.

Abdul Latif meninggal dunia selepas diserang sakit jantung dan darah tinggi yang melampau selepas menguruskan kedatangan PM ke Felda itu.

Namun, sehingga jenazah beliau selamat dikebumikan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak sempat menjenguk jenazah beliau walaupun masjid yang menempatkan jenazah itu hanya 50 meter dari padang tempat acara untuk Perdana Menteri diadakan.

Rombongan beliau juga lalu di hadapan masjid yang menempatkan jenazah Allahyarham sejak jam 10 pagi ketika beliau menuju ke Felda Chempelak pada sebelah paginya.

Di samping tidak diziarahi, imam masjid juga terpaksa ke majlis PM menyebabkan tidak ada siapa yang mengurus dan mengimamkan solat jenazahnya.

Hasilnya, Ustaz Che' Zuha, Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pahang mengimamkan jenazah pada jam 2 petang iaitu selepas solat Zohor kerana kedua-dua imam tidak kedapatan di masjid ketika itu dipetik dari Harakah Daily.

Namun hari ini, Utusan berkata, mereka sengaja meminta keluarga simati untuk mengimamkannya.

Padahal, kedua-dua imam tiada di masjid hatta untuk mengimamkan solat fardhu Zuhur kerana imam diarahkan oleh Umno cawangan supaya menghadiri majlis sambutan kedatangan Najib.

Calon PAS, Cikgu Normala Sudirman (ketika belum sah sebagai calon lagi) bersama para petugas PAS dan anggota Unit Amal yang berada di situ segera menziarahi jenazah dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Mereka juga bersama ahli qaryah menguruskan jenazah dari awal sehingga ke proses gali kubur dan pengkebumian.

"Siapa fitnah siapa ni? Kita (Cikgu Mala, petugas PAS dan Unit Amal) hadir menziarahi dan menguruskan jenazah dengan ikhlas dan secara sukarela tanpa disuruh oleh sesiapa. Mereka memanipulasi berita dan menuduh kita yang bukan-bukan.

"Mari tanyalah saya kalau nak tahu. Siapa yang memfitnah siapa sebenarnya?" kata Md. Razi Jamaludin (gambar), 39 tahun, salah seorang anggota Unit Amal yang bertugas hari itu. Turut serta adalah rakan beliau, Wasilah Gothol, 48 tahun.

"Saya terlibat sepenuhnya menguruskan jenazah dari awal sehingga pengkebumian. Allahyarham sememangnya orang kuat Umno di sini. Saya difahamkan beliau telah bekerja keras malam sebelum pemergian beliau ke rahmatullah untuk urusan sambutan kedatangan Najib.

"Namun, apa yang berlaku ialah, kematian beliau tidak dihiraukan langsung oleh UMNO hatta Ketua UMNO sendiri. Yang meninggal itu S/U nya sendiri, bukan orang lain!"

"Tidak patut bagi seorang pemimpin tidak menghiraukan org bawahannya apatah lagi ini melibatkan kematian," katanya lagi.

Bagi beliau, kerja ziarah orang mati, bertahlil untuk ahli qariah, gotong royong, memang sudah menjadi kerja rutin orang PAS.

"Jika bukan pilihanraya kecil pun, memang itulah kerja kita. Mengapa sebelum ini Umno tidak timbulkan sebarang isu? Bahkan jika ada majlis-majlis seperti itu, orang Umno juga yang jemput kita sebelum daripada ini untuk tolong uruskan dan menggerakkan. Jadi dalam hal ini, siapa mempolitikkan siapa sebenarnya?" tanya beliau kesal.

Read more ...

Sunday, January 23, 2011

Pengerusi GAPS dapat tugas baru di Badan Perhubungan Umno Selangor

SU UMNO Kapar letak jawatan

http://2.bp.blogspot.com/_0wpX-mnAEng/TPv2nr1KncI/AAAAAAAABf8/xDa-eG-3GwA/s1600/hamidzun.jpgKAPAR, 24 Jan. : Setiausaha UMNO Bahagian Kapar, Hamidzun Khairuddin mengesahkan melepaskan jawatan tersebut berkuatkuasa serta-merta selepas Mesyuarat Penuh Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO bahagian itu, 18 Januari lalu.

Beliau yang juga Pengerusi Gerakan Anti-Penyelewengan Selangor (GAPS) berkata, peletakan jawatan itu membolehkannya memberi perhatian penuh terhadap tugas baru di Badan Perhubungan UMNO Negeri dan GAPS secara sepenuh masa.

“Walaupun begitu, saya akan tetap meneruskan bakti dan khidmat kepada masyarakat dan negara demi kesejahteraan semua pihak,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mengulas siapa pengganti jawatan tersebut selepas ini, Hamidzun berkata, terpulang kepada Ketua UMNO Bahagian Kapar Datuk Abdul Rahman bagi memilih siapa yang layak.

“Apa yang penting Setiausaha baru boleh melaksanakan tugas dengan baik dan merangka strategi baru.

“Bagi saya tapaknya sudah disediakan, cuma tinggal bagaimana caranya dia mampu memanfaatkan peluang yang sudah tersedia. Itulah cabaran buat bakal seorang Setiausaha UMNO Bahagian Kapar yang baru,” katanya.

Read more ...

Tukar mahkamah kerja siapa?

Kerajaan Kelantan bantah tukar mahkamah

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgeyJsabk7N_Cuojvm5ZlZRzZ_tAtNPRuWoMljA_FhXSPcmKB5z_Q2eC6S51A9NRDU0_AzJKq3xmCFQj4lfZ1c_cQndGmbn5nbhIHjOtdsjVMTy1rkmV1zbaphRvmcTUPIWHXgnTvigNxsa/s320/husam.jpgKOTA BHARU, 24 Jan. : Kerajaan Kelantan kesal terhadap keputusan pihak tertentu yang memindahkan kes tuntutan royalti minyak dari mahkamah perdagangan ke mahkamah sivil.

Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Negeri, Datuk Husam Musa berkata, Kerajaan Negeri tidak pernah memfailkan permohonan untuk menukarkan kes itu, malah difahamkan tidak juga dilakukan pihak Petronas.

“Adalah menghairankan kes ini dipindah kebahagiaan sivil tanpa permohonan pihak yang terlibat dan kami berasa sangsi dengan tindakan ini,” katanya semalam.

Pada 30 Ogos lalu, Kerajaan Negeri memfailkan saman terhadap syarikat minyak negara dengan mendakwa Petronas melanggar perjanjian selain menuntut pembayaran perjanjian petroleum dilaksanakan.

Husam berkata, pendengaran permohonan Kerajaan Pusat untuk mencelah dan memohon menjadi defendan kedua kes ini yang dijadualkan 24 Januari ditangguhkan ke satu tarikh yang belum ditetapkan.

Menurutnya, Kerajaan Negeri membantah percubaan Kerajaan Pusat campur tangan dalam kes ini memandangkan kes tersebut hanya melibatkan Petronas berasaskan perjanjian pada 1975.

“Ia mungkin akan mendorong Kerajaan Negeri mengambil tindakan yang lain bagi melindungi hak rakyat Kelantan yang dinafikan,” katanya.
SH

Read more ...

Pindaan Perlembagaan 1993 tidak sah kerana tidak diperkenan Majlis Raja-Raja

Kembalikan perlembagaan kepada yang asal

SHAH ALAM, 24 Jan: Kerajaan negeri Selangor berpendapat Pindaan Perlemabagaan 1993 tidak sah kerana ia tidak diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja sebagaimana yang dikehendakki oleh Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan negeri juga berpendapat bahawa pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 1993 bertujuan menangani isu imuniti Raja-Raja, maka kuasa pelantikan SUK tidak harus disentuh.

Ini kerana, tidak ada rekod menunjukkan bahawa Raja-Raja setuju dengan pindaan berkenaan kerana yang menjadi pertikaian ketika itu ialah imuniti.
"Kelihatannya Umno mengambil kesempatan untuk mencuri kuasa Sultan dalam keadaan yang panas dan membingungkan ketika itu.

"Kerajaan negeri berpendapat bahawa peruntukan asal Undand-undang Tubuh Negeri perlu dikembalikan kerana Pakatan Rakyat komited dengan peranan Raja-Raja sebagai salah satu agen semak dan imbang – checks and balances – dalam Perlembagaan," kata Tan Seri Khalid ketika membentangkan ucapan untuk meminda perlembagaan negeri Selangor agar dikembalikan kepada asal iaitu sebelum pindaan 1993.

Berikut adalah ucapan penuh Khalid yang diedarkan oleh oleh Sekretariat Akhbar pejabat MB:

RINGASAN UCAPAN DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Pengenalan

Mesyuarat di bawah Peraturan 10(3) Peraturan-peraturan Tetap Undang-undang Tubuh Negeri Selangor hari ini diadakan untuk membuat pembentangan bagi mengemukakan pindaan kepada Undang-undang Tubuh Negeri Selangor 1959, khususnya Perkara 52(1).

Ini kerana, tindakan Persekutuan atas tiket Ketua Setiausaha Negara melantik Pegawai Eksekutif Ex-officio dengan membelakangkan Menteri Besar yang dipilih rakyat dan berselindung pula di sebalik istana yang ditaati rakyat adalah amalan salah, menghina kebijaksanaan rakyat dan kedaulatan negeri.

Pindaan yang dicadangkan hari ini sebagai perubahan supaya generasi akan datang tidak lagi dalam kekaburan dan tiada lagi individu atau puak tertentu yang berani melanggar kuasa negeri atau Sultan.

Pakatan Rakyat komited untuk menjunjung Perlembagaan baik Perlembagaan Persekutuan mahupun Perlembagaan Negeri yakni Undang-undang Tubuh Negeri Selangor. Prinsip-prinsip Rukun Negara dijadikan landasan dalam pentadbiran hari ini.

Atas prinsip yang sama Pakatan Rakyat komited untuk mempertahankan kedudukan dan peranan Raja-Raja Melayu sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan.

Latar belakang krisis Perlembagaan

Krisis Perlembagaan 1983 berlaku akibat daripada tindakan para pemimpin negara ketika itu, melakukan beberapa tindakan di luar adab dan peruntukan Perlembagaan itu sendiri, dalam lain perkataan membelakangi Raja-Raja.

Di sinilah bermulanya penghakisan secara terancang terhadap kuasa Raja-Raja di negara ini.

Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan berbunyi - “tiada apa-apa undang- undang yang menyentuh secara langsung keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran raja-raja boleh diluluskan dengan ketiadaan persetujuan Majlis Raja-Raja”.

Pemimpin utama ketika itu telah melakukan beberapa tindakan secara rahsia dengan membawa pindaan itu ke Kabinet dan kemudiannya ke Parlimen tanpa terlebih dahulu mendapat perkenan Majlis Raja-Raja.

Antara pindaan yang berjaya dilakukan ialah Perkara 66(5).

Peruntukan asal berbunyi

“Rang undang-undang akan dikuatkuasakan apabila yang DiPertuan Agung menandatangani”.

Manakala peruntukan pindaan ialah;

“Rang undang-undang akan dikuatkuasakan sebagai Undang-undang apabila ditandatangani oleh Yang DiPertuan Agung. Jika di atas apa-apa sebab Rang Undang-undang itu tidak ditandatangani di dalam tempoh 15 hari selepas Rang Undang-undang itu disembahkan kepada Yang DiPertuan Agung, baginda dianggap telah menandatangani Rang Undang-undang tersebut dan Rang Undang-undang itu, berkuatkuasa sebagai Undang-undang”.

Perkara 10(1), dimana kalau Perdana Menteri mendapati darurat patut diisytiharkan di mana-mana juga di Negara ini maka Perdana Menteri boleh menasihatkan Yang DiPertuan Agung dan Yang DiPertuan Agung mesti menerima nasihat tersebut.

Perkara 66(4) dan (4A) Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan – ialah:

Sebuah Rang Undang-undang akan menjadi undang-undang secara automatik selepas 30 hari meskipun baginda tidak memberi perkenan.

Kedudukan Raja-Raja di negeri-negeri juga sama sebagaimana yang tertera di bawah seksyen 11(2A) dan (2C).

Pindaan-pindaan ini menimbulkan banyak persoalan politik dan undang-undang. Ini termasuklah pelanggaran syarat yang dikenakan oleh Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan di mana ia dengan jelas menyatakan bahawa “Tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja”.

Perkara 38(4) itulah yang menjadi batu penghalang kepada hasrat mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1983 dan 1993 dan mungkin kerana itulah beliau tidak peduli dan tidak membawa pindaan 1994 itu kepada Raja-Raja.

Meskipun pindaan 1994 belum dibawa ke mahkamah ada kalangan sarjana undang-undang yang berpendapat bahawa pindaan yang dibuat pada 1994 itu tidak sah kerana melanggar Perlembagaan; khususnya Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan.

Pindaan yang amat drastik itu sudah dilakukan secara rahsia dan membelakangi Majlis Raja-Raja. Namun, apabila rahsia terbongkar ia ditentang oleh Raja-Raja. UMNO pada ketika itu membuat road show ke seluruh negara mengutuk Raja-Raja.

UMNO sememangnya sentiasa berdolak-dalik dan tidak konsisten dan acap kali berselindung di sebalik istana apabila berlaku kesempitan politik.

Peranan Raja, Kerajaan dan Perkhidmatan Awam dalam pentadbiran negeri Kedudukan dan peranan Raja-Raja cukup jelas. Mereka adalah Raja Berperlembagaan yang mana Yang di-Pertuan Agong – di peringkat Persekutuan – adalah ketua negara manakala Raja-Raja pula adalah ketua negeri.

Perdana Menteri dan Menteri Besar pula adalah ketua kerajaan yang dilantik dari kalangan ahli-ahli Dewan. Meskipun mereka dilantik oleh ketua negeri mereka bertanggungjawab kepada Dewan.

Di bawah kerangka tersebut Menteri Besar dan kabinetnya –yakni Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) – mesti bertanggungjawab ke atas segala keputusan dan dasar yang dibuat dan dilaksanakan.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja tidak dipertanggungjawabkan namun bertindak menurut nasihat. Konsep itu sebenarnya adalah untuk melindungi Istana dari terperangkap dalam kontroversi dan politik.

Raja-Raja diberi banyak keistimewaan; termasuk peruntukan di bawah Senarai Di Raja (Civil List) yang tidak boleh dikurangkan. Mereka juga mempunyai peranan besar sebagai ketua agama negeri masing-masing. Kuasa pemerintahan atau eksekutif diletakkan secara formal di tangan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja.

Pakatan Rakyat ingin mengembalikan peruntukan yang asal kerana kami yakin bahawa peruntukan itu memberi ruang konsultasi kepada semua pihak; dari istana, suruhanjaya perkhidmatan dan kerajaan negeri untuk memainkan peranan masing-masing secara telus dan terbuka.

Pindaan yang dibuat oleh Umno pada 1993 – iaitu Perkara 52(1) Undang-undang Tubuh Negeri Selangor - begitu ganjil sekali. Ini kerana ia tidak menyebut pihak berkuasa yang diberi kuasa melantik: sepatutnya ada kuasa tertentu yang diletakkan; contohnya sama ada Sultan atau Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

Jika dibandingkan dengan Perkara 144 Perlembagaan, khususnya Fasal 3, 4 dan 5 yang ada sekarang yang kesemua mempunyai format yang sama dengan peruntukan yang lama dalam Undang- undang Tubuh Negeri Selangor.

Pindaan 1993 itu tidak sah kerana ia tidak diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja sebagaimana yang dikehendakki oleh Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan.

Kerajaan negeri juga berpendapat bahawa pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 1993 bertujuan menangani isu imuniti Raja-Raja, maka kuasa pelantikan SUK tidak harus disentuh.

Tidak ada rekod menunjukkan bahawa Raja-Raja setuju dengan pindaan berkenaan kerana yang menjadi pertikaian ketika itu ialah imuniti. Kelihatannya Umno mengambil kesempatan untuk mencuri kuasa Sultan dalam keadaan yang panas dan membingungkan ketika itu.

Kerajaan negeri berpendapat bahawa peruntukan asal Undand-undang Tubuh Negeri perlu dikembalikan kerana Pakatan Rakyat komited dengan peranan Raja-Raja sebagai salah satu agen semak dan imbang – checks and balances – dalam Perlembagaan.

Konsep Raja Berperlembagaan bermaksud raja yang kuasa terbatas dan dipandu oleh peruntukan dan semangat Perlembagaan. Umno berpendapat sebaliknya; bagi mereka Raja Berperlembagaan ialah raja yang boleh dicucuk hidung dan diseret ke sana ke mari mengikut kehendak mereka sebagaimana yang mereka lakukan sejak awal 1980an hinggalah sekarang.

Pindaan yang dicadangkan ini adalah tanda komitmen Pakatan Rakyat untuk mentadbir negeri berdaulat ini menurut aspirasi dan amanah yang diberikan rakyat atas konsep ketuanan rakyat.

Disediakan oleh

Sekretariat Akhbar
Pejabat Dato’ Menteri Besar Selangor

Read more ...

Kehadiran Badrul mengejutkan tetapi hanya duduk di bilik media

Badrul Hadir DUN Tetapi Duduk Di Bilik Media


SHAH ALAM 24 Jan.: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah mengejutkan hadirin di Bangunan Setiausahan Kerajaan Negeri Selangor apabila hadir pada sidang DUN hari ini.

Walau bagaimanapun, Badrul didapati hanya duduk di bilik media dan tidak memasuki dewan seperti yang didakwa beliau.

Beliau dijangkakan tidak menghadiri DUN awal bagi meminda perlembagaan negeri memandangkan kerusi DUN Pelabuhan Klang telahpun diisytiharkan kosong oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Datuk Teng Chang Khim minggu lalu dan surat kekosongan kerusi juga telahpun dihantar kepada Suruhanjaya Pilihanraya.

Teng telah mengisytiharkan kerusi DUN Pelabuhan Klang kosong selepas mendapati alasan Badrul tidak menghadiri sidang DUN lebih daripada enam bulan satu penipuan, dan seterusnya mengisytiharkan kerusi tersebut kosong pada 20 Januari, 2011.

Badrul memberitahu media bahawa kerajaan negeri tidak menghalang beliau daripada menghadiri persidangan hari ini kerana tiada surat dihantar kepada beliau menyatakan beliau tidak boleh hadir untuk mesyuarat hari ini.

Read more ...

Orang Tionghua akan tolak BN untuk mesej perubahan

Jui Meng: Pengundi Cina Bukan Lagi Penyelamat Umno-BN


LABIS 24 Jan.: Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng yang ditemui Tv Selangor di sini malam tadi berpendapat masyarakat Cina Tiong Hua di Labis akan bangkit menolak kerajaan Umno-Barisan Nasional(BN) pada Pilihanraya Kecil kali ini seraya menghantar mesej perubahan demi masa depan.

Beliau turut menggesa agar masyarakat selain Cina di DUN Tenang bersama-sama memilih calon Pakatan Rakyat pada pilihanraya yang akan datang.

"Hendak ingatkan, orang Cina bantu menyelamatkan Umno pada PRU 12. Pada tahun 1999 di mana undi Umno jatuh begitu ketara apabila Anwar dipenjarakan, orang Cina juga yang menyelamatkan Umno.

"Tapi kali ini kalau orang Cina undi kepada Pakatan Rakyat, ini menunjukkan satu budaya yang jelas orang Cina akan bangkit mudah-mudahan rakyat Melayu dan India akan bangkit dan menaikkan martabat Pakatan Rakyat supaya kita dapat memerintah di negeri ini supaya membawa banyak manfaat kepada rakyat secara demokrasi dan kewangan yang dikembalikan kepada rakyat," jelas beliau.

Ketika ditemubual selepas menghadiri ceramah kempen Pakatan Rakyat di Jalan Tenang malam tadi, Chua memberitahu respon yang baik diterima daripada masyarakat Tiong Hua selain menjangkakan peratus undi Cina di kawasan DUN Tenang meningkat.

"Respon sangat menggalakkan sehingga kini. Bayangkan pada PRU 12 kita mendapat 55 peratus sokongan daripada masyarakat Tiong Hua untuk calon PAS di Tenang.

"Kalau kita dapat kekalkan dengan kadar 55 peratus bermakna kita sudah menang. Wang disalurkan kepada mereka tetapi masih bilangan yang sama menyokong PAS, ini satu kemenangan. Kalau kita dapat tambahan lagi pengundi Cina, lebih elok bagi Pakatan Rakyat. Ini menunjukkan orang berbangsa Tiong Hua di sini sudah tolak Umno, MCA, MIC dan lain-lain," ujar beliau lagi.

Pengundi Cina di DUN Tenang merangkumi 38 peratus daripada jumlah keseluruhan 14,753 pengundi berdaftar di sini.

Read more ...

Mufti ulas penemuan otak dalam kubur

http://www.nst.com.my/nst/articles/19ked/pixgal4
ALOR SETAR, 23 Jan. : Kejadian otak manusia yang ditemui masih elok dalam liang lahad oleh dua penggali kubur di Tanah Perkuburan Islam Permatang Tok Labu, Penaga di Seberang Perai, Pulau Pinang 12 Januari lalu bukan perkara mustahil.

Mufti Kedah, Datuk Sheikh Muhamad Baderudin Ahmad berkata, kejadian hampir serupa turut berlaku di Beris, Kedah sewaktu pembinaan empangan Beris kira-kira lapan tahun dahulu apabila kakitangan Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) yang sedang melaksanakan kerja menggali kubur di sebuah kawasan perkuburan untuk memindahkan mayat dikejutkan dengan penemuan mayat yang masih elok.

Menurutnya, hasil siasatan pihak Jaik mendapati mayat itu merupakan seorang wanita yang meninggal dunia 12 tahun terdahulu dan arwah dikatakan merupakan guru al-Quran dan bidan dihormati di kawasan itu.

“Apa yang berlaku di Penaga tempoh hari perlu dijadikan pengajaran dan peringatan, terutama umat Islam akhir zaman untuk kembali bertakwa kepada Allah dan mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya.

“Selain itu, fenomena ajaib itu juga perlu dijadikan perangsang kepada kita untuk menanamkan sepenuh keyakinan dan keimanan kepada Allah memandangkan hanya iman yang kukuh yang melayakkan kita memperoleh syahid,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, kebanyakan masyarakat umum tidak menyedari terdapat manusia yang secara zahirnya dianggap sudah mati, namun hakikatnya masih ‘hidup’ dan terpelihara jasadnya daripada dimamah bumi.

Menurutnya, manusia yang menerima manfaat sedemikian merupakan golongan syahid yang meletakkan agama Islam mengatasi perkara yang lain dan perkara itu turut dijelaskan dalam al-Quran dan hadis.

“Kejadian sedemikian juga terbukti benar berlaku ketika banjir melanda satu kawasan tanah perkuburan golongan syuhada dan sahabat Rasulullah SAW di Madinah, didapati mayat yang dikeluarkan untuk ditanam semula di kawasan lain, kelihatan seperti baru dikebumikan dan berkeadaan segar, sedangkan kesemuanya ditanam lebih 80 tahun dahulu.

“Kejadian sama juga berlaku sewaktu Saidina Jaafar mati syahid dalam peperangan mu’tah dan keadaan dua tangannya terputus sewaktu dikebumikan, Nabi Muhammad SAW bersabda kepada sahabat ‘Aku melihat Jaafar digantikan dua tangan itu dengan sayap dan dia sedang berterbangan dalam syurga dan sejak itu Jaafar diberi gelaran ‘Jaafar yang sedang berterbangan’,” katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan kejadian ajaib seperti penemuan otak ‘segar’ itu akan mengundang perbuatan syirik dalam kalangan umat Islam, Sheikh Muhamad Baderudin menegaskan terpulang kepada keimanan seseorang untuk menilainya.SH

Read more ...

Cikgu Mala mampu tarik sokongan kaum hawa

Normala 'kejut' pengundi hawa

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiy7362AydH3IqMTOMo0gcmpXnNnEGrNriLW4vrPI7tfaCT-O3kJ15OKlWmfNIeOFxbRa5qTbSOrkCBfNles4ZPI61Ph8YD8lnVRH8YblTrlGXZpiMedy2SdzNUOjTyG2ga7LeVsQyInvU/s1600/Normala+Sudirman+%2526+Mahathir.jpgALOR SETAR, 23 Jan. : Strategi Pas meletakkan calon wanitanya, Normala Sudirman, 38, bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang adalah sebahagian daripada usaha parti itu untuk menyedarkan kaum wanita bahawa sokongan mereka juga penting kepada parti.

Pengarah Pilihan Raya Pas Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, langkah ini juga dibuat supaya berlakunya kebangkitan semula pengundi wanita untuk sama-sama menyumbang kepada parti.

“Saya harap wujud satu perubahan besar apabila kita meletakkan calon wanita kali ini. Selama ini pun kita tak pernah pinggirkan calon wanita. Seingat saya, pada tahun 1969 calon wanita Pas ada bertanding, dan selepas era 90an, semakin ramai calon wanita diletakkan,” katanya.

Ir Phahrolrazi yang juga Exco Kerajaan Negeri dan Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah berkata, Pas tiada masalah untuk menentang calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azahar Ibrahim, 39, walaupun sebelum ini calon lelaki lebih menjadi pilihan.

“Perbezaan jantina bukan ukurannya, yang penting calon Pas mampu tarik keyakinan pengundi dan memang layak. Semua akar umbi parti harus yakin pada kebolehan Normala dan tak perlulah pihak lawan memperlekeh kemampuannya hanya kerana dia seorang wanita,” katanya.

Menurutnya, potensi untuk Pas menang dalam pilihan raya kecil ini agak cerah memandangkan jumlah pengundi wanita yang keluar mengundi adalah besar.

“Kita kotakan janji bila cakap akan letak calon wanita,” katanya.

Ir Phahrolrazi berkata, kontinjen pilihan raya Pas Kedah turut hadir pada hari penamaan calon semalam, dengan menghantar 100 petugas untuk berkhidmat di peti undi Labis.

“Semua peringkat turun padang daripada Pemuda hinggalah Muslimat untuk sama-sama berkempen di Labis. Kita juga mengadakan syif bertugas bermula awal pagi hingga malam bagi memastikan calon wanita kali ini dapat mewakili penduduk di situ sebagai wakil rakyat,” katanya SH

Read more ...

Kalau dah Umno, Umno lah juga

Guan Eng malas layan Fadzill

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEg3tZK4vmBFhpNDC303byZ3TrmMlkivmphPPkbaXGHeLcUC8S7SgB8tAtI7RB26bK2cBj_LSaE_1Eh-T6dTZJuivQPXYBcY5WGRwkDmjEfy6UpmezItq-0qyrUzZ9L9PsjZAjAwaeWtNNE/s1600/HHalem-Dato%2527+Haji+Mohamed+Fadzill+Hassan-YDP+KMM.PNGGEORGETOWN , 23 Jan. : “Anda sebagai media yang buat liputan, saya rasa anda boleh buat kesimpulan dia orang yang bagaimana. Oleh itu saya tidak mahu buang masa untuk mengulas perkara ini lagi”.

Itulah kata Ketua Menteri, Lim Guan Eng ketika diminta mengulas kenyataan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Pulau Pinang (PKMMPP) yang mendakwa kecewa dengan tindakan pihak tertentu menggunakan nama persatuan itu bagi kepentingan politik.

Guan Eng berkata, Yang Dipertua PKMMPP, Datuk Mohamed Fadzill Hassan seorang yang cakap tidak serupa bikin apabila kerap kali membuat kenyataan bercanggah sejak mengunjunginya untuk meminta maaf pada 8 Januari lalu.

“Kita sudah pun menyiarkan rakaman video dan ia jelas menunjukkan dia meminta maaf secara terbuka dan surat itu ditandatangani olehnya. Kita ada salinan surat itu, mengapa dia nak memutar belit fakta sedangkan terang-terang menunjukkan tandatangannya di situ.

“Saya tidak mahu buang masa untuk melayan karenahnya, kita ada bukti. Kita ‘berpegang’ kepada bukti yang ada iaitu rakaman video pertemuan tempoh hari. Oleh itu saya tidak berminat dengan perkara itu kerana hari ini cakap lain, esok cakap lain pula. Saya serahkan kepada umum untuk menilai sejauh mana kebenaran perkara ini,” katanya kepada media.

Guan Eng berkata, selepas ini beliau tidak akan berurusan lagi dengan Fadzill namun masih boleh menerima untuk berurusan dengan ahli PKMMPP yang lain termasuk Timbalan PKMMPP berikutan tiada masalah antara mereka.

“Yang bermasalah hanya Fadzill, oleh itu selepas ini kita akan berurusan dengan ahli-ahli lain termasuk timbalannya sahaja. Mereka ini tidak ada masalah dengan kita,” katanya.

Sebelum ini, Fadzill mendakwa mengesan edaran risalah yang menggunakan nama PKMMPP dan melampirkan bersama surat mohon maaf PKMMPP kepada Guan Eng.

Beliau mengakui pernah memohon maaf kepada Guan Eng namun secara lisan sahaja tetapi bukan secara bertulis seperti yang disiarkan dalam risalah itu.SH

Read more ...

Mufti minta Chua Soi Lek minta maaf kepada orang Islam

Isu bersalam: Harussani anggap Soi Lek hina Islam, perlu minta maaf

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjSjkwwONwz_-HHjnVzwkjf_Hkd6mdI2y0kWMdkt1cG2mZogJ0dajhgVRq1iZRfUW3WtKwkYWVKRo0oFhsc7WX-vFo2LVGMKVARjBw7STvqWIUNIA6a7fqtrgxfyhfkbHwimwzy2t4XjGM5/s320/harussani.jpgLABIS, 24 Jan : Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria menyifatkan tindakan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, yang menyentuh soal wanita Islam bersalam — calon PAS-Pakatan kerusi DUN Tenang, sebagai satu pendirian menghina agama Islam yang merupakan agama rasmi negara ini.

Justeru, Harussani (gambar) menggesa Dr Chua yang juga Presiden MCA supaya meminta maaf kepada orang Islam kerana mempertikaikan tertib bersalam seorang wanita Islam.

Kempen Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Tenang dilihat memberikan tumpuan kepada cara bersalam calon PAS-Pakatan Rakyat Normala Sudirman yang tidak bersalam dengan lelaki.

Kontroversi itu terlebih dahulu ditimbulkan Dr Chua dan ia diikuti beberapa pemimpin MCA yang turut mempertikaikan pendekatan Normala itu.

Selain itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menyokong tindakan Dr Chua yang membangkitkan agenda PAS untuk menubuhkan sebuah negara Islam jika Pakatan Rakyat berkuasa adalah baik bagi “mengingatkan” masyarakat Cina di DUN Tenang.

“Beliau (Dr Chua) perlu tahu, kalau tahu beliau kena hormati pendirian agama masing-masing, kalau tidak tahu itu adalah kejahilan.

“Kalau tahu tapi buat-buat tidak tahu itu menghina Islam namanya... saya bukan sebut ini untuk pertahankan calon PAS tapi ini melibatkan ajaran agama.

“Jadi beliau perlu minta maaf kerana menghina orang Islam,” kata Harussani ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Pada pilihan raya kecil DUN Tenang ini, Pakatan Rakyat meletakkan Normala, Ketua Muslimat PAS Labis sebagai calon manakala BN pula diwakili bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit, Mohd Azahar Ibrahim.

Normala, seorang bekas guru juga merupakan Exco Dewan Muslimat PAS pusat.

Menurut Harussani, sebagai seorang wanita yang beragama Islam sudah menjadi kewajiban beliau untuk menjaga adab termasuk dari aspek bersalam.

“Barangkali beliau (Dr Chua) tidak tahu, beliau tak tahu apa itu hukum Islam.

“Kalau lelaki dan wanita itu bukan muhrim maka mereka tidak boleh bersalam, itu haram namanya.

“(Dr) Chua kena tahu itu adalah hukum agama, bagi orang Islam yang beriman tindakan itu adalah betul kerana agama jelaskan katakan ia haram,” katanya.

Dalam satu temubual bersama The Malaysian Insider semalam, Normala menyifatkan Umno telah gagal membantu MCA memahami konsep Islam yang sebenar sehingga menyebabkan parti komponen BN itu tidak dapat menghormati nilai dan tertib orang Islam khususnya kaum wanita.

Beliau juga meminta MCA memahami adat dan tatatertib orang Islam terutamanya wanita Islam sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan kontroversi.

Menurut Normala, sepatutnya setelah 53 tahun merdeka MCA sepatutnya sudah memahami tertib seorang wanita Islam.

Kempen pilihan raya kecil ke-14 ini masuk hari kedua hari ini. Pengundian akan diadakan pada 30 Januari.

Dalam pada itu, Harussani turut menyifatkan tindakan bekas menteri besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin mengeluarkan “fatwa” baru sebagai bertentangan dengan ajaran Islam.

“Beliau (Nizar) tidak boleh gunakan ajaran agama sewenang-wenangnya, kalau tiada dalam tuntutan (agama) tidak boleh kata haram.

“Kalau nak keluarkan (fatwa) mesti ada nas-nas, jangan main cakap sahaja.

“Kalau tiba-tiba kata haram ia melebihi Tuhan, melebihi Tuhan adalah syirik,” katanya.

Beliau juga menggesa mana-mana parti politik supaya tidak menggunakan agama dalam kempen pilihan raya kecil DUN Tenang.

“Jadi jangan gunakan agama sewenang-wenangnya, jangan kerana politik agama dipolitikkan.

Saya tidak sebelah mana-mana, apa yang saya cakap berdasarkan agama Islam,” katanya. - Malaysian Insider

Read more ...

Puak Songkok Tiga Jengkal dah masuk UIA

Pejabat operasi MPP UIA disimbah cat merah

GOMBAK, 24 Jan: Sekitar 1 petang semalam, salah seorang urus setia program Mesyuarat Agung Tahunan terkejut terdapat kesan simbahan cat apabila sampai di pintu masuk pejabat operasi Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa (MPP UIA).

Insiden itu amat membimbangkan beliau sehingga memanggil Exco MPP yang lain.

Setelah itu, laporan kepada pihak keselamatan UIA dibuat dan pentadbiran Hal Ehwal Pelajar (HEP).

Dr Asiah selaku Ketua HEP amat terkejut tindakan tersebut dan menganggap insiden itu sabotaj kepada MPP UIA.

Lebih mengejutkan dan menyedihkan apabila terdapat juga tulisan diconteng di dinding pintu masuk pejabat.

Kata-kat yang ditulis berupa carutan yang melampaui dihambur kepada MPP UIA.

Perkataan ‘f*ck’ dan ‘babi’ disembur dengan spray di atas dinding dengan mengutuk MPP UIA amat menyedihkan kerana tidak mencerminkan peribadi yang baik kepada warga UIA serta konsep Islamisasi yang diwar-warkan kepada semua komuniti.

Perbuatan menyimbah cat itu tidak ubah menyerupai ‘along’ yang menagih hutang kepada pemiutang dan amat memalukan jika dilakukan oleh golongan terpelajar.

Selain itu, kejadian ini juga disyaki berlaku apabila rentetan poster-poster makluman tentang Mesyuarat Agung Tahunan MPP UIA turut menjadi mangsa sabotaj juga.

Poster-poster yang ditampal di sekitar UIA diconteng dengan tulisan ‘anti WUFI’.

WUFI merupakan singkatan ‘We Unite For Islam’ yang menjadi trademark kepada Pro-M UIA.

Kedua-dua insiden itu dikaitkan dengan perasaan ‘kurang senang’ oleh pihak tertentu dengan prestasi yang memberangsangkan oleh MPP UIA yang diterajui oleh Pro-Mahasiswa.

Selain itu, insiden itu juga dikaitkan dengan ‘iri hati’ pihak tertentu kepada kumpulan Pro-M yang akan mengadakan mesyuarat agung pada hari ini yang mana akan mendapat sambutan baik dari seluruh mahasiswa UIA.

Setakat laporan yang diterima kes itu tidak dilapor kepada pihak polis lagi.

Read more ...

Kelantan taja 30 pelajar Palestin

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjT96bjynjgVvjGciPGOmV0mb0w02fPTgY5tcg9GJiPghPZP2sCwV60ohMgs4Qdk39oEVV523v4fEga6QuYqtPUtJdJafhhwoO5k-eorm2UwmzVNKFi-JBS_q-ISckAm_Rdy-WTt0V-PJo/s1600/tok-guru-potrait.jpgKOTA BHARU, 24 Jan: Kerajaan Kelantan telah menaja 30 orang rakyat Palestin dalam program pendidikan sebagai usaha membantu masyarakat tersebut mendapatkan ilmu bermanfaat untuk membangunkan semula negara mereka.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dauko Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata ianya selaras dengan kehendak rakyat Palestin sendiri yang perlukan ilmu terutama bidang kedoktoran dan ekonomi agar lahir lebih ramai golongan berilmu di negara terbabit.

Beliau berkata demikian ketika memberitahu media selepas meraikan lima orang rombongan dari Kementerian Luar, kerajaan Hamas, Palestin yang diketuai Hani Abu Ubaidah yang juga ketua jurucakap kerajaan berkenaan, semalam.

Hadir sama, Pengarah Kementerian Luarnya, Dr Mahmood Abu Zakaria.

Menurut Tuan Guru, hanya ilmu pengetahuan yang tinggi dapat membantu sesebuah negara.

“Jadi kerajaan Kelantan bersedia menaja pelajar Palestin di negeri ini dengan harapan mereka memperolehi ilmu Islam dan membawa pulang ke negaranya,” ujarnya lagi.

Pada masa yang sama beliau menyeru golongan dermawan membantu rakyat negara itu untuk mendapatkan peluang pendidikan di negara ini.

Menurutnya, tanggungjawab itu perlu dipikul bersama demi untuk kepentingan Islam.

Terdahulu, Dr Mahmood berkata antara tujuan lawatannya ke Kelantan untuk berkongsi pengalaman pentadbiran yang telah diterajui PAS sejak 20 tahun lalu.

Menurutnya, sebagai sebuah negara baru yang baru ditadbir oleh gerakan Islam, pembaharuan dan pengalaman perlu ditimba dari sebuah kerajaan yang telah mencapai kejayaan.

“Kerana itu kami berhasrat untuk menghantar seberapa ramai pelajar kami ke negara ini termasuk Kelantan, mudahan dengan ilmu yang baik dapat dimanaafkan di negara kami,” ujarnya.

Pada masa yang sama, rombongan terbabit yang turut menemui pemimpin kerajaan Persekutuan dan pemimpin pembangkang turut kagum dengan kemajuan pesat yang dicapai oleh kerajaan negeri.

Kehadiran rombongan berkenaan turut mendapat liputan dua buah stesyen tv swasta negara ini.

Read more ...