Tuesday, February 8, 2011

Campak anak sebelum terjun pangsapuri

SERI KEMBANGAN, 8 Feb. : Seorang ibu dipercayai sanggup mencampak anaknya dari tingkat enam sebuah pangsapuri, di sini, sebelum bertindak nekad terjun dari tingkat 10 pangsapuri sama tengah hari semalam.

Difahamkan, ibu berusia 35 tahun itu dikatakan mengalami kemurungan sejak belum berkahwin dan pernah beberapa kali sebelum ini mengugut untuk membunuh diri.

Rakan suaminya yang enggan dikenali berkata, mangsa sebelum itu menghadiri satu jamuan raya di kilang kasut tempat suaminya bekerja namun tidak menunjukkan perbuatan pelik.

“Kira-kira jam 11.30 pagi, suami mangsa mengambil anak perempuannya daripada tadika dan menghantar kedua-duanya pulang ke rumah.

“Suaminya kemudian keluar semula ke bengkel untuk membaiki cermin keretanya yang pecah sebelum dikejutkan dengan panggilan tragedi terbabit,” katanya yang memberitahu mangsa mengambil ubat akibat penyakit kemurungan yang dihidapinya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan terdapat dua mayat di kawasan pangsapuri itu kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Menurutnya, mayat seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dan seorang wanita berusia 35 tahun itu ditemui di dua blok berasingan dengan jarak kira-kira 80 meter.

“Polis menyiasat dan mendapati kedua-dua mayat ditemui dalam keadaan terlentang dengan kepalanya pecah di tingkat bawah pangsapuri itu.

“Siasatan awal mendapati kedua-duanya dipercayai jatuh daripada bangunan tinggi. Anak dikatakan jatuh daripada tingkat enam manakala ibunya daripada tingkat 10 pangsapuri itu,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati kedua-dua dipercayai mati akibat kecederaan teruk di bahagian kepala.

“Penyiasatan akan terus dilakukan untuk melihat daripada sudut mana berlakunya perkara itu dan setakat ini saya tidak dapat mengemukakan hasilnya.SH

No comments: