Tuesday, February 8, 2011

Kenapa kerajaan persekutuan tidak mahu dedah laporan audit dan perjanjian konsesi antara Syabas dan kerajaan negeri?

Mohon Dapatkan Laporan Audit, Mahkamah Tetapkan 10 Feb


PUTRAJAYA 8 Feb.: Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini memutuskan 10 Feb depan untuk membuat keputusan ke atas kerajaan persekutuan berhubung hak orang ramai untuk mendapatkan laporan audit dan perjanjian konsesi antara kerajaan negeri Selangor dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd atau SYABAS yang ditandatangani pada 15 Dis 2004.

Peguam plaintif Malik Imtiaz Sarwar berkata mahkamah hari ini telah mendengar rayuan kes tersebut dan akan membenarkan Ahli Parlimen Klang Charles Santiago serta 13 pihak yang lain yang sebelum ini memohon mendapatkan hak tersebut.

"Mahkamah hari ini telah memutuskan dan mengarahkan dokumen tersebut seharusnya telah didedahkan kepada pemohon, dan memandangkan rayuan telah difailkan disini, mahkamah telah mengantung perintah tersebut sementara menunggu keputusan rayuan disini," jelasnya.

Tambahnya lagi ketika ditemui Tv Selangor di luar mahkamah menjelaskan isu yang timbul hari ini ialah pendekatan kerajaan yang meletakkan penyampaian maklumat kepada setiap warganegara terlalu terhad.

"Isu yang tertimbul hari ini ialah, sama ada terdapat hak atau tidak kepada semua rakyat kepada maklumat, dimana pihak kerajaan mengambil kedudukan bahawa warganegara tiada sesuatu hak untuk mendapat dokumen-dokumen tersebut, asal ia menerusi undang-undang, tetapi pihak kami hari ini mengambil keputusan bahawa hak itu adalah tersirat di dalam pelembagaan persekutuan memandangkan negara ini adalah sebuah negara demokrasi berdasarkan pilihanraya," katanya.

Mengulas keadaan ini Malik menambah, penyampaian maklumat ini begitu penting dalam membantu rakyat membuat pilihan yang terbaik untuk memilih pemimpin yang akan memimpin negara.

Terdahulu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia atau MTUC dan 13 pihak lain memohon agar semakan penghakiman dibuat berikutan tindakan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi ketika itu Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik menolak permintaan mereka agar dokumen berkenaan didedahkan kepada orang ramai.

Laporan audit tersebut berhubung maklumat berkaitan perjanjian konsesi yang ada hubungan dengan kenaikan tarif air dan sekiranya perjanjian itu didedahkan kepada umum, maka laporan audit itu juga perlu diumumkan kepada orang ramai kerana ia merujuk dan mengandungi komen tentang peruntukan tertentu dalam perjanjian berkenaan.

Walau bagaimanapun laporan audit tersebut diklasifikasikan sebagai rahsia kerana ia dibentangkan kepada Kabinet, maka adalah tidak masuk akal untuk mengatakan bahawa sebarang dokumen yang dibentangkan kepada Kabinet secara automatik disifatkan sebagai “Rahsia” mengikut Seksyen 2A Akta Rahsia Rasmi 1972.

Keadaan ini menyebabkan tarif air bakal dinaikkan dan orang ramai tiada pilihan selain membayar lebih untuk air kerana tidak terdapat pembekal alternatif dengan kenaikan tarif air sebanyak 15 peratus di Lembah Klang seperti yang diumumkan pada 14 Okt 2006.

Pemohon diwakili peguam Malik Imtiaz Sarwar, manakala Peguam Kanan Persekutuan Datin Azizah Nawawi mewakili Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dan kerajaan Malaysia.

No comments: