Tuesday, February 8, 2011

'Kami bukan penghuni haram' ' Penduduk kampung Tanjung Tokong

Penduduk mahu dokumen sah daripada UDA berhubung soal perpindahan

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiW8jUtl5Rkk3ueOsOzOxCKvIj-g6X7jeLYhPmHBZpIsO_hFejuI8rNbcCc_30KkGrhTazqZ5JZvkrIMvXNJojPFbNqvOyTZ0EGaLMni9ZPyfthBzsKr_pdjael_qYqyx5KXTfQ_xplQ0I/s320/Village_residents_2.JPGGEORGE TOWN - Penduduk di Kampung Tanjong Tokong mahu UDA Holdings Berhad (UDA Holdings) menyediakan dokumen perakuan mengenai perpindahan penduduk ke penempatan baru sebagai jaminan.

Pengerusi Badan Bertindak Suara Penduduk Kampung Tanjong Tokong Mohd Musannaif Zainol Abidin berkata, 97 peratus penduduk kampung bersetuju dan akur dengan cadangan UDA Holdings untuk membangunkan semula kawasan kampung mereka.

"Tetapi kami sepakat mahu surat 'hitam putih' dari UDA Holdings sebagai jaminan yang kami akan dapat penempatan baru setelah berpindah, jika tiada susah bagi kami untuk buat tuntutan," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata pihak UDA Holdings pada dasarnya telah bersetuju untuk memberi dokumen itu bagaimanapun sehingga hari ini penduduk kampung masih belum menerimanya.

"Saya percaya jika cepat dokumen itu dikeluarkan maka cepatlah mereka (UDA Holdings) boleh buat kerja, secara tidak langsung cepatlah kawasan ini maju," katanya.

Mohd Musannaif berkata, penduduk kampung memang mahukan pembangunan seiring dengan peredaran semasa dan cadangan membina kampung warisan itu sebagai satu simbolik sejarah yang amat dialu- alukan.

"Kami terima baik cadangan pembangunan itu, kerana ia simbolik wujudnya perkampung Melayu di Tanjong Tokong sejak 100 tahun lepas, ini penting untuk tatapan generasi akan datang.

"Ia juga akan menjadi satu tarikan pelancongan dan secara tidak langsung membuka peluang ekonomi kepada penduduak setempat," katanya.

Selain itu, katanya penduduk kampung itu juga mahu Pengerusi UDA Holdings Datuk Nor Jazlan Mohamed memohon maaf kepada penduduk berhubung kenyataannya mengenai penduduk di situ sebagai penghuni haram.

Sementara itu seorang penduduk Azizah Mat Desa,75, berkata keluarganya menyokong rancangan untuk membangunkan kawasan Tanjong Tokong supaya menjadi penempatan lebih teratur dan tersusun.
- Bernama

No comments: