Thursday, June 24, 2010

RMK-10 tidak mesra anak muda


IPOH, 24 Jun :
Pembentangan bajet RMK-10 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, disifatkan sebagai tidak mesra anak muda.

Pengarah Institut Pemikir Muda Malaysia (IPMM), Mohd Hafez Sabri berkata, berdasarkan bajet berkenaan, pihak kerajaan perlu memperincikan peranan generasi muda sesuai dengan pembentukan ekonomi berasaskan inovasi serta kreativiti bagi menjayakan RMK-10.

Menurutnya, perincian itu perlu dilaksanakan kerana generasi muda adalah komposisi terbesar negara pada masa hadapan.

“Bersesuaian dengan ekonomi berasaskan inovasi dan kreativiti, generasi muda berperanan mencorak keadilan sosial dan ekonomi beridentitikan acuan Malaysia.

“Justeru, IPMM melalui badan penyelidikan dan strategiknya mencadangkan beberapa langkah yang perlu diberi perhatian kerajaan.

“Antaranya, memastikan jaminan pendapatan asas dan minima, menggalakkan belia lebih ke hadapan dalam membahaskan polisi ekonomi secara efektif serta menyediakan saluran penambahbaikan dan ‘postmortem’ perjalanan belanjawan perlu diwujudkan bagi memastikan ketelusan kewangan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Hubungan Luar dan Antarabangsa IPMM, Abdul Rahman Jabir berkata, tindakan kerajaan membentuk golongan pekerja berkemahiran tinggi mampu menjayakan hasrat membentuk rakyat berpendapatan tinggi.

Katanya, langkah berkenaan dilihat bermanfaat bagi mengukuhkan jaringan ekonomi serantau.

“Menerusi perkongsian pengetahuan serta latihan kemahiran, IPMM yakin kesatuan ekonomi dapat diwujudkan.

“Sekali gus, ianya dapat membantu dalam sektor pembangunan kelak dan membantu mengurangkan pekerja asing di negara ini,” katanya.SH

No comments: