Thursday, June 24, 2010

Judi bola: DAP cabar Rais namakan pertubuhan Cina












KUALA LUMPUR, 24 Jun: DAP mencabar Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim menyatakan pertubuhan Cina yang didakwa memohon kerajaan meluluskan judi bola sebelum ini.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, dakwaan Rais itu langsung tidak berasas.

"Saya ingin tanya sama beliau, manakah dan siapakah pertubuhan Cina yang memohon kepada kerajaan pusat sebelum ini untuk menghalalkan judi bola.

"Kerana dalam pengetahuan saya tidak ada sebarang pertubuhan cina yang meminta judi bola dihalalkan. Saya nak tahu saja," katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga melahirkan rasa terkejut dengan kenyataan Rais dalam sebuah akhbar hari ini bahawa kerajaan perlu menghalalkan judi kepada orang bukan Islam sebagai menghormati hak mereka.

"Saya terkejut dengan kenyataan Datuk Seri Rais Yatim yang sekarang menganggap dirinya pakar hal ehwal Cina dengan menyatakan bahawa adalah perlu untuk menghalalkan judi bola kerana hanya dengan menghalalkan judi barulah kita boleh menghormati dan mengiktiraf hak-hak kaum Cina dan India," katanya.

Beliau turut menegaskan, masyarakat Cina tidak pernah meminta judi dihalalkan kononnya untuk mengiktiraf hak mereka.

"Saya ingin nyatakan di sini bahawa masyarakat Cina tidak meminta bahawa judi bola dihalalkan sebagai tanda hak-hak mereka dihormati dan diiktiraf.

“Saya ingin menekankan di sini permintaan daripada masyarakat Cina atau India atau masyarakat bukan Melayu, Iban, Kadazan adalah sama dengan semua permintaan masyarakat Malaysia iaitu berteraskan prinsip kebebasan, keadilan, kebenaran, kebajikan kepada rakyat dan ketakwaan kepada Tuhan. Itulah permintaan daripada masyarakat Cina,” ujarnya.

Katanya, Umno seolah-olah begitu berminat untuk menghalalkan judi berbanding masyarakat bukan Islam.

"Bukan seperti yang Umno cakap bahawa berkisar ke atas judi sahaja. Nampaknya Umno lebih minat dengan judi daripada orang-orang lain. Tapi jangan pula cakap itu permintaan masyarakat Cina dan hanya dengan memberikan judi bola barulah masyarakat Cina, India dan bukan Melayu dapat dihormati. Saya memang tidak bersetuju dengan pandangan sedemikian,” katanya.

Beliau juga menafikan kenyataan sesetengah pihak bahawa DAP mengharamkan sepenuhnya judi sebaliknya beliau berkata, DAP mahu judi dikurangkan.

"Saya bukan minta judi diharamkan terus tapi dikawal. Pendirian kita, yang sudah diluluskan biarkan tapi jangan tambah. Kalau boleh kita kurangkan," katanya.hrkh

No comments: