Lebih
kurang 2 minggu dari sekarang, pada tarikh 22-24 November 2013 ini,
Stadium Malawati Shah Alam akan menjadi tumpuan para perwakilan dan
pemerhati dari seluruh negara. Muktamar Tahunan PAS yang akan menjangkau kali ke-59 bakal berlangsung dengan agenda utama yang menjadi fokus hangat di pihak kawan atau lawan adalah pemilihan kepimpinan baru PAS Pusat bagi sesi 2013/2015, sama ada di peringkat Dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat serta Jawatankuasa PAS Pusat.
Persoalan yang akan terjawab di sana nanti adalah, bagaimana rupa bentuk saf baru yang akan menerajui sebuah Parti Islam paling berpengalaman dalam kancah dakwah, tarbiyah dan politik di peringkat dunia seperti Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
Sebagai seorang ahli PAS, izinkan saya membuat beberapa analogi tentang bagaimana bentuk rupa kepimpinan yang menjadi hasrat saya:
Yang pertama, saya ditarbiyah dan diasuh bahawa individu yang menyertai sesuatu parti, gerakan atau pertubuhan adalah kerana beberapa sebab antaranya, kerana ikut-ikutan, berhajatkan jawatan serta kedudukan, kerana nak marah kepada pihak yang satu lagi maka dia masuk gerakan ini, kerana harta atau kerana kefahaman yang mendalam tentang dasar dan prinsip perjuangan.
Saya menyertai PAS kerana kefahaman dan keyakinan yang mendalam tentang dasar dan matlamat perjuangan gerakan Islam yang bernama PAS ini. Maka tentunya saya juga menginginkan ianya dipimpin oleh pemimpin yang bukan sekadar faham tetapi sanggup melakukan yang terbaik demi memperjuangkan apa yang kita yakini.
Yang kedua, saya diajar dengan ungkapan bahawa seseorang pemimpin itu bukan sahaja perlu baik tetapi perlu juga kelihatan baik disebabkan kewujudannya di dalam saf kepimpinan adalah bagi membawa mesej kebaikan yang diperjuangkan parti. Apa yang dibawa dan watak yang diolah oleh seseorang pemimpin bakal mencerminkan apa yang dipimpinnya.







