Monday, June 7, 2010

Kedah kini stabil selepas kecoh

ALOR SETAR, 7 Jun: PAS Kedah yakin kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) negeri itu akan terus stabil walau pun BN tidak berhenti berusaha untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Azizan Razak itu.

Exco kanan kerajaan negeri Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata demikian kepada Harakahdaily ketika ditemui di pejabatnya dekat sini (gambar) dua minggu selepas ceramah bubar dun yang mengumpulkan semua Adun PR di Kedah.

"Saya boleh katakan kita stabil sekarang, namun Umno tak berhenti berusaha membeli Adun kita," kata Phahrolrazi, timbalan pesuruhjaya PAS Kedah yang diberikan amanah untuk uruskan isu ini oleh MB Kedah, Azizan.

Beliau mengulas berita angin yang melanda Kedah sebelum ini yang membayangkan DUN Kedah akan dibubarkan.

Ini ekoran tindakan Umno berusaha untuk membeli Adun PKR dan DAP di Kedah agar menjadi Adun bebas dan menyokong mereka dalam usaha untuk menjatuhkan kerajaan negeri Kedah.

Semasa Kongres PKR ke 6 di Kota Bharu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa, Umno menjanjikan RM2 juta dan projek untuk setiap Adunnya yang sedia meninggalkan PKR.

Beliau mempunyai bukti berhubung perkara itu namun menunggu penafian dari Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak dan mereka yang terlibat tentang wujudnya perkara ini sebelum mendedahkan bukti itu.

Namun sehingga kini Najib mahupun lain-lain pemimpin Umno tidak menafikan dakwaan Anwar itu walaupun dicabar beberapa kali. Ekoran itu, sampai kini Anwar masih belum menunjukkan bukti atas dakwaanya itu.

"Memang menjadi sasaran Umno adalah tiga Adun PKR dan DAP. Saya yakin tidak akan ada seorangpun Adun PAS yang akan terlibat walaupun juga cuba didekati oleh pemimpin Umno.

"Namun saya yakin, Adun DAP dan dua dari Adun PKR itu tidak akan meninggalkan partinya. Seorang lagi itu saya tidak pasti. Tetapi jika hanya seorang sahaja yang bersedia, buat apa apa dia pergi bersama Umno kerana kerajaan kita akan kekal," kata Phahrolrazi kepada Harakahdaily.

Kedah mempunyai 36 Adun iaitu 16 PAS, 3 PKR, 1 DAP, 13 BN dan 2 Bebas iaitu Adun PKR yang keluar dari parti itu. Ini bermakna dalam Dun sekarang PR mempunyai 20 Adun, BN 13 dan 2 Bebas.

Untuk membolehkan kerajaan negeri Kedah yang ada jatuh, BN memerlukan empat lagi Adun menyokongnya selain 15 yang ada.

Selepas kekecohan baru-baru ini, kerajaan PR di Kedah semakin mantap, kata Phahrolrazi yang juga Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Pembangunan Luar Bandar dan Membasmi Kemiskinan Kedah.

Bola tanggung

Sekarang ini, kata beliau, bola tanggung terletak di pihak PR pula apabila kedudukan tiga Adun BN tidak stabil.

"Adun Kota Seputeh, Datuk Abu Hassan Sharif digantung sebagai Adun dan sedang berhadap risiko kehilangan jawatan kerana tidak hadir sidang Dun, Adun MCA, Dr Leong Yong Kong bercuti dari MCA kerana tidak senang dengan kepimpinan parti kerabat BN itu manakala Adun Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim sedang mempertimbangkan kedudukannya dalam Umno," kata beliau.

Selain itu, masalah dalam Umno yang lebih besar adalah siapakah yang akan menjadi Menteri Besar jika berjaya menjatuhkan kerajaan yang ada.

Pengerusi Perhubungan Umno Kedah sekarang adalah Datuk Seri Mohd Shafei Apdal yang juga seorang pemimpin Umno dari Sabah di samping menteri kerajaan pusat. Timbalan beliau adalah Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah yang juga Ketua Umno Alor Setar.

Menurut sumber, bekas MB Kedah, Datuk Seri Mahdir Khalid pernah berusaha untuk menjatuhkan kerajaan negeri dan beliau mahu menjadi MBnya.

Namun, siapa yang bersetuju beliau menjadi MB? Presiden Umno yang ada, Najib sendiri tentu tidak bersetuju dengan beliau kerana Mahdir dikira sebagai orang Tun Abdullah.

Datuk Ahmad Bashah juga tidak boleh diterima oleh Umno Kedah kerana kekurangan pendidikan beliau walaupun beliau menjadi orang kepercayaan Najib.

"Kalau Datuk Seri Mohd Najib mahu Kedah balik kepada BN, tukarlah kepimpinan Badan Perhubungan Umno Kedah dengan depa yang boleh buat keraja, jangan dok tengok orang muda saja kadang kadang orang tua lebih power dari orang muda," tulis satu blog pro Umno, Kedah Kita.

Ekoran kelesuan pimpinan Umno Kedah itu PAS Kedah yakin kerajaan negeri Kedah akan terus mantap selepas ini, kata Phahrolrazi.hrkh

No comments: