Monday, December 13, 2010

Tak masuk akal

Sankara : 'Siapa Yang Waras Akan Sengaja Masuk Perangkap?'


















SHAH ALAM, 14 Dis. : Peguam kepada Ketua Pembangkang, Sankara Nair mempersoalkan apakah Datuk Seri Anwar Ibrahim begitu tidak waras sehingga sengaja masuk ke perangkap yang dipasang untuk dirinya.

"Siapakah yang berfikiran waras, akan dengan sengaja memasuki perangkap jika dia sudah tahu mengenainya?

"Ini sama sekali tidak logik dan benar-benar tak masuk akal," ujar Sankara dalam satu kenyataan semalam.

Sankara menjawab dakwaan dalam Wikileaks bahawa tuduhan liwat terhadap Anwar adalah satu perangkap oleh musuh politiknya.

Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew telah dipetik dalam satu pendedahan sebagai berkata Anwar mungkin mengetahuinya "tapi tetap masuk ke dalamnya (perangkap)".

Menurut portal Malaysiakini, Sankara turut memberitahu dalam kenyataannya itu bahawa Anwar sudah menyedari sesuatu yang sedang dirancang, seperti yang diperkatakan oleh Anwar dalam wawancara bersama Malaysiakini pada 3 Julai 2008 lalu.

Sewaktu wawancara itu, Anwar berkata, beberapa minggu sebelumnya, beliau telah diberitahu bahawa IGP (Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan) sedang mereka sesuatu, dan itu lima atau enam hari sebelum "seseorang datang memberitahu saya bahawa ini adalah serius."

"Ini disampaikan kepada saya dan saya terfikir bagaimana mereka akan membiarkan isu '98 untuk muncul kembali," ujar Sankara.

Sankara turut menyifatkan akhbar New Straits Times dan Utusan Malaysia mengamalkan 'kewartawanan yang tidak bertanggungjawab' dalam melaporkan pendedahan tersebut.

Katanya, media tempatan telah memilih untuk bergantung kepada laporan untuk menerbitkan perkara yang tidak terbukti dan hanya berdasarkan kepada desas-desus dan telahan.

"Sampai saat ini, semakan kami dengan rakan sejawatan serta pelbagai sumber menunjukkan tiada rujukan seperti itu dibuat oleh Wikileaks berdasarkan tuduhan khusus seperti yang dilaporkan dalam Herald Sun (Sydney Morning Herald)," ujar Sankara lagi.

Anwar dalam Twitternya semalam mencabar pihak yang memfitnahnya mengemukakan bukti. Beliau juga mahukan pihak sama menyokong supaya pendedahan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terlibat dalam pembunuhan Altantuya Shaaribuu disiasat.

Anwar menegaskan bahawa sistem keadilan tempang apabila menafikan beliau hak mendapatkan dokumen perubatan awal serta bukti-bukti lain manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom menghalang beliau mengambil sumpah qazaf di mahkamah syariah.

Utusan Malaysia semalam menyiarkan laporan muka depan mengenai pendedahan Wikileaks bersabit tuduhan liwat ke atas Anwar.

Seperti yang dijangka, Utusan menggunakan komen-komen pegawai dan pemimpin Singapura dan agensi risikan Australia untuk cuba memberi gambaran bahawa ketua pembangkang itu salah.

Malah Utusan memutar belitkan laporan yang dibawa oleh Sydney Morning Herald. Akhbar Australia itu berkata agensi risikan Australia berpendapat Anwar menjadi mangsa perangkap yang dipasang oleh kerajaan atau polis Malaysia. Utusan “memadamkan fakta” itu dan hanya mendakwa Anwar kononnya melakukan perbuatan itu walaupun tahu beliau akan didakwa.

Pada masa sama Utusan TIDAK menyiarkan pendedahan Wikileaks bahawa pegawai diplomatik Singapura menyifatkan Najib sebagai pemimpin oportunis, yang terdesak untuk mempertahankan kedudukan politiknya kerana mahu menyelamatkan diri dari kes pembunuhan Altantuya.

Pandangan itu dibuat oleh beberapa pegawai kanan Singapura dalam perbincangan dengan rakan sejawat mereka dari Amerika Syarikat, menurut Wikileaks.

Transkrip kabel perhubungan yang didedahkan oleh wikileaks dan disiarkan oleh Akhbar Australia, The Sunday Age melaporkan, kabel perhubungan antara pegawai kanan Singapura yang dikenali sebagai Peter Ho, Bilahari Kausikan dan Tommy Koh dengan rakan sejawat mereka dari Amerika Syarikat.

Menurut laporan tersebut, mereka memperlekehkan Najib, mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan pemimpin lain dalam Umno dan Barisan Nasional yang disifatkan sebagai lemah.

Najib juga dilabelkan sebagai seorang opportunis dan 'kemerosotan' Malaysia disebabkan oleh kepimpinanan dan ahli politik parti memerintah yang lemah.

Namun semua ini tidak dilaporkan oleh Utusan Malaysia yang hanya memberi tumpuan kepada apa yang dinyatakan mengenai Anwar sahaja. Anwar tidak mengelak diri daripada tuduhan itu dan menjawab bahawa pihak yang membuat tuduhan harus tampil memberikan bukti.

Namun Perdana Menteri Najib berdiam diri terhadap tuduhan-tuduhan yang dilemparkan oleh pegawak diplomatik Singapura walaupun mereka mengkritik kerajaan Malaysia sendiri dan menjejaskan kredibiliti negara.

No comments: