Thursday, October 14, 2010

PAS lancar gerak kerja 19 Oktober





































KUALA LUMPUR, 14 Okt:
PAS Kelantan akan melancarkan gerak kerja bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Galas pada 19 Oktober ini bertempat di bandar Gua Musang.

Ketua Penerangan PAS Kelantan, Dr Muhammad Fadzli Hassan berkata, senarai nama calon sudah ada di pengetahuan PAS Pusat dan Kelantan akur dengan keputusan itu.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi negeri berkata demikian ketika ditemui di Rumah Sri Kelantan, di sini ketika menghadiri Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, malam tadi.

“Bagi kita di dalam PAS, senarai nama yang dihantar tersebut adalah semuanya berkelayakan, namun ia terpaksa dibuat pilihan oleh Majlis Syura dan kita harap semua pihak akan menerima sesiapa sahaja yang akan menjadi calon PAS di Galas nanti,” katanya.

Menyentuh jentera parti, Muhammad Fadzli berkata, PAS sudah mempunyai banyak pengalaman dan selepas PRU ke-12 hingga kini sudah memasuki 12 PRK dan kesemuanya PAS melibatkan diri,walaupun sebagai pembantu kepada parti gabungan dalam Pakatan Rakyat.

“Kita juga yakin jentera PAS dari seluruh negeri akan turun sebaik mungkin dan ini member kekuatan semangat kepada PAS Kelantan dalam PRK Galas ini,” ujarnya lagi.

Ketika ditanya tindakan masyarakat Orang Asli yang ingin menggunakan jentera mereka sendiri dalam membantu PAS dalam PRK nanti, beliau berkata ini menggambarkan mereka sudah memahami dasar yang dibawa oleh parti dan kerajaan Kelantan.

Katanya, mereka kini sudah tidak boleh lagi dipergunakan oleh pihak tertentu dalam menentukan calon yang mereka sukai.

“Amat bagus saranan dari ketua masyarakat Orang Asli di Gua Musang tersebut dan di pihak kerajaan, tugas memberi penerangan dan menyebarkan maklumat perlu diteruskan sepanjang masa dan ia tidak hanya dalam musim pilihanraya saja,” ujar beliau lagi.

Tambahnya, tanggapan orang ramai terhadap masyarakat Orang Asli yang masih tidak mempunyai pendidikan dan lemah, kini sudah tidak tepat lagi.

“Mereka kini sudahpun mempunyai pengetahuan terhadap dasar yang dibawa oleh kerajaan Kelantan.

“Ini terbukti dengan usaha pihak kerajaan yang telah melantik wakil mereka dalam Majlis Daerah Gua Musang dan wakil mereka ini sering memberi pandangan yang agak bernas dan boleh diterima pakai,” katanya.

Beliau berkata, tanggungjawab kerajaan memberi penerangan mengenai pelbagai maklumat kepada masyarakat Orang Asli tidak dipinggirkan.

No comments: