Monday, June 7, 2010

ADUN Kuala Nerang beri kata dua


KUALA NERANG , 7 Jun : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim memberi tempoh dua minggu kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) untuk bertindak segera mengatasi masalah rakyat di kawasan ini.

Menurutnya, beliau tidak dapat lagi menerima alasan mengenai cara agensi berkenaan melaksanakan tanggungjawab mereka sedangkan dalam pemerhatiannya, banyak aduan mengenai masalah rakyat yang dibawa kepada pihak berkenaan masih tidak diatasi
.
“Saya sudah jalankan tanggungjawab saya. Pegawai di jabatan kerajaan yang berkenaan tolonglah ambil serius masalah penduduk. Jika keadaan masih berlarutan seperti ini, saya tiada pilihan lain dengan memanjangkan masalah ini kepada Jabatan Perdana Menteri,” katanya.

Syed Sobri berkata, ini bukan gimik politik yang direka tetapi adalah realiti kehidupan seorang pemimpin yang memerlukan sokongan daripada semua pihak untuk mengatasi masalah rakyat.

“Rakyat diperdengarkan dengan peruntukan bejuta-juta ringgit untuk pihak-pihak ini atasi masalah mereka namun dari pelaksanaan, ia tidak seperti yang diuar-uarkan. Ini yang membuatkan saya berasa sangat terkilan,” katanya.

Menurutnya, jika tiada perubahan, pegawai yang berkenaan sepatutnya dikenakan tindakan termasuk menukarkan mereka ke kawasan lain.

Dalam lawatan kerja ke Kampung Dalam di sini, semalam, Syed Sobri meneliti aduan penduduk mendapati jambatan yang menjadi laluan utama mereka ke ladang yang belum lagi dibaiki.

“Saya kesal,walapun masalah ini pernah saya panjangkan kepada pihak yang berkenaan, namun ianya masih juga dalam keadaan begini. Ini bukan isu remeh kerana ia melibatkan soal nyawa dan keselamatan orang ramai,” katanya.

Syed Sobri berkata, dalam perkara ini, beliau tidak wajar dipersalahkan kerana tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat sudah dilaksanakan manakala yang patut bertindak membaiki jambatan itu ialah agensi kerajaan yang berkenaan.

“Masalah ini sudah saya bawa kepada mereka, sepatutnya merekalah yang bertanggungjawab,” katanya dengan nada kesal.
Cacat

Dalam kunjungan ke Kampung Lubuk Tok Wi, Syed Sobri menziarahi seorang warga emas yang gigih menjaga cucunya yang cacat.
Kehidupan Puteh Ismail,80, dan cucunya, Mohd Muhaqis Ahmad,9, amat menyedihkan dengan keadaan rumah mereka yang sudah terlalu usang dan hampir roboh.

Setiap hari, Mohd Muhaqis berulang alik ke Pusat Dalam Komuniti (PDK) yang menempatkan kanak-kanak kurang upaya untuk belajar berdikari.

Anak Puteh, Ruslina Murad yang juga seorang ibu tunggal mengakui dia tidak mampu untuk meningkatkan taraf hidup mereka sekeluarga.

“Saya juga hidup susah, bagaimana mahu menolong ibu. Apa yang saya harapkan agar ibu selamat di rumah usang ini walaupun keadaan rumah ini sememangnya bahaya,”katanya.

Selain itu, kehidupan Abdul Latiff Hamid,56, turut mendapat perhatian Syed Sobri.

Abdul Latiff yang kini tidak berdaya akibat patah dua tulang rusuk akibat penyakit jangkitan tulang dan sebelah daripada paru-parunya dibuang akibat komplikasi penyakit yag dihidapinya.

“Saya memang tidak larat untuk bekerja lagi. Dulu ada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi kini ditarik balik dengan alasan anak-anak saya sudah besar.
Ehsan

“Empat daripada enam anak saya perempuan dan mereka sudah berkahwin, masakan mereka mampu untuk menanggung keluarga saya pula. Kini saya hanya mengharapkan ehsan orang sekeliling.

“Barang-barang yang ada dalam rumah adalah daripada barangan terpakai pemberian orang. Saya terkilan kerana tidak lagi mendapat bantuan meskipun saya amat memerlukan,”katanya.

Bagi membantu Abdul Latiff, Syed Sobri berkata, agensi kerajaan sepatutnya memainkan peranan dengan lebih berkesan dalam melaksanakan tanggungjawab.

Mengenai ura-ura beliau akan mengosongkan kerusi, Syed Sobri berkata, isu itu tidak perlu lagi diperbesarkan kerana apa yang penting baginya ialah mengutamakan kebajikan rakyat.

“Saya tidak mahu lagi isu ini diperbesarkan kerana sampai masanya nanti, saya akan bersuara dan memberitahu kepada umum pendirian saya. Apa yang penting adalah tanggungjawab saya kepada penduduk kawasan ini yang masih lagi memerlukan saya sebagai wakil rakyat, tetap akan saya tunaikan. Sesudah tertunai tanggungjawab ini, barulah saya boleh fikirkan mengenai keputusan saya.

“Jika saya bertindak secara terburu-buru ketika ini, yang menjadi mangsa adalah rakyat. Ini yang saya perlu elakkan. Oleh sebab itu, saya tidak mahu lagi isu ini diperbesarkan,”katanya.

Menurutnya, bagaimana beliau boleh letak jawatan dalam keadaan rakyat masih memerlukannya.

“Saya tidak mahu mereka juga berangganpan saya seorang pemimpin yang tidak bertanggungjawab dan lepas tangan.

“Oleh itu, saya harap semua pihak yang terlibat buat kerja masing-masing, barulah tiada lagi masalah yang membawa kepada kepincangan kawasan setempat,”katanya.SH

No comments: