Thursday, October 14, 2010

Kerajaan Selangor akan jumpa TNB cari penyelesaian


SHAH ALAM , 14 Okt. : Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri akan mengadakan perjumpaan dengan pengurusan Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi mencari penyelesaian berhubung pembinaan pencawang elektrik di Kampung Sungai Terentang, Rawang.


Perjumpaan itu dijadualkan pada 21 Okt ini di Bilik Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor di sini, katanya.


“Kerajaan negeri telah meminta TNB membentangkan cadangan alternatif lain termasuk membina tiang monopole merentasi ruang udara di atas bangunan kilang di kawasan industri Rawang Perdana,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri di sini, semalam.

Beliau berkata kerajaan negeri mahu mendapatkan pandangan TNB adakah alternatif itu boleh dilaksanakan dan apakah halangan-halangan yang ada jika kabel dipasang tanpa melibatkan pencerobohan atau pemindahan mana-mana kilang, isu perundangan di bawah Akta Bekalan Elektrik dan anggaran kos pembinaan berbanding laluan jajaran asal.

Untuk cadangan laluan alternatif ini, Abdul Khalid berkata Pejabat Tanah dan Daerah Gombak telah diminta membekalkan maklumat bancian dan status tanah yang diperlukan bagi laluan jajaran kilang yang ingin dikaji kepada TNB.

Katanya kerajaan negeri menyokong Projek Pengukuhan Sistem Kawasan Tengah (CAR) di Kampung Sungai Terentang tetapi ia perlu mengambil kira kepentingan dan kebajikan penduduk di kawasan berkenaan.

“Kita berharap pihak-pihak terlibat bersabar dan tidak bertindak mengikut emosi serta mematuhi undang-undang,” katanya.

Sebelum ini akhbar melaporkan TNB telah mengurangkan keluasan kawasan yang diperlukan di kawasan Kampung Sungai Terentang bagi membolehkan projek pembinaan menara CAR yang tertangguh selama kira-kira tiga tahun kerana bantahan penduduk kampung itu disambung semula.

TNB telah mengurangkan kawasan yang terlibat daripada 50 buah rumah kepada 10 hingga 12 rumah sahaja.

Kes Projek CAR ini telah dibicarakan ke Mahkamah Persekutuan dan pada 20 November 2009, Mahkamah Persekutuan memutuskan projek itu boleh diteruskan dan TNB perlu membayar pampasan RM10.4 juta kepada penduduk-penduduk terlibat sebagaimana diputuskan oleh kerajaan negeri Selangor sebelum ini.

Apabila siap nanti penghantaran elektrik di kawasan tengah akan meningkat kepada 275 kilovolt daripada 33 kilovolt sekarang bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan elektrik di Lembah Klang. -Bernama

No comments: