Monday, December 13, 2010

Polis kena beri penjelasan

PAS Desak KDN Jelas Polis Beri Maklumat Kepada Singapura













KUALA LUMPUR, 13 Dis. : PAS hari ini mendesak Kementerian Dalam Negeri menjelaskan tindakan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia menyerahkan maklumat kepada Singapura.

Turut dipersoalkan ialah apakah motif perisikan negara menyampaikan maklumat mengenai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada perisikan asing.

"Dalam pendedahan yang dibuat Wikileaks, Najib disebutkan terbabit dengan pembunuhan Altantuya Shaariibuu dan perolehan kapal selam Scorpene," kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"KDN perlu buat penjelasan berhubung perkara ini," tegas Mahfuz.

Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad mengingatkan media bahawa dokumen yang didedahkan Wikileaks itu adalah dokumen perhubungan yang mengandungi maklumat yang tidak disahkan sebagai tepat.

"Ini mungkin pendapat, atau perbualan sahaja. Tiada bukti yang kukuh. Sebelum ini ada pihak di negara ini dikaitkan kepada penjualan senjata, namun selepas siasatan dibuat, mereka didapati tidak bersalah," katanya.

Semalam, Setiausaha Agungnya Saifuddin Nasution Ismail berkata, rakyat perlu faham kaedah operasi dan fungsi WikiLeaks untuk menilai sama ada komen-komen tersebut boleh diterima pakai ataupun sebaliknya.

"WikiLeaks adalah sebuah laman yang memberi ruang kepada orang ramai menghantar maklumat-maklumat sulit yang dirahsiakan daripada pengetahuan orang ramai.

"Orang ramai bebas menghantar apa-apa jenis maklumat pun, jadi ada maklumat yang datangnya dari kajian terperinci, ada juga hanyalah rakaman perbualan antara ahli-ahli diplomat.

"Maklumat yang didedahkan kali ini dan dipetik akhbar hanyalah catatan komen-komen peribadi yang dibuat oleh ahli diplomat Singapura, Lee dan agensi perisikan negara itu," katanya.

Wikileaks diasaskan oleh wartawan Australia Julian Assange, yang sekarang ditahan Scotland Yard berhubung dakwaan kes seksual yang dibawa oleh Sweden.

No comments: