Monday, June 7, 2010

Kerajaan Selangor tetap dengan keputusan


SHAH ALAM, 7 Jun : Kerajaan Selangor tidak akan menarik balik keputusan sebelum ini yang melarang mana-mana premis di negeri ini untuk menjalankan aktiviti perjudian atau pertaruhan bola sepak.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Asas, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata, Kerajaan Negeri masih tetap dengan pendirian sebelum ini walaupun ada pihak menggesa serta merayu Kerajaan Pakatan Rakyat supaya berbuat demikian.

“Kita tidak akan berganjak dengan keputusan kita sebelum ini kerana kita perlu lihat kesan judi itu akan memburukkan lagi penyakit sosial di kalangan masyarakat di negara kita dan ia tidak akan menyelesaikan perjudian secara haram yang dijangka berleluasa sepanjang perlawanan itu berlangsung.

“Malah, tidak ada satu agama pun yang menyatakan amalan judi itu satu perkara yang baik,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Kelmarin, ahli perniagaan terkemuka, Tan Sri Vincent Tan merayu kepada kerajaan-kerajaan negeri diterajui Pakatan Rakyat (PR) supaya ‘bersikap adil’ dan menarik balik larangan dikenakan ke atas premis judi sukan di negeri masing-masing.

Dalam kenyataannya, Tan berkata, beliau akan menggunakan kesemua ruang yang ada untuk memastikan kerajaan-kerajaan negeri mempertimbangkan semula pendirian sebelum mengambil tindakan susulan mereka.

Tan juga berkata, beliau akan mendermakan hasil daripada jualan antara Ascot Sports Sdn Bhd dan Berjaya Corporation Berhad sebanyak RM525 juta daripadanya akan disalurkan kepada Better Malaysia Foundation.

Mengulas mengenai perkara itu, Hasan yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor berkata, nilai yang akan disalurkan itu tidak sama dengan nilai kerosakan akhlak serta masalah sosial yang akan dialami dalam masyarakat di negara ini.

“Apa ada pada nilai RM525 juta itu jika dibandingkan dengan nilai kerosakan serta keruntuhan moral yang akan berlaku dalam masyarakat kita nanti?.

“Walau banyak mana pun ‘nilai’ yang ditawarkan, kita tidak akan berganjak daripada keputusan kita sebelum ini,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan yang menyatakan PAS dan DAP sengaja mengeksploitasi isu ini bagi kepentingan politik mereka, Hasan berkata, sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam, PAS tidak akan menutup mata berhubung isu ini.

“Tidak ada persoalan isu kita eksploitasi isu ini. Kita akan berada di hadapan untuk menentang perkara itu jika ia memberi kesan negatif kepada kita.

“Kita akan berdiri teguh tidak akan membenarkan premis judi bola sepak menjalankan aktiviti itu di Selangor,” katanya.

Rabu lalu, Kerajaan Negeri telah mengeluarkan arahan secara rasmi kepada 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor supaya tidak meluluskan permohonan lesen premis perjudian bola sepak Piala Dunia di negeri ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, keputusan larangan perjudian atau pertaruhan bola sepak Piala Dunia beroperasi di Selangor telah dipersetujui sebulat suara oleh semua exco kerana ia adalah haram serta merosakkan moral masyarakat Islam dan bukan Islam di negara ini.SH

No comments: