Tuesday, February 8, 2011

Baru jadi Ketua Pemuda Negeri dah nak berlagak, jom berdebat kalau berani

Pemuda PAS Perak cabar Pemuda Umno berdebat

http://sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-ash1/hs745.ash1/163737_189963754362886_100000477873427_654665_2722289_n.jpgIPOH, 8 Feb.: Pemuda Pas Negeri mempelawa Pemuda UMNO Negeri berdebat dua isu yang sedang hangat diperkatakan iaitu isu pegang lilin dan ancak tiang seri.

Setiausaha Pemuda Pas Negeri, Dr Raja Ahmad Al-Hiss berkata, pelawaan itu dibuat bagi merungkai persoalan yang boleh mengelirukan akidah umat Islam khususnya di negeri ini.

Beliau berkata, pihaknya telah melihat taring tumpul Pemuda UMNO melalui ketuanya, Khairul Azwan Harun yang kelihatan berbisa dengan kenyataan menggunakan pelbagai istilah termasuk badut dan jalang politik kepada bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

“Kenyataan kesat seperti itu tidak sepatutnya keluar daripada Pemuda UMNO Perak dan jelas menunjukkan ketidakwibawaan mereka untuk berdepan dengan hujah-hujah bersandarkan al-Quran dan profesional.

“Mereka sepatutnya lebih matang untuk berdepan dengan musuh politik mereka dan bukan dengan menggunakan media semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.

Raja Ahmad berkata, berikutan itu, pihaknya mencabar Pemuda UMNO berani menerima pelawaan debat tidak seperti kepimpinan terdahulu yang sering memberikan alasan.

“Jangan memalukan anak muda bahawa semua kepimpinan UMNO tergolong dalam kumpulan tidak berani.

“Pemuda UMNO perlu membuktikan segala tohmahan yang mereka nyatakan selama ini benar belaka dan bukan hanya berkokok di hadapan media dan orang UMNO sahaja,” katanya.

Beliau belaka, penjelasan itu perlu dibuat di pentas umum bagi menyelamatkan akidah umat Islam yang terkeliru dengan isu yang dibangkitkan.

Semalam, Ketua Pemuda UMNO Negeri, Khairul Azwan Harun melabelkan Mohammad Nizar sebagai badut dan jalang politik kerana masih meneruskan pembohongan berhubung isu ancak melibatkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambri Abdul Kadir.

Khairul Azwan turut mendesak Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri itu supaya memberi jawapan terhadap isu memegang lilin yang dilakukan bersama pemimpin DAP bagi menghormati kematian Teo Beng Hock.SH

Read more ...

Tiada perbincangan bersama pengasas Hindraf



SHAH ALAM 9 Feb.: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) N. Surendren mendakwa artikel bertajuk " Anwar in bid to win back Indian support" yang dikeluarkan 8 Februari lalu oleh portal berita The Malaysian Insider mempunyai beberapa kesalahan fakta.

Surendren menafikan dakwaan dalam artikel tersebut bahawa beliau diminta Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengetuai satu panel jawatankuasa bagi menyelesaikan masalah kaum India.

Dalam satu kenyataan media ringkas hari ini, Surendren mendedahkan bahawa tiada sebarang perbincangan dimulakan bersama pengasas Hindraf P. Uthayakumar seperti yang dilaporkan dalam artikel sama.

"Artikel itu melaporkan (PKR) akan membuka perbincangan dengan pengasas Hindraf P. Uthayakumar dan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyelesaikan 'hal Uthayakumar bersama pimpinan PAS dan DAP. Faktanya, hal ini tidak pernah diputuskan dan perkara ini tidak dibincangkan," tegas Surendren.

Artikel tulisan Baradan Kuppusamy itu menyatakan bahawa Anwar memutuskan perkara itu ketika mesyuarat tertutup bersama kira-kira 60 pemimpin PKR, NGO dan individu keturuan India di ibu pejabat PKR minggu lalu.

Artikel itu turut menyatakan 'sumber' yang tidak dinamakan mendedahkan perkara yang dibincangkan bahawa Anwar menyeru masyarakat India supaya tidak bergaduh dan bekerjasama pada pilihan raya akan datang.

Baradan turut menyatakan 'sumber' itu menyatakan kerisauan Anwar kerana sokongan kaum India yang dilihat makin luntur kepada PKR.

Menurut Surendren lagi, masalah kaum India serta komuniti lain yang ditindas sentiasa menjadi keutamaan PKR dan Pakatan Rakyat tetapi hanya mampu diselesaikan sepenuhnya dengan kuasa Kerajaan Pusat.

"Masalah (kaum ditindas) ini adalah disebabkan oleh pengabaian dan sikap tidak peduli Kerajaan Barisan Nasional terhadap komuniti-komuniti ini selama lebih 50 tahun.

Walaupun usaha dilakukan di negeri-negeri Pakatan Rakyat bagi menyelesaikan masalah ini, perubahan komprehensif hanya boleh muncul jika Kerajaan Persekutuan menumpukan semua sumber dan usaha politik bagi mengatasi masalah ini," tegas Surendren.

Read more ...

Bantuan guaman kepada Adun Sri Muda selaras perjuangan PR



SHAH ALAM 9 Feb.: Sokongan dan Bantuan kewangan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor kepada ADUN Sri Muda Suhaimi Shafiei tepat dan selaras dengan prinsip keadilan dan demokrasi yang dijulang Pakatan Rakyat.

Menurut Ahli Parlimen Subang R. Sivarasa, sebab paling jelas dalam hal ini ialah Suhaimi menghadapi tuduhan bermotif politik dan undang-undang zalim oleh Kerajaan Barisan Nasional dan menjadi kewajipan bagi Kerajaan Negeri Selangor membantu beliau.

Sivarasa turut memberi contoh betapa sebelum ini Kerajaan Selangor turut pernah membantu mereka yang ditahan di bawah undang-undang zalim BN seperti mereka yang ditahan ketika Protes Harga Air Selangor pada Disember lalu di bawah Akta Polis yang juga satu lagi akta zalim BN.

"Sebab paling jelas Kerajaan Selangor membantu Suhaimi ialah kerana beliau menghadapi tuduhan bermotif politik di bawah undang-undang 'drakonian' yang digubal pada zaman kolonial bagi menghalang kebebasan bersuara. Dalam hal itu sahaja, Pakatan Rakyat Selangor, sebagai kerajaan yang menyokong demokrasi penuh, berkewajipan menyokong dan mempertahankan beliau," jelas Sivarasa dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau menjawab dakwaan Ketua Pemuda Gerakan Tan Keng Liang dan Pengerusi NGO pro UMNO, Gerakan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) Hamidzun Khairudin dalam portal Malaysia Kini kelmarin bahawa bantuan membiayai kos guaman Suhaimi sebagai membazir dan melambangkan korupsi.

Suhaimi dituduh dibawah akta Hasutan 1948 kerana penulisan di blognya didakwa biadap dan menderhaka kepada Sultan Selangor oleh UMNO dan beberapa NGO.

Sivarasa menyatakan Keng Liang dan Hamidzun sebagai 'kurang' memahami tugas dan tanggungjawab kerajaan bagi memastikan setiap yang dituduh mendapat keadilan.

Justeru Sivarasa menyatakan betapa tiada bantahan sepatutnya dibuat terhadap kerajaan negeri yang mahu membantu mereka yang teraniaya mendapat peluang dalam membela diri.

"Dalam bahasa mudah, Kerajaan PR Selangor menepati prinsip mereka dengan memberi bantuan ini dan selaras dengan prinsip menentang penahanan berunsur politik menggunakan undang-undang zalim dan menindas ini," katanya lagi.

Dalam kenyataan media yang sama,Sivarasa mencadangkan sistem bantuan guaman di Malaysia ini perlu dirombak semula kerana jauh ketinggalan dari segi peruntukan dan menjadikannya lebih efektif.

Sivarasa meyatakan betapa negara lain seperti Australia, United Kingdom dan Canada membelanjakan berbilion ringgit tahunan bagi membawa sistem bantuan guaman yang efektif dan memastikan rakyat mereka mendapat pembelaan yang bersesuaian.

"Sampai masa Kerajaan Pusat BN menyedari peruntukan tahunan RM 25 juta untuk membiayai sistem bantuan guaman kita perlu dibesarkan. Kita sepatutnya membelanjakan lebih perkapita untuk membiayai sistem yang benar-benar efektif bagi mereka yang ditahan dan direman di lokap polis," tegas beliau.

Read more ...

Ops Lalang : Mahathir salahkan polis



KUALA LUMPUR 9 Feb. : Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempersalahkan polis dalam Ops Lalang yang menyaksikan 106 orang, termasuk seteru politiknya ditangkap mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1987.

Dalam buku terbaru mengenai Mahathir, yang berjudul 'Doctor M: Operation Malaysia - Conversations with Mahathir Mohamad', bekas perdana menteri yang meneraju Malaysia selama 22 tahun itu mengakui bahawa beliau berang dengan tindakan polis tersebut lapor Malaysiakini.

"Ya, saya akan tangani secara berbeza, tetapi polis ingin melakukan hal-hal ini (tangkapan ISA) kerana mereka menyatakan ia perlu...

"Saya sebenarnya berjumpa dengan semua ahli pembangkang (terlebih dahulu) dan meyakinkan mereka bahawa mereka tidak akan ditangkap. Dan awak tahu apa yang polis lakukan? Polis menangkap mereka. Kredibiliti saya hilang," katanya.

"Awak pastinya marah!" balas Tom Plate , yang mewawancara Mahathir dan mengarang buku berkenaan.

"Ya, tapi apa yang boleh saya lakukan? Saya perlu menerima hakikat bahawa mereka adalah orang-orang yang membuat keputusan. Saya memberikan kuasa umum kepada mereka untuk bertindak," kata Mahathir.

Semasa penangkapan besar-besaran pada 27 Oktober 1987, lebih seratus orang ditangkap - sebahagian besar mereka terdiri daripada pemipin pembangkang dan segelintir ahli politik dari Umno dan MCA. Selain itu, permit penerbitan untuk akhbar The Star , Sin Chew Jit Poh dan Watan telah ditarik balik.

Kerajaan kemudian menawarkan penjelasan bahawa tangkapan ISA yang kedua terbesar sejak rusuhan perkauman 13 Mei adalah 'perlu' bagi membendung 'ketegangan perkauman' yang semakin memuncak akibat protes besar-besaran berhubung pelantikan pengetua bukan berpendidikan Cina di sekolah-sekolah vernakular Cina.

Umno pula membalas dengan juga mengadakan protes besar-besaran yang diketuai oleh ketua pemudanya ketika itu, Datuk Seri Najib Razak di Kampung Baru, beberapa hari sebelum tangkapan beramai-ramai dibuat.

Read more ...

Campak anak sebelum terjun pangsapuri

SERI KEMBANGAN, 8 Feb. : Seorang ibu dipercayai sanggup mencampak anaknya dari tingkat enam sebuah pangsapuri, di sini, sebelum bertindak nekad terjun dari tingkat 10 pangsapuri sama tengah hari semalam.

Difahamkan, ibu berusia 35 tahun itu dikatakan mengalami kemurungan sejak belum berkahwin dan pernah beberapa kali sebelum ini mengugut untuk membunuh diri.

Rakan suaminya yang enggan dikenali berkata, mangsa sebelum itu menghadiri satu jamuan raya di kilang kasut tempat suaminya bekerja namun tidak menunjukkan perbuatan pelik.

“Kira-kira jam 11.30 pagi, suami mangsa mengambil anak perempuannya daripada tadika dan menghantar kedua-duanya pulang ke rumah.

“Suaminya kemudian keluar semula ke bengkel untuk membaiki cermin keretanya yang pecah sebelum dikejutkan dengan panggilan tragedi terbabit,” katanya yang memberitahu mangsa mengambil ubat akibat penyakit kemurungan yang dihidapinya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan terdapat dua mayat di kawasan pangsapuri itu kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Menurutnya, mayat seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dan seorang wanita berusia 35 tahun itu ditemui di dua blok berasingan dengan jarak kira-kira 80 meter.

“Polis menyiasat dan mendapati kedua-dua mayat ditemui dalam keadaan terlentang dengan kepalanya pecah di tingkat bawah pangsapuri itu.

“Siasatan awal mendapati kedua-duanya dipercayai jatuh daripada bangunan tinggi. Anak dikatakan jatuh daripada tingkat enam manakala ibunya daripada tingkat 10 pangsapuri itu,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati kedua-dua dipercayai mati akibat kecederaan teruk di bahagian kepala.

“Penyiasatan akan terus dilakukan untuk melihat daripada sudut mana berlakunya perkara itu dan setakat ini saya tidak dapat mengemukakan hasilnya.SH

Read more ...

Selangor tidak pernah keluar arahan tutup Kuil Sivan



PETALING JAYA 8 Feb.: Kerajaan Negeri Selangor dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya(MBPJ) tidak pernah mengeluarkan arahan penutupan Kuil Sivan yang terletak di Bukit Gasing, Petaling Jaya.

Tetapi ia adalah arahan daripada pihak pentadbiran kuil itu sendiri di sebabkan struktur tanah di situ tidak stabil.

Bercakap kepada media selepas mesyuarat bersama antara pihak pentadbiran Kuil Sivan, wakil MBPJ dan kerajaan negeri, Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jeyakumar berkata kesemua pihak sememangnya bekerjasama sejak awal lagi bagi menyelesaikan isu ini.

"Macam mana pihak kuil telah kata, penutupan kuil ini bukanlah dari pihak kerajaan tetapi dari kuil itu sendiri sebab mereka nak jaga keselamatan penganut-penganut yang akan datang ke kawasan ini, tetapi (upacara) perayaan dan proses keagamaan diteruskan samada setiap hari atau tiga kali seminggu, ada orang-orang yang dipertanggungjawabkan telah lakukannya di dalam kuil itu," jelas Dr Xavier.

Kata beliau, tindakan penutupan oleh pihak kuil didapati perlu memandangkan wujudnya unsur-unsur yang boleh membahayakan para pengunjung sekiranya dibuka kepada awam dan ini telah disahkan oleh agensi pemantau kesan alam sekitar, Ikram Engineering services Sdn Bhd yang dilantik oleh pihak kuil bagi memantau kesan pembinaan kuil tersebut terhadap kawasan persekitaran kuil.

Beliau juga menjelaskan, kerajaan negeri dalam mesyuarat sebelumnya pada 28 Ogos 2009 telahpun bersetuju untuk mewartakan semula tanah tersebut kepada kuil dengan syarat pihak kuil mengambil tindakan membaik pulih dan menyelenggara kawasan cerun supaya berada dalam keadaan baik.

"Saya minta kerjasama semua pihak, kita telah mulakan satu proses untuk menghabiskan pembinaan kuil ini, kuil itu akan siap dan akan ada disana. Tetapi prosesnya memang lambat," kata beliau lagi.

Dr Xavier seterusnya menjelaskan, tanah tersebut pada masa ini terletak di dalam kawasan Lingkaran Hijau Lembah Klang maka tanah itu perlu dinyahwartakan daripada tanah hutan simpanan kerajaan.

Kata beliau, hanya selepas itu, tanah tersebut boleh diwartakan semula oleh kerajaan negeri kepada samada pihak pentadbiran kuil ataupun atau atas nama kuil itu sendiri dan proses ini boleh memakan masa sehingga dua tahun.

Katanya lagi, tindakan Penasihat Undang-undang Hindraf, P Uthayakumar dan Adun Kota Alam Shah, M Manoharan meminta kerajaan menyelesaikan isu pewartaan dalam masa 30 hari seperti yang dilaporkan oleh MalaysiaKini hari ini langsung tidak masuk akal.

"Dua-dua orang itu pun peguam, bukan orang baru, dia kena faham isu bila lawan, satu kes di mahkamah pun boleh jadi dua tahun, bukannya selesai dalam 30 hari," kata beliau lagi.

Read more ...

Kenapa kerajaan persekutuan tidak mahu dedah laporan audit dan perjanjian konsesi antara Syabas dan kerajaan negeri?

Mohon Dapatkan Laporan Audit, Mahkamah Tetapkan 10 Feb


PUTRAJAYA 8 Feb.: Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini memutuskan 10 Feb depan untuk membuat keputusan ke atas kerajaan persekutuan berhubung hak orang ramai untuk mendapatkan laporan audit dan perjanjian konsesi antara kerajaan negeri Selangor dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd atau SYABAS yang ditandatangani pada 15 Dis 2004.

Peguam plaintif Malik Imtiaz Sarwar berkata mahkamah hari ini telah mendengar rayuan kes tersebut dan akan membenarkan Ahli Parlimen Klang Charles Santiago serta 13 pihak yang lain yang sebelum ini memohon mendapatkan hak tersebut.

"Mahkamah hari ini telah memutuskan dan mengarahkan dokumen tersebut seharusnya telah didedahkan kepada pemohon, dan memandangkan rayuan telah difailkan disini, mahkamah telah mengantung perintah tersebut sementara menunggu keputusan rayuan disini," jelasnya.

Tambahnya lagi ketika ditemui Tv Selangor di luar mahkamah menjelaskan isu yang timbul hari ini ialah pendekatan kerajaan yang meletakkan penyampaian maklumat kepada setiap warganegara terlalu terhad.

"Isu yang tertimbul hari ini ialah, sama ada terdapat hak atau tidak kepada semua rakyat kepada maklumat, dimana pihak kerajaan mengambil kedudukan bahawa warganegara tiada sesuatu hak untuk mendapat dokumen-dokumen tersebut, asal ia menerusi undang-undang, tetapi pihak kami hari ini mengambil keputusan bahawa hak itu adalah tersirat di dalam pelembagaan persekutuan memandangkan negara ini adalah sebuah negara demokrasi berdasarkan pilihanraya," katanya.

Mengulas keadaan ini Malik menambah, penyampaian maklumat ini begitu penting dalam membantu rakyat membuat pilihan yang terbaik untuk memilih pemimpin yang akan memimpin negara.

Terdahulu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia atau MTUC dan 13 pihak lain memohon agar semakan penghakiman dibuat berikutan tindakan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi ketika itu Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik menolak permintaan mereka agar dokumen berkenaan didedahkan kepada orang ramai.

Laporan audit tersebut berhubung maklumat berkaitan perjanjian konsesi yang ada hubungan dengan kenaikan tarif air dan sekiranya perjanjian itu didedahkan kepada umum, maka laporan audit itu juga perlu diumumkan kepada orang ramai kerana ia merujuk dan mengandungi komen tentang peruntukan tertentu dalam perjanjian berkenaan.

Walau bagaimanapun laporan audit tersebut diklasifikasikan sebagai rahsia kerana ia dibentangkan kepada Kabinet, maka adalah tidak masuk akal untuk mengatakan bahawa sebarang dokumen yang dibentangkan kepada Kabinet secara automatik disifatkan sebagai “Rahsia” mengikut Seksyen 2A Akta Rahsia Rasmi 1972.

Keadaan ini menyebabkan tarif air bakal dinaikkan dan orang ramai tiada pilihan selain membayar lebih untuk air kerana tidak terdapat pembekal alternatif dengan kenaikan tarif air sebanyak 15 peratus di Lembah Klang seperti yang diumumkan pada 14 Okt 2006.

Pemohon diwakili peguam Malik Imtiaz Sarwar, manakala Peguam Kanan Persekutuan Datin Azizah Nawawi mewakili Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dan kerajaan Malaysia.

Read more ...

Ops Piramid jadi ops Umno!!

Ops Piramid : Jangan Jadi Gimik Politik Umno-BN


PETALING JAYA 9 Feb.: Usaha menyelamatkan pelajar-pelajar Malaysia yang terperangkap dalam pergolakan di Mesir menerusi Ops Pyramid dikhuatiri hanya sebagai gimik politik kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN).

Perkara itu dinyatakan Pengerusi Biro Pendidikan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Abas Awang pada sidang media.

Abas berkata, tumpuan harus diberikan kepada pelan tindakan susulan untuk pelajar-pelajar yang menuntut di Mesir menghabiskan pengajian mereka selain saranan penubuhan jawatankuasa khas bagi meneliti masalah di peringkat universiti di negara itu.

"Ini memerlukan suatu jawatankuasa khas untuk meyelesaikan masalah peringkat-peringkat dan fakulti-fakulti yang terlibat dan mungkin kerjasama dengan universiti yang ada. Kerja-kerja ini adalah kritikal. Tapi saya percaya mereka ini mengambil glamour politik selepas itu sunyi sepi.


"Saya bimbang ini gimik politik. Yang selalu berlaku dia adalah sebagai kemuncak. Sambutan yang pelbagai tapi selepas itu sepi. Saya lama dalam pendidikan dan saya tahu perkara ini. Sedangkan masalah sebenarnya bagaimana nasib pelajar-pelajar ini. Bagaimana mahu diteruskan (pelajaran), nasib rumah-rumah mereka di sana?" tegas beliau kepada media.

Sementara itu dalam sidang media sama, kerajaan Pakatan Rakyat menggesa golongan pendidik menyokong usaha menaikkan gaji mereka sebanyak RM500 sepertimana termaktub dalam agenda 100 hari Pakatan Rakyat.

Abas berkata pendekatan ini mampu menarik minat lebih ramai tenaga pengajar berkualiti sekaligus menjadiakan profesion guru menjadi pilihan utama.

"Parti Keadilan memikirkan perlu kita memartabatkan profesion perguruan negara kita untuk menyelamatkan daripada krisis pendidikan dan masalah moral yang lahir daripada institusi pendidikan kita," jelas beliau lagi.

Biro Pendidikan PKR sebelum ini di bawah kelolaan Dr Mohd Nor Manuty telah melaksanakan pelbagai seminar untuk memperkasa taraf pendidikan negara.

Beliau turut menyentuh penurunan kadar pengambilan guru hingga mengakibatkan tenaga pengajar yang sedia ada dibebani dengan kerja justeru mengurangkan tumpuan kepada keberkesanan pembelajaran.

Abas turut menyebut perbandingan dengan negara Singapura yang mempunyai kualiti guru amat baik berikutan tawaran gaji yang lumayan sehingga mampu mengangkat sistem pendidikan negara itu ketahap tertinggi.

Read more ...

Kenyataan Umi Hafilda adalah fitnah - Azmin Ali

http://www.thenutgraph.com/user_uploads/images/2008/11/30/NEWS_PKRWRAP_AZMINALI.jpgPETALING JAYA, 8 Feb. : Kenyataan demi kenyataan oleh Ummi Hafilda Ali untuk menyerang abangnya, Azmin, semata-mata dianggap fitnah oleh Timbalan Presiden PKR itu.

Sehubungan itu, kata Azmin "Fitnah tidak perlu diulas."

"Saya tak minat nak komen fitnah," katanya ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat mingguan kepimpinan PKR di sini, semalam.

Azmin berkata, orang ramai sudah muak dengan apa yang didedahkan Ummi Hafilda.

"Sehubungan itu, saya tak fikir ia akan menjejaskan PKR," katanya.

Ummi Hafilda dalam kenyataan baru-baru ini mendakwa, Azmin bertindak tidak wajar terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad sedangkan bekas Perdana Menteri itu telah begitu banyak berjasa kepadanya sebelum beliau diambil bekerja dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu, Ummi Hafilda juga mendakwa mempunyai bukti kukuh salah laku moral yang dilakukan Anwar dan abangnya sehingga menyebabkan Anwar dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri oleh Dr Mahathir.

Ummi Hafilda juga pernah menyatakan mahu memfailkan saman berjumlah RM700 juta terhadap Anwar, Azmin; Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Pengerusi DAP, Karpal Singh, dan Pas atas dakwaan salah laku mereka terhadapnya pada 1997.SH

Read more ...

'Kami bukan penghuni haram' ' Penduduk kampung Tanjung Tokong

Penduduk mahu dokumen sah daripada UDA berhubung soal perpindahan

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiW8jUtl5Rkk3ueOsOzOxCKvIj-g6X7jeLYhPmHBZpIsO_hFejuI8rNbcCc_30KkGrhTazqZ5JZvkrIMvXNJojPFbNqvOyTZ0EGaLMni9ZPyfthBzsKr_pdjael_qYqyx5KXTfQ_xplQ0I/s320/Village_residents_2.JPGGEORGE TOWN - Penduduk di Kampung Tanjong Tokong mahu UDA Holdings Berhad (UDA Holdings) menyediakan dokumen perakuan mengenai perpindahan penduduk ke penempatan baru sebagai jaminan.

Pengerusi Badan Bertindak Suara Penduduk Kampung Tanjong Tokong Mohd Musannaif Zainol Abidin berkata, 97 peratus penduduk kampung bersetuju dan akur dengan cadangan UDA Holdings untuk membangunkan semula kawasan kampung mereka.

"Tetapi kami sepakat mahu surat 'hitam putih' dari UDA Holdings sebagai jaminan yang kami akan dapat penempatan baru setelah berpindah, jika tiada susah bagi kami untuk buat tuntutan," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata pihak UDA Holdings pada dasarnya telah bersetuju untuk memberi dokumen itu bagaimanapun sehingga hari ini penduduk kampung masih belum menerimanya.

"Saya percaya jika cepat dokumen itu dikeluarkan maka cepatlah mereka (UDA Holdings) boleh buat kerja, secara tidak langsung cepatlah kawasan ini maju," katanya.

Mohd Musannaif berkata, penduduk kampung memang mahukan pembangunan seiring dengan peredaran semasa dan cadangan membina kampung warisan itu sebagai satu simbolik sejarah yang amat dialu- alukan.

"Kami terima baik cadangan pembangunan itu, kerana ia simbolik wujudnya perkampung Melayu di Tanjong Tokong sejak 100 tahun lepas, ini penting untuk tatapan generasi akan datang.

"Ia juga akan menjadi satu tarikan pelancongan dan secara tidak langsung membuka peluang ekonomi kepada penduduak setempat," katanya.

Selain itu, katanya penduduk kampung itu juga mahu Pengerusi UDA Holdings Datuk Nor Jazlan Mohamed memohon maaf kepada penduduk berhubung kenyataannya mengenai penduduk di situ sebagai penghuni haram.

Sementara itu seorang penduduk Azizah Mat Desa,75, berkata keluarganya menyokong rancangan untuk membangunkan kawasan Tanjong Tokong supaya menjadi penempatan lebih teratur dan tersusun.
- Bernama

Read more ...

PM pun depa tipu, rakyat lagi la

Tipu PM: Bukti ADUN BN Sarawak Tidak Jujur

SHAH ALAM 8 Feb.: Sikap ADUN Barisan Nasional(BN) yang dilaporkan berbohong tentang diri mereka sendiri ketika pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Miri, minggu lalu dilihat sebagai sikap yang mengecewakan rakyat Sarawak.

Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Sarawak, Baru Bian ketika dihubungi Tv Selangor hari ini menjelaskan ia adalah gambaran sebenar mengenai peribadi dan sikap ADUN BN yang jelas tidak jujur dan mementingkan diri sendiri.

Oleh itu, beliau meminta rakyat Sarawak menilai dan memilih pemimpin dengan penuh hati-hati pada pilihanraya umum akan datang.

"Terbukti BN punya wakil rakyat, adalah orang yang tidak tulus ikhlas, orang yang tidak ada prinsip, pemimpin yang tidak berdisiplin," katanya.

Mengulas lanjut katanya faktor ini menjadi amalan ADUN BN selama ini sepanjang mereka mentadbir negeri Sarawak dan ia juga cara mereka memimpin rakyat Sarawak.

"Kalaunya kiranya mereka ini dapat menipu perdana menteri bos mereka apatah lagi orang rakyat biasakan," katanya sinis.

Oleh itu, tambahnya Pakatan Rakyat menyeru rakyat Sarawak berfikir kerana perkara ini bukan dibongkar oleh pihak pembangkang tetapi ia adalah dari laporan media.

Baru Bian menyeru rakyat Sarawak memilih dan memberi peluang kepada Pakatan Rakyat untuk mentadbir negeri Sarawak dalam pilihanraya umum akan datang.

Sekiranya dikira diberi peluang jelasnya Sarawak akan ditadbir dengan jujur setulus ikhlas berdasarkan prinsip CAT atau Competency, Accountability dan Tranparency seperti yang diamalkan di Pulau Pinang dan Selangor ketika ini.

Malaysiakini dipetik hari ini beberapa ADUN BN dilaporkan berbohong tentang diri mereka sendiri ketika pertemuan hati ke hati mereka dengan Perdana Menteri.

ADUN BN, Dr Jerip Susil dan Daud Abdul Rahman mengesahkan sesetengah rakan mereka berbohong dan tidak memberikan cerita sebenar mengenai kawasan mereka.

Difahamkan Perdana Menteri kelihatan marah dengan keadaan berkenaan.

Read more ...

Umno memang rasis, nak cakap apa lagi ?

Umno Rasis: Kenyataan Mallot Bersandar Realiti

SHAH ALAM 8 FEB : Artikel bekas duta Amerika Syarikat ke Malaysia John Mallot yang bimbang dengan corak pentadbiran rasis Umno yang bertentangan dengan slogan 1 Malaysia menggambarkan realiti negara ini, kata peguam Yusmadi Yusof.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Antarabangsa PKR menganggap Mallot, sebagai bekas duta besar mempunyai legitimasi memberi pandangan tentang keadaan politik dan masa depan ekonomi negara ini.

"Secara realitinya masyarakat berbilang bangsa masih lagi terasa tidak diberi layanan sewajarnya dan ini menempelak agenda 1 Malaysia yang mengatakan masyarakat pelbagai bangsa perlu bersama. 1 Malaysia tidak menjadi kekangan kepada pembangkang sebaliknya jadi kekangan kepada Umno sendiri yang perlu memahami maksud sebenar 1 Malaysia," katanya ketika dihubungi Tv Selangor.

Dalam article bertajuk 'The Price of Malaysia's Racism (Harga Perkauman di Malaysia) yang diterbitkan di portal ekonomi berpengaruh dunia, Wall Street Journal, (online.wsj.com) Mallot yang memegang jawatan duta ke Malaysia dari tahun 1995 hingga 1998 menempelak ideal 1 Malaysia yang nyata bertentangan dengan tindakan pemimpin politik Umno.

Mallot memberi contoh kes lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke rumah terbuka Ketua Paderi Katolik tahun lalu di mana pembantu Najib meminta semua simbol Kristian diturunkan supaya tidak menyinggung Najib, serta kes di mana Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan di Parlimen bahawa kaum bukan Melayu mempunyai semangat patriotik yang rendah.

Hal ini, menurut Mallot, menjadikan kaum bukan Melayu berasa terabai dan seolah tiada suara dalam kerajaan mereka sendiri.

Lebih parah lagi, Mallot menyatakan kegagalan Najib melakukan pembaharuan ekonomi yang 'mesra pasaran, berdasarkan merit dan keperluan kerana tentangan NGO seperti Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) akan memburukkan lagi keadaan.

Yusmadi bersetuju hal ini dan menyatakan persamaan idealis antara Umno dan Perkasa itu sendiri.
"Aspirasi Perkasa masih terperangkap dengan aspirasi perkauman yang mana peratusan itu ialah menifestasi sikap angkuh Perkasa.

"Warna sebenar politik wajib dan Umno ialah warna Perkasa, sekiranya Perkasa masih dengan retorik tersebut maka agenda 1 Malaysia ini terus jadi retorik bukan realiti," katanya.

Mallot turut menganggap Najib sebagai Perdana Menteri memerlukan sokongan kaum Melayu hanya membiarkan retorik perkauman berleluasa di negara ini dan memberi amaran, pelabur akan 'angkat kaki' sekiranya rakyat tidak menggunakan kuasa mereka dalam pilihan raya.

Sentimen sama dilahirkan oleh Yusmadi, yang mahu rakyat sedar akan maruah negara yang makin tercalar sejak Najib mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada 2009.

Najib sendiri masih bergelut dengan pelbagai masalah yang perlu diselesaikan, jadi beliau perlu Umno untuk dokongan terutama bila banyak parti komponen lain hilang kepercayaan.

"Rakyat perlu bertindak kerana negara ini potensi lebih baik, tapi kini prestasi hambar jadikan rakyat terbeban. Saya rasa rakyat perlu bangun, bukan untuk kepentingan politik tapi untuk maruah negara," katanya.

Read more ...

Amizudin tidak gentar hadapi saman Rais

Amizudin hairan kenapa blog beliau sahaja yang menjadi sasaran menteri itu

PETALING JAYA: Pengendali blog sharpshooter.blogspot, Amizudin Ahmat tidak gentar untuk berhadapan tindakan saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi oleh Menteri Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau melahirkan kehairanan apabila blog beliau yang dijadikan sasaran saman menteri terbabit dan bukannya pihak lain yang juga turut mengulas isu yang sama di dalam mana-mana penerbitan.

“Cuma pelik sikitlah, sebab dalam banyak-banyak media yang menulis isu yang sama, tetapi saya pula yang ‘terpilih’, tak apalah, saya bersedia, tiada apa yang hendak digentarkan.

“Migrant Care, yang mempertahankan kenyataan mereka yang mendakwa menemubual pihak terbabit ataupun WikiLeaks sendiri yang mencetuskan isu ini contohnya tidak pula disaman.” katanya.

Beliau juga memberitahu beliau hanya mengetahui tindakan saman terhadap beliau hanya diketahui melalui media dan sehingga kini masih belum menerima apa-apa surat dari mahkamah atau peguam yang mewakili Rais.

“Saya cuma tahu perkara ini melalui berita. Sampai sekarang saya masih belum terima apa-apa surat dari mahkamah atau peguam pihak satu lagi itu.

Kalau takut dipukul badai, usah berumah di tepi pantai

“Jika dipanggil ke mahkamah, saya akan hadir. Kalau takut dipukul badai, usah berumah di tepi pantai, kalau takut dengan risiko usah bicara soal perjuangan. Sekali melangkah pantang undur,” kata Amizudin ketika dihubungi baru-baru ini.

Beliau yang enggan mengulas panjang berhubung isu ini ketika dihubungi bagaimanapun sempat mengucapkan terima kasih kepada Rais yang menyebabkan jumlah pengunjung blog beliau mengalami peningkatan yang ketara.

“Maaflah, setakat ini itu sahaja yang dapat saya katakan, tak boleh nak ulas panjang tentang isu ini, cuma terima kasih kepada Rais kerana tindakan (saman) dia, pengunjung blog sharp shooter meningkat dengan ketara,” katanya dengan nada berseloroh.

Sementara itu menurut satu sumber rapat beliau, beberapa peguam termasuk Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin telah menyatakan kesediaan untuk mewakili Amizudin sekiranya beliau dipanggil ke mahkamah.

“Setakat ini beberapa peguam telah menawarkan diri secara percuma untuk mewakili Amizudin termasuklah Shamsul,” kata sumber itu.

Menurut sumber itu yang menyamakan kes tersebut dengan kisah Raja Namrud dan nyamuk yang pernah berlaku pada zaman Nabi Ibrahim juga mempertikaikan keengganan Rais menyaman pihak lain yang turut memainkan peranan untuk mendedahkan isu ini.

Read more ...

Najib patut lantik Mohd Noor Deris jadi Menteri ganti Jamil Khir


Artikel : ISU Debat yang melibatkan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Aziz nampaknya sedikit mengelirukan. Tuan Guru Nik Aziz menafikan beliau mahu berdebat dengan Majlis Fatwa Kebangsaan sepertimana yang kebanyakan dilaporkan di dalam media. Isu debat mula timbul apabila ulamak veteren Umno Kelantan, Mohd Noor Deris mencabar Tuan Guru Nik Aziz berdebat dengannya berkaitan isu menyokong Umno itu Jahiliyyah termasuk juga isu Malaysia bukan Negara Islam.

Mohd Noor Deris juga telah membuat laporan kepada Majlis Fatwa agar kenyataan Tuan Guru Nik Aziz itu disiasat dan tindakan diambil terhadapnya.

Apabila ditanya oleh wartawan, Tuan guru Nik Aziz menyebut beliau pada bila-bila masa bersedia untuk berhadapan dengan Majlis Fatwa Kebangsaan.

Soal berdebat dengan Mohd Noor Deris, Tuan Guru Nik Aziz lebih suka untuk berdebat dengan tokoh yang lebih berwibawa di dalam Umno atau Kerajaan. Semua kita tahu bahawa siapalah Mohd Noor Deris yang digelar `ulamak terompah kayu' di Kelantan itu.

Maka, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga Hal Ehwal Agama Islam, Jamil Khir Baharom merasa terkilan di atas keengganan Tuan Guru Nik Aziz berdebat dengan `ulamak terompah kayu' tersebut.

Beliau dipetik berkata, " Selesai dulu dengan Mohd Noor, soal agama ini bukan kira setaraf, layak atau tidak, dia (Nik Aziz) tak perlu babitkan orang lain, Majlis Fatwa kalau minta bagi fatwa bolehlah, tapi bukan atas permintaan individu tapi Raja. Itu peraturan fatwa, kalau dia nak cabar Majlis Fatwa, maknanya dia tidak faham fungsi dan peranan majlis,” kata Jamil.



Menjawab kenyataan Jamil Khir tersebut, Tuan Guru Nik Abdul Aziz mengingatkan bahawa bukan beliau yang mengheret nama Majlis Fatwa Kebangsaan tetapi orang lain yang mencadangkan pandangannya dibincangkan oleh Majlis Fatwa. “Saya hanya menyatakan persetujuan apabila ditanya oleh wartawan,” jelasnya.

Tuan Guru Nik Aziz telah menjelaskan bahawa beliau sedia berdebat dengan sesiapa sahaja yang mempunyai kuasa atau kedudukan di dalam kerajaan mahupun Umno.

Bukan masalah Tuan Guru Nik Aziz memilih darjat atau kedudukan, tetapi beliau mahu dengar sendiri hujah dari ulamak yang berkuasa di dalam kerajaan dan Umno bukan dari `cicak mengkarung' yang hanya tahu membodek pemimpin mereka.

Selama ini pihak kerajaan dan Umno lah yang lantang menuduh PAS yang bukan-bukan, maka pemimpin merekalah yang perlu ke depan.

Di dalam kerajaan sekarang, siapakah yang paling wajar berdepan dengan Tuan Guru Nik Aziz? Jawapannya, Tentulah Menteri yang sibuk menyuruh Tuan Guru Nik Aziz berdebat dengan Mohd Noor Deris, iaitu Jamil Khir Baharom sendiri.

Beliau Menteri yang menjaga agama dan berpendidikan agama malah pernah memegang jawatan tertinggi di dalam Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat).

Apakah disebabkan beliau kecut seperti kecutnya Najib untuk berdebat, maka beliau bersungguh-sungguh mahu Mohd Noor Deris di`korban'kan bagi menggantikannya? Jika begitu, Jamil Khir wajar serahkan jawatan Menteri yang dipegangnya itu kepada Mohd Noor Deris.

Andainya Jamil Khir juga kecut untuk berdebat dengan Tuan Guru Nik Aziz, beliau boleh mengesyorkan Penasihat Agama kepada PM untuk menggantikannya.

Mengapa perlu di`korban'kan `ulamak terompah kayu' tersebut? Ulamak Umno Kelantan yang tidak bermoral dan berakhlak seperti itu hanya layak berdepan dengan anak-anak murid pondok di Pulau Melaka sahaja.

Bukan untuk memperkecilkan ilmu yang sedia kecil ulamak Umno tersebut, tetapi apa yang boleh ulamak ini lakukan hasil dari perdebatan itu nanti? Apa jawatan beliau di dalam kerajaan? Layakkah beliau menasihati Najib dan Bibik Rosmah dalam hal ehwal agama nanti?

Kita tunggu apakah tindakan kerajaan dan Umno di dalam isu debat ini. Seorang dua Mufti nampaknya telah mula bersuara seolah-olah tidak selesa jika debat ini berlangsung.

Kununnya debat tiada di dalam Islam, yang ada hanya muzakarah. Masalahnya, Umno sendiri pun selalu mengelak untuk bermuzakarah dengan PAS dalam soal agama seperti isu Negara Islam, Hukum Hudud, Akta ISA yang zalim dan berbagai isu lagi.

Adakah anda seperti saya yang yakin akhirnya isu debat ini akan tenggelam begitu sahaja akibat Umno yang terkenal dengan sifat pengecutnya itu?
Oleh: WFAUZDIN NS/wfauzdin.blogspot.com

Read more ...

Pelajar Malaysia cerita detik cemas kenderaan ditembak

Undur atau mati!

http://www.nationalpost.com/news/world/4184277.bin?size=620x465KUCHING: Undur atau mati! – Itulah pilihan diberikan anggota tentera Mesir kepada tiga pelajar perempuan dari Universiti Al-Azhar, Kaherah, selepas kenderaan dinaiki mereka ditembak ketika cuba memasuki sempadan Iskandariah-Kaherah pada hari kedua perintah berkurung dikeluarkan di seluruh Mesir, baru-baru ini.

Sehari sebelum perintah berkurung dikeluarkan, ketiga-tiga pelajar berasal dari Sarawak, Zuliyarana Fauzi, 23; Siti Sarah Dahari, 23 dan Shahida Rashidi, 25, mengikut rakan mereka melawat perpustakaan di Universiti Iskandariah.

Ketiga-tiga mereka kemudian terpaksa berlindung tiga hari di rumah rakan sebelum berpindah ke Rumah Sabah di Iskandariah. Mereka tiba di sini, pagi kelmarin, dengan menumpang pesawat yang membawa pelajar tajaan Yayasan Sabah.

Menceritakan detik cemas itu, Zuliyarana berkata, mereka bercadang ke Iskandariah selama tiga hari dan tidak menyangka akan terperangkap selepas laluan kereta api dan lebuh raya ditutup.

"Kami nekad untuk pulang kerana semua pakaian dan kelengkapan lain berada di asrama Rumah Sarawak, Kaherah, namun sebaik tiba di kawasan tol berdekatan sempadan pada jam 10 pagi, kenderaan kami ditembak.

“Kami semua terpaksa tunduk selepas menyedari kenderaan ditembak sebelum beberapa anggota tentera mengarahkan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota dinaiki tujuh penumpang segera berpatah balik ke Iskandariah jika mahu selamat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Asajaya di sini, semalam.

Apabila memeriksa kenderaan itu kemudian, mereka menemui tiga kesan tembakan pada bahagian lampu, sisi kenderaan serta pintu penumpang, namun mujur kenderaan masih mampu bergerak dan tiba di Iskandariah.

Siti Sarah yang berasal dari Kota Samarahan, berkata mereka panik ketika kenderaan ditembak menyebabkan mereka bertiga menjadi trauma sehingga tidak boleh melelapkan mata pada setiap malam sepanjang tempoh perintah berkurung.


Berita Harian/-

Read more ...