Thursday, October 14, 2010

PAS diterima semua kaum


PADANG RENGAS, 14 Okt. : Selaras dengan matlamat PAS untuk mendekati semua kaum dan membuktikan parti itu tiada masalah untuk menjalinkan usaha sama dengan bangsa lain, satu perjumpaan melibatkan ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS, diadakan bertempat di kediaman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lubuk Merbau, di sini.

Perjumpaan itu bertujuan mengukuhkan lagi dewan himpunan berkenaan dan menyokong usaha Pas dalam memperjuangkan kepentingan rakyat.


Ketua Muslimat PAS Padang Rengas, Arbaaiah Bahari berkata, pertemuan itu julung kalinya diadakan di daerah berkenaan dan dihadiri ahli dari seluruh Perak.

Menurutnya, kesempatan itu digunakan ahli untuk berkongsi idea dalam mempertingkatkan peranan pertubuhan, sekali gus memberi manfaat kepada PAS.

“Sambutan yang diterima menggalakkan dan kebanyakan yang hadir terdiri daripada kaum India dan Cina. Ia membuktikan PAS sudah mula diterima oleh semua kaum dan membuang segala pandangan negatif yang mengatakan kita tidak boleh bekerjasama.

“Ahli penyokong PAS juga meningkat dari semasa ke semasa dan kita yakin pelbagai aktiviti akan dirancang demi manfaat bersama,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Sementara itu, Ketua Wanita Dewan Himpunan PAS, S Krishna Veny berkata, bukan sahaja kaum India tetapi masyarakat Cina juga sudah menerima perjuangan PAS.

“Kita akan bersama-sama PAS dalam membantu pembangunan rakyat dan ahli penyokong juga dapat menjalinkan kerjasama lebih utuh dalam menyampaikan kebenaran,” katanya.

No comments: